Kata orang, atau mungkin juga kata Anwar, masa adalah perawat terbaik, marah pun boleh kebah, dendam pun boleh padam. Tetapi ada sebaris dialog dalam filem Kickboxer yang pernah saya tonton terus melekat di fikiran saya sehingga ke hari ini, "revenge is bad, but effective," maksudnya membalas dendam memang tidak baik tetapi berkesan.
Sebelum 1999, atau lebih tepat lagi sebelum 2 September 1998, cangkir kepercayaan saya terhadap Umno dan Barisan Nasional yang memerintah masih belum retak walaupun isinya tidak penuh, selaput keyakinan di hati pun belum lagi terkoyak, walaupun kalau mahu diukur ketebalannya, ia mungkin hanya senipis kulit bawang. Ketika itu saya tidak pernah menjangka yang saya akan terbabit dengan politik, apalagi sampai terlibat sejauh ini. Namun, itu tidak pula bermaksud saya tidak endah dan cakna dengan perkembangan politik tanahair.
Saya cuma rakyat biasa, yang pernah membesar dalam keluarga nelayan yang sangat dhaif. Saya adalah seorang rakyat yang tidak punya apa-apa, yang tiba-tiba melihat dirinya sudah berada di barisan hadapan dalam sebuah perjuangan yang maha payah. Dalam satu majlis saya pernah berucap, "Barangkali, kerana orang seperti sayalah yang muncul di barisan hadapan Parti Keadilan, maka Keadilan dikatakan tidak boleh diandalkan, tidak boleh disandarkan, kerana di dalamnya tiada tokoh-tokoh berwibawa, tiada orang-orang berpengalaman dalam politik, tiada nama-nama besar! Tapi bagi saya apa perlu nama besar! Kalau nama besar itu hanya pandai untuk membesarkan rumah-rumah mereka yang sudah sedia besar, hanya pandai membesarkan kereta-kereta mereka yang sudah sedia besar, hanya pandai membesarkan isteri-isteri mereka yang sudah sedia besar, dan hanya pandai membesarkan perut-perut mereka yang sudah sedia besar! Atau seperti kata abang saya, Saudara Hamdan Taha (malangnya dia khianat pada perjuangan), membesarkan perut-perut mereka dan bawah-bawah perut mereka sahaja!!!"
Mengapalah saya, orang biasa yang tidak punya apa-apa ini bersungguh-sungguh benar... akhirnya yang susah saya juga, apakah saya tidak serik-serik lagi untuk hidup susah? Anwar ditangkap pada 20 September 1998, kemudiannya muncul di mahkamah dengan sebelah matanya lebam. Anwar ditumbuk oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor, dipukul dengan cara yang boleh membawa maut, dibiarkan tanpa rawatan selama empat hari, selepas itu baru dibawa berjumpa seorang doktor perempuan berbangsa India dengan mata tertutup, tangan terikat dan bertelanjang bulat! Adakah sesiapa yang merasa terkejut dengan pengakuan Malek Hussin di dalam Mahkamah Tinggi (Bahagian Sivil) Kuala Lumpur bahawa pada tanggal 25 September 1998, beliau semasa dalam tahanan telah menerima tidak kurang enam puluh pukulan, dipaksa minum air kencing, dipukul kemaluannya dan duburnya dirodok dengan bahan seperti kabel, oleh sekumpulan anggota polis yang juga diketuai oleh Rahim Noor. Apakah ini semua bohongan politik? Demi Allah! Dalam tragedi di Lebuhraya Kesas, mata saya yang masih terang ini melihat bagaimana seorang pakcik dipukul anggota FRU dengan belantan sehingga patah belantan itu. Di bumi bertuah ini, kezaliman polis menjadi realiti yang sangat mengerikan!
Sejak itulah saya berdendam. Sejak itulah cangkir kepercayaan saya mula retak, dan isinya yang asalnya memang tidak penuh berterusan mengalir keluar. Sejak itulah juga selaput keyakinan di hati saya mula terkoyak. Sudah enam tahun! Cangkir kepercayaan saya yang retak itu sudah kosong isinya, dan tidak ada lagi walau sejenis "plaster" pun yang berupaya menampal selaput keyakinan di hati saya yang telah terkoyak, bahkan sudah sampai ke tahap rabak. Saya adalah rakyat biasa yang terluka, dan saya percaya di luar sana masih ramai rakyat biasa yang sama terluka seperti saya, yang takut, berdiam diri dan tidak mampu berbuat apa-apa. Dendam saya adalah pada kekuasaan Umno dan Barisan Nasional, membalas dendam bagi saya adalah meragut kekuasaan itu daripada cengkaman mereka.
Dalam perkembangan yang mengejutkan, pada 2 September 2004 yang lalu, Anwar Ibrahim telah dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan Putrajaya dengan keputusan penghakiman 2-1, satu manifestasi cubaan Yang Arif Para Hakim untuk keluar dari belenggu campurtangan tidak bermaruah Umno dan Barisan Nasional (dengan mengambil peluang kelemahan cengkaman Pak Lah, berbanding ketika zaman Mahathir dulu). Pembebasan ini sudah tentulah disambut gembira oleh seluruh pendukung keadilan di Malaysia. Saya bukanlah pengkagum nombor wahid Saudara Anwar Ibrahim, tetapi satu yang pasti, saya akan terus menjadi pendendam setia terhadap Umno dan Barisan Nasional yang memerintah.
Thursday, September 16, 2004
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment