Wednesday, January 26, 2005

Kempen Bebaskan Malaysia: Mengubah Kediktatoran Sistem

Kalau kita rujuk mana-mana buku sekalipun berkait dengan fakta sistem pemerintahan di Malaysia, maka yang akan kita jumpa adalah satu istilah yang sangat klishe bunyinya, "demokrasi berparlimen," dan nampaknya Umno serta Barisan Nasional yang memerintah betul-betul mengambil istilah ini menggunakan sisi definisi harafiyahnya.

"Demokrasi berparlimen," jika negara demokrasi diibaratkan seperti sebuah rumah maka parlimen bolehlah kita andaikan sebagai ruang tamunya, ruang yang terbuka dan mampu digapai oleh sesiapa sahaja yang mahu bertamu. Maka jika ada sesiapa yang datang bertamu dan membuat penilaian tentang kedemokrasian negara kita hanya berdasarkan kepada pandangan di "ruang tamu" ini, sudah tentu mereka akan menyokong seratus peratus dakwaan parti pemerintah Umno dan Barisan Nasional bahawa Malaysia sememangnya, tanpa sebarang keraguan adalah sebuah negara demokrasi.

Padahal di sebalik itu, bila berbicara dengan komuniti bukan politik, ahli perniagaan misalnya, berbicara pula soal persaingan, kata mereka hari ini kita boleh bersaing apa sahaja, kita boleh bertanding apa sahaja, kecuali jawatan Presiden Umno!

Ada sesiapa yang tersenyum? Hakikatnya ia jelas berlaku. Malangnya Ku Li, mungkin sampai akhir hayatlah beliau menjadi gurkha Umno, sebab apa? Dosanya cuma satu, melawan kediktatoran sistem Umno, iaitu mencabar kerusi Presidennya. Hari ini kediktatoran sistem ini mula hidup dan menjalar, jawatan Timbalan Presiden Umno juga tidak boleh ditandingi. Tunggulah sampai semua jawatan dalam Umno nanti dilantik belaka, alasannya... biasalah, menjaga keharmonian parti, dengan bangga pula mendakwa itulah lambang permuafakatan dan kekukuhan parti, pada masa yang sama demokrasi sedang mati.

Bayangkan, Presiden Umno adalah juga Perdana Menteri, adalah juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri, adalah juga Menteri Kewangan. Ahli-ahli Umno yang sentiasa tunduk, patuh dan tidak melawan presidennya ini tentulah juga akan tidak mempersoalkan belanjawan negara walaupun satu hari ia mungkin menjadi sangat senget dan kelakar, kerana ia di bawah seliaan orang yang sama. Ahli-ahli Umno ini juga tentulah tidak akan mempersoalkan kezaliman polis walau sezalim mana, kerana ia di bawah kekuasaan orang yang sama. Surat-surat khabar "berlesen" yang sepatutnya terbit sebagai pelapor berita seantero negara, akhirnya hanya mampu berfungsi sebagai pelapor cerita, cerita tentang pemimpin atasan Umno dan Barisan Nasional yang kononnya amat bijak, amat baik, amat berjasa dan amat berjuang untuk rakyat (serta segala jenis amat lagi), tetapi kenapa pula Profesor Jomo Sundram yang bukan pemimpin Umno itu yang dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung PBB? Kenapa tiada orang mencadangkan kepada TIME Asia supaya ada kalangan pemimpin Umno dan Barisan Nasional dicalonkan sebagai Asia Heroes seperti Anwar Ibrahim (yang dipecat dari Umno)? Kenapa surat-surat khabar kita menjadi begini, kenapa tidak dicetak sahaja dibawahnya "diterbitkan oleh Sekretariat Ibu Pejabat Umno" atau "Sekretariat Ibu Pejabat Barisan Nasional"? Jawapannya mudah, kerana "lesen" itu juga mengikut kata putus orang yang sama.

Ini belum ditambah dengan Timbalan Presiden Umno, yang juga Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Pertahanan, yang menguasai bala tentera negara. Besarnya kuasa mereka, sehingga jika digabungkan kedua-duanya ini, mereka berdua sahaja punya keupayaan untuk merampas kuasa dengan begitu mudah dan tanpa halangan, maklumlah, secara konsensusnya jawatan mereka berdua tidak boleh dicabar! Kritikan oleh juak-juak mereka sendiri dalam Parlimen? Itu biasa, seperti yang saya tulis tadi, sekadar penghias "ruang tamu."

Kalau begitu, kuasa apa lagi yang ditinggal untuk rakyat? Yang sepatutnya menjadi golongan paling berkuasa dalam negara bergelar demokrasi! Pilihanraya lima tahun sekali? Mereka kempen rumah ke rumah, kita kempen rumah ke rumah, mereka berceramah kelompok, kita berceramah kelompok, mereka berceramah umum, kita berceramah umum, mereka kempen melalui surat khabar, KITA TAK BOLEH!!! Mereka berkempen dalam televisyen dan radio, KITA TAK BOLEH!!! (Belum lagi mahu bercerita tentang keraguan perjalanan pilihanraya itu sendiri, malas dahhh). Media cetak dan elektronik ini menjadi saluran kempen mereka bukan untuk sepuluh hari, tetapi lima tahun! Seribu lapan ratus dua puluh lima hari! Bila agaknya kita akan punya peluang untuk menang? Logiknya langsung tidak mungkin, melainkan jika ada keajaiban berlaku. Ingat Suruhanjaya Pilihanraya di bawah pentadbiran Jabatan Perdana Menteri, bosnya orang yang sama juga.

Natijahnya dari perkembangan ini, dalam jangka masa panjang atau sederhana, negara kita sedang menuju ke arah kediktatoran total. Demokrasi semakin hari semakin berdebu, tercari-cari juga di mana lagi boleh nampak. Kebebasan sebagai intipati demokrasi kini tinggal sebagai catatan dalam pemasyhuran kemerdekaan oleh Almarhum Tunku, salinannya mungkin kita boleh jumpa dalam buku-buku tawarikh lama yang sudah tentu bukan teks wajib untuk anak-anak atau adik-adik kita yang sedang bersekolah.

Banyaknya kuasa-kuasa strategik negara yang berpusat pada orang yang sama. Siapakah yang berani menjawab jika saya bertanya adakah ini demokratik? Pemusatan kuasa adalah sistem negara komunis dan ia adalah satu contoh kediktatoran, malangnya di Malaysia ia sedang berlaku dalam kerangka demokrasi.

Bahayanya kediktatoran sistem dalaman Umno ini adalah kerana ia parti yang memerintah. Dominasinya dalam spektrum pemerintahan negara memberi impak, kesan dan pengaruh yang bukan sedikit terhadap institusi kerajaan secara keseluruhannya. Asimilasi mudah berlaku dan teladan buruk mudah membiak. Kediktatoran sistem dalaman Umno boleh mencipta suasana "bossy" dan autokratik dalam institusi-institusi kerajaan ini. Umno dan Barisan Nasional yang memerintahkan bagai bapa, sedangkan institusi kerajaan yang ditadbirnya seperti anak. Kalau dah bapanya borek, anaknya tentu rintik.

Jangan tunggu hingga ada ahli keluarga kita yang mati dalam lokap polis, dan tiada seorang pun YB-YB Umno dan Barisan Nasional yang berani memperjuangkan nasib kita, kerana bos polis itu, seperti yang saya kata, orang yang sama, baru mahu datang mengadu kepada orang-orang seperti saya. Kalau saya, saya akan berkata PADAN MUKA!

Cubalah sedikit berani untuk mencabar... berani untuk mengubah.

Thursday, January 13, 2005

Kempen Bebaskan Malaysia: Memerangi Tahyul Demokrasi

Dalam pembelajaran kita, tahyul diertikan sebagai kepercayaan yang karut, biasanya kepercayaan untuk takut pada sesuatu yang tidak berasas, yang tidak boleh dibuktikan. Anak-anak di ceruk-ceruk kampung, ulu dan pedalaman sering diajar untuk takut bermain di tempat-tempat tertentu seperti kawasan berbusut dan sebagainya. Maka di sebalik ruang demokrasi anak-anak ini untuk bermain dan bergembira dalam dunia mereka, mereka sering direncat oleh pantang dan larangan yang bersifat tahyul lagi karut.

Begitulah, sekecil-kecil kelompok anak-anak ini, demokrasi sudah wujud, tetapi sering pula menjadi tersekat dan demokrasi itu tercedera. Ini saya anggap sebagai demokrasi primitif, di sana wujudnya golongan Brahma yang menganggap mereka seperti ada sedikit kesaktian, mereka adalah orang-orang tua yang merasa mereka adalah dominan, mereka lebih berilmu dan pandai, kata-kata mereka wajib betul, berbanding anak-anak yang sentiasa mereka anggap hingusan. Mereka pun ciptalah sebarisan aturan dan etika bermain untuk anak-anak ini, yang kalau difikir amatlah pelik dan tidak logik, lebih dari itu sangat tahyul dan khurafat, karut dan berdosa. Bukan apa, semata-mata untuk mengekalkan status quo mereka sebagai orang tua yang sentiasa pandai (di sebalik kebodohan) dan sentiasa hebat (di sebalik sifat imferioriti kompleks yang disembunyikan). Anak-anak ini pun ikutlah... semata-mata supaya mereka dapat terus bermain.

Kelompok kecil berkembang menjadi masyarakat yang besar, bernegeri, seterusnya bernegara. Rupa-rupanya demokrasi primitif ini turut dibawa bersama, tahyul demokrasi terus hidup subur, berkembang biak dalam masyarakat yang sering membangga-banggakan diri sebagai moden dan maju.

Hari ini Saudara Anwar Ibrahim turun ke Temerloh, Pahang. Malam ini akan diadakan ceramah umum di Sungai Gau. Perhubungan Parti Keadilan Rakyat Negeri Pahang sebelum ini telah memutuskan bahawa ceramah ini tidak memerlukan permit kerana ia diadakan di premis persendirian. Seksyen 27 Akta Polis memperuntukkan bahawa mana-mana perhimpunan melebihi lima orang di tempat awam perlu mendapat permit. Kata kunci di sini adalah "tempat awam," saya rasa saudara pembaca bukanlah bodoh sangat sampai saya perlu terangkan apakah itu tempat awam dan apakah itu premis persendirian. Tetapi dalam keadaan begini ada pula yang memandai-mandai menyanggah keputusan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat Negeri Pahang ini dan memohon permit, berbangga-bangga pula dengan kelulusannya, apakah Perhubungan Parti Keadilan Rakyat Negeri Pahang yang turut dianggotai oleh dua orang peguam ini tidak punya cukup wibawa? Sedarkan mereka bahawa mereka sedang menjadikan Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh itu sebagai busut besar yang perlu disemah setiap kali kita mahu berceramah, walaupun dalam keadaan yang tidak perlu. Ancak kita buang tidak bertempat. Kita meminta restu penunggu busut biru... kenapa tidak dijamu pulut kuning sekali? Kita pergi juga menyemah walaupun undang-undang sendiri tidak memerintah, kenapa? Apakah kita takut pada penunggu busut biru itu, yang sebenarnya lemah tetapi berlagak kuat kerana kita sendiri yang menyemai rasa takut dan ngeri di kalangan kita terhadap penunggu ini, sekaki melangkah pun kita pergi memohon restunya. Ahhh!!! Apakah kita akan ikut sahaja tahyul dan khurafat ini, semata-mata kita mahu tetap terus boleh berceramah...

Dalam perkembangan media massa pula, kebelakangan ini kita lihat bahawa sudah wujud penulis di media-media alternatif yang berani mengkritik dan mempersoal kalangan pimpinan atasan Barisan Alternatif, ini agak baik kerana paling kurang ia menjelaskan bahawa sebagai pelopor politik baru, kita tidak mahu ada antara pimpinan atasan kita pula yang mahu berlagak seperti Brahma tadi, tinggi diri, berkasta tinggi, lebih dari itu kadang-kadang merasa sakti dan tidak boleh disentuh. Kalangan pimpinan atasan kita juga bukan busut suci yang pantang dilangkah. Tetapi bila berpaling pula ke media-media arus perdana, saya jadi sedih, semuanya mantera puji memuji, puja memuja. Tidak adakah kolumnis-kolumnis di Berita Harian dan Utusan Malaysia, paling tidak pun di Tamil Nesan yang berani mengkritik kepimpinan Abdullah Badawi? Eiii... jangan nak cuba, jangan berani, jangan melangkah busut suci itu, nanti ketulahan, Dollah Kok Lanas sudah kena, lama dahulu Said Zahari juga sudah kena, apakah kita lupa? Begitulah karutnya kepercayaan sebahagian dari kita, bidang penulisan kemudiannya menjadi ruang yang sepatutnya demokrasi tetapi primitif, tahyul bergentayangan wujud sebagai pantang dan larangan, padahal mereka ini kebanyakannya cerdik-pandai, tetapi tiba-tiba bukan sahaja menjadi percaya, bahkan takut kepada karut-marut dan khurafat yang tidak berasas lagi sesat ini. Apakah kita akan hanya memandang dan membiarkan ketakutan kepada tahyul ini, semata-mata supaya kita terus boleh menulis?

Mana tok-tok alim, ustaz-ustaz yang selalu mengajar bahawa tahyul itu khurafat, khurafat itu mendatangkan syirik? Harus benar bila ada orang berkata bahawa demokrasi kita ini adalah demokrasi sesat, kerana demokrasi kita ini demokrasi primitif, bercampur-baur dengan banyak kepercayaan karut, terlalu banyak untuk ditulis dan tahyul terbesar tentulah mempercayai bahawa Barisan Nasional itu adalah satu lagu busut besar yang haram untuk dimusnahkan, bahkan mengalihnya pun adalah terlarang, wajib pula untuk membiarkannya subur di tampuk pemerintahan. Lalu bolehkah saya hidup dalam ruang demokrasi primitif sebegini? Apakah saya perlu memaksa diri saya mempercayai tahyul demokrasi ini, semata-mata kerana mahu terus bermain dalam senario politik, semata-mata kerana mahu terus merayakan pilihanraya umum lima tahun sekali? Hakikatnya adalah kesudahan yang nyata, kita kalah, kita tewas! Hampeh!!! Saya akan memeranginya.

Thursday, January 06, 2005

Garuda dari laut, kuasa manusia pastikan surut

Tidak seperti sebelum ini, sambutan Tahun Baru 2005 menjadi begitu berbeza untuk kita semua, bahkan juga mungkin paling berbeza dalam sejarah ketamadunan manusia moden.

Tahun baru 2005 ini kita sambut dengan penuh keharuan, sehingga saya terpaksa mengambil masa lima hari untuk menggagahkan semula semangat jemari ini untuk terus menulis, berkebetulan pula hari ini adalah hari lahir saya.

Garuda dari laut bangkit menghempaskan sayap basahnya, kita jadi terkejut dan takut. Ombak besar yang dikenal sebagai tsunami menerjah tanpa belas ke hampir seluruh rantau ini, akibat dari gempa bumi di Acheh dan di dasar Laut Andaman pada 26 Disember 2004 yang lalu. Begitulah sekali-sekala alam menunjukkan amarahnya, tentu ada perkhabaran yang ingin disampaikan Tuhan yang telah memutuskan wahyuNya sebaik wafatnya Nabi terakhir, Muhammad s.a.w.

Tentulah yang terkesan paling teruk akibat bencana ini adalah Acheh sendiri. Angka korban yang telah disahkan menjangkau 94,000 orang, dipercayai jumlah sebenar mencecah ratusan ribu orang. Acheh memang dilanda garuda, hampir padang jarak padang terkukur jadinya, begitu banyak kecederaan, begitu banyak kemusnahan, begitu ramai anak-anak yang tiba-tiba menjadi yatim-piatu. Saya menjadi sebak bila menonton saudara Acheh saya yang berada di Malaysia, dengan linangan air mata, memohon dan berharap kiranya ada belas dan simpati rakyat Malaysia untuk membantu.

Malaysia sendiri, khususnyanya bagi yang tinggal di utara Semenanjung, walaupun secara relatifnya menerima kesan yang tidaklah seteruk Acheh, Sri Lanka, India ataupun Thailand, tetapi tetap membekas trauma yang cukup dalam dan panjang. Bagi Malaysia, tragedi 26 Disember 2004 lalu adalah yang terburuk dalam sejarah bencana dalam negara, 68 nyawa hilang dalam satu hari, kemusnahan harta-benda dianggar melebihi RM 100 juta. Malaysia tidak punya gunung berapi, tidak berada di Lingkaran Api Asia Pasifik. Malaysia tidak pernah bersedia dengan gempa bumi, apalagi ombak besar tsunami, satu istilah yang tidak pernah wujud dalam silibus pembelajaran bencana alam dan ilmu geografi di negara ini.

Kepada keluarga mangsa yang terkorban, juga kepada mangsa dan keluarga mangsa yang masih hidup, saya sejujurnya menghulurkan salam takziah, sedekah al-Fatihah dan rasa simpati saya untuk yang di Malaysia, paling tidak lupa saudara-saudara di Acheh, juga di negara-negara Sri Lanka, India, Thailand, Maldives, Myanmar dan Somalia, semoga Tuhan merahmati kita semua. Kepada yang berkemampuan, berilah bantuan sedaya mungkin, sesungguhnya ganjaran amatlah besar di sisi Tuhan.

Harus kita belajar sesuatu dari bencana ini, terutama bagi mereka yang sering merasa angkuh dan bongkak dengan kekuasaan yang seakan selesa dalam genggaman mereka, sehingga mewajarkan mereka untuk melakukan apa sahaja. Manusia; kita dan nyawa kita tidak kekal, dalam sekelip mata pun boleh hilang, kitakan menjadi arwah. Segala yang "bersifat baharu" tidak akan kekal, bukan hanya kita, tetapi juga apa yang kita miliki dan punyai, termasuk kekuasaan dan tampuk pemerintahan. Jangan terlalu takbur dan selesa dengan kekuasaan ketika saat pasangnya, kerana pasti akan ada saat surutnya.

26 Disember 2004, kita melihat bahawa tidak kekalnya manusia dimamah bencana alam, yang mula kita kenal sebagai ombak besar tsunami, sang garuda yang datang dari laut. Kita mungkin akan lihat bahawa tidak kekalnya kekuasaan manusia itu akibat serangan ombak besar dari rakyat, tunggulah bila sang garuda muncul dari darat. Kalau Tuhan boleh menyampaikan perkhabaranNya melalui amarah alam, tentulah lebih mudah bagiNya untuk menyampai perkhabaran melalui amarah insan.