Monday, December 27, 2004

Kemudahan awam atau kesusahan awam?

Isu kenaikan bayaran tol Lebuhraya PLUS sebanyak 10% menjelang Januari 2005 ini berjaya menarik perhatian saya, apalagi dalam masa yang sama timbul pula isu penswastaan dispensari hospital-hospital kerajaan. Sebelum ini juga kita banyak dibisingkan dengan kesusahan-kesusahan rakyat akibat masalah penswastaan perkhidmatan bekalan air di negeri-negeri tertentu.

Jalanraya atau lebuhraya, perkhidmatan kesihatan dan perkhidmatan bekalan air adalah sebahagian dari apa yang disebut sebagai kemudahan awam. Syer tanggungjawab parti yang memerintah sepatutnya besar di sini, bahkan adakalanya perlu ke tahap seratus peratus.

Kemudahan atau fasiliti mengikut Kamus Webster ditakrifkan antara lainnya sebagai; menyenangkan untuk dilaksanakan, kebebasan dari kesusahan, satu alat yang mana penyiapan apa-apa kerja pun menjadi lebih mudah.

Maka kemudahan awam tentulah sepatutnya berfungsi sebagai alat untuk 'awam' yakni rakyat menyiapkan apa-apa keperluan mereka secara lebih mudah. Tetapi dalam konteks kemudahan awam yang sedang kita bicarakan ini, apakah ia menjurus ke arah takrif Webster tadi, atau sudah menjadi sebaliknya? Begitu bertentangan dan berlawanan.

Kita ambil satu senario. Katakan anda bekerja nun di selatan tanahair, di Johor Bharu, sedangkan ibubapa anda tinggal nun jauh di uatara tanahair, di Changlun, Kedah. Satu hari dalam bulan Januari 2005, tiba-tiba anda dikejutkan dengan berita bahawa mak anda sedang sakit tenat. Dalam keadaan kritikal begini, apakah anda sempat lagi terkial-kial mencari nombor telefon untuk menempah tiket kapal terbang? Atau sempat lagi melilau-lilau di Stesyen Bas Larkin mencari tiket bas? Atau anda akan terus memecut kereta anda balik ke Changlun, pastilah melalui lebuhraya. Kalau saya pun, tentulah pilihan ketiga itu yang pertama melintas dalam kepala saya. Tetapi bila sampai ke plaza tol yang pertama, baru anda teringat yang wang dalam poket anda cuma ada dalam RM200 sahaja, sedangkan bayaran tol sehala untuk sampai ke kampung anda sahaja sudah mencecah RM100 lebih, belum lagi dikira kos petrolnya yang setahun dua tiga kali naik itu (kalaulah negara kita ini bukan pengeluar petroleum, entah berapa kali pula naiknya), perbelanjaan di kampung nanti belum dikira lagi tu... Tiada gunalah lebuhraya yang cantik itu, tiada gunalah landskap di kiri-kananya yang menarik, bila hari itu mak anda meninggalkan dunia tanpa anda di sisi untuk mengajarnya mengucap buat kali terakhir. Kemudahan awam yang canggih itu telah menyusahkan orang awam seperti anda yang pendapatannya tidaklah setinggi mana.

Kebelakangan ini, pihak parti yang memerintah seakan sudah ketemu satu jawapan yang ampuh untuk mewajarkan segala tindakan menaikkan harga dan caj yang dibuat oleh syarikat-syarikat swasta yang telah diberi konsesi atau kontrak menguruskan kemudahan awam tersebut. Maka diwar-warkanlah, katanya kerajaan telah berbelanja sekian jutaan, sekian billion ringgit, atas nama SUBSIDI untuk rakyat, supaya rakyat tidak berbelanja banyak untuk menggunakan kemudahan-kemudahan awam ini, dalam sesetengah keadaan bila berlaku kenaikan harga, katanya lagi kerajaan hanya mengurangkan sedikit sahaja SUBSIDI, jadi rakyat perlulah berbelanja sedikit lebih untuk menolong kerajaan. Apalagi katanya... oh ya! Kerajaan tidak selamanya mampu memberi SUBSIDI yang terlalu banyak. Berbanggalah pula si Menteri Kesihatan mengumumkan yang kerajaan telah memberi SUBSIDI sebanyak 98% terhadap harga ubat-ubatan di hospital kerajaan. Maka berputiklah kembali rasa kasihan dan simpati rakyat terhadap komitmen dan murah hati parti yang memerintah, maklumlah, kalau tidak SUBSIDI ini, rakyat terbanyak sudah tentu tidak mampu untuk menggunakan lebuhraya, tidak mampu berubat di hospital kerajaan, tidak mampu merasa mengguna air dalam besi, api dalam kaca! Tertanamlah dogma 'bersyukurlah ke hadhrat UMNO dan Barisan Nasional' di hati sanubari setiap rakyat. Kita bayar sedikit sahaja, kalau tidak kerana SUBSIDI parti yang memerintah, tentu kita akan lebih susah! (Saya ketawa ketika menulis frasa ini)

Rakyat hari ini bukan hidup di zaman SUBSIDI beruk! Kita beli barang bercukai, kita beli perkhidmatan bercukai, kita ada tanah bercukai, kita bina rumah pintunya dicukai, kita beli kereta nak berjalan dicukai, kita cari pendapatan dicukai, kita makan di kedai mamak pun bercukai. Untuk apa kita bayar semua cukai ini? Supaya secara timbal baliknya, rakyat akan dapat menikmati hasilnya, antaranya dibangunkan dan disediakanlah kemudahan-kemudahan awam yang terbaik oleh parti yang memerintah, kalau tidak boleh percuma pun, biarlah harga atau cajnya pada kadar yang paling minimum.

Rakyat hari ini bukan hanya ramai yang berpelajaran tinggi, tetapi sudah ramai juga yang pandai berfikir secara kritis, sudah ramai juga yang pandai memandang secara lebih jauh. Kita tuntut bayaran tol yang lebih murah, kita tuntut perkhidmatan kesihatan yang hampir percuma, kita tuntut tarif air dan elektrik yang berpatutan! Bukan kerana kita ini bangsa SUBSIDI, bukan kerana kita terhegeh-hegeh ketagih dan tergilakan SUBSIDI dari parti yang memerintah, ingat! Kita semua adalah pembayar cukai. Lebih dari itu, yang kita tuntut adalah tanggungjawab parti yang memerintah, parti yang katanya punya tradisi membela rakyat, bukan mendera rakyat. SUBSIDI itu sendiri adalah istilah yang salah. Menyedia dan membangunkan kemudahan awam adalah TANGGUNGJAWAB parti yang memerintah! (Maka belanja sekian jutaan, sekian billion ringgit untuk memastikan kos penggunaan kemudahan awam terus murah dan termampu adalah TANGGUNGJAWAB, ulang... TANGGUNGJAWAB, bukan SUBSIDI, sumbernya antara lain adalah dari rakyat juga, kita yang membayar cukai) Sementara penswastaan hanyalah satu pilihan. Dalam keadaan ia diswastakan sekalipun, tidak boleh pada bila-bila masa ia sampai membebankan rakyat, sehinggakan kemudahan awam ini menjadi kemudahan untuk sesetengah orang awam sahaja, sementara sesetengah orang awam lagi melopong, tidak mampu menggunakannya kerana kekangan kewangan.

Saya kira saya ingin meminta jika ada kalangan ahli ekonomi kita yang boleh membuat pengiraan semula terhadap Pendapatan Per Kapita rakyat di negara ini. Semakin hari semakin banyak yang perlu diperuntukkan oleh setiap dari kita untuk menampung perbelanjaan tinggi menggunakan kemudahan awam ini (ini bukan perkhidmatan komersil). Baru kita akan lihat berapakah 'pendapatan benar' rakyat negara ini. Akan ada anak yang tak mampu pulang (kerana kos tolnya) mengajar maknya mengucap di saat nazak, tentulah saya tidak mahu pula menjangka akan ada anak yang terpaksa melihat maknya menderita hingga mati di atas katil kelas tiga kerana tidak mampu menampung biaya ubatnya.

Tuesday, December 21, 2004

Kongres... dan yang tergores

Pemilihan adalah salah satu rukun demokrasi, menerimanya bermaksud kita menerima hakikat kemenangan, menerimanya juga bermaksud kita menerima hakikat kekalahan.

Parti Kadilan Rakyat baru sahaja menamatkan Kongres Nasionalnya yang pertama tanggal 19 Disember baru-baru ini. Kongres ini, tentulah bagi semua penggiat dan aktivis parti, punya nilai sejarah yang sangat tinggi, bukan sahaja kerana inilah kongres pertama Parti Keadilan Rakyat, setelah terlunas segala usaha penggabungan Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia, bukan sahaja kerana selepas enam tahun, kongres ini menyaksikan kehadiran semula Bung Anwar (meminjam gelar yang diberi oleh Cikgu Dzul), tetapi yang lebih menarik dan menjadi topik perbincangan ramai penganalisis politik, buat julung kalinya Parti Keadilan Rakyat memberi mandat kepada perwakilan untuk memilih barisan kepimpinannya. Ia sesungguhnya mencabar kematangan kita dalam berpolitik.

Sungguh meriah, kongres ini penuh dengan warna-warni, apalagi dengan kehadiran ribuan pemerhati dari seluruh pelusuk tanahair. Sudah adat pemilihan, ada yang kalah, ada yang menang. Bagi yang kalah, ada yang memahami erti demokrasi, menerima kekalahan dengan lapang dada dan hati terbuka, maka salut saya untuk Gobalakrishnan! Tetapi ada juga yang tergores luka, sesudah kalah bayang entah ke mana, usahkan bersama di pentas dengan barisan kepimpinan baru, di kalangan perwakilan pun kelibatnya sudah tiada. Ramai yang mengaku pejuang, tetapi ada yang awal-awal sudah kalah, hanya kerana cabaran kematangan berpolitik kita.

Ada juga segelintir yang langsung tidak dapat menerima hakikat kekalahan, merasakan bahawa ada orang lain yang sepatutnya kalah dan dia antara yang layak untuk menang. Di ruang-ruang belakang, dalam sembang-sembang senyap hampir berbisik, kepada rakan-rakan, orang-orang sebegini boleh marah pula terhadap si anu yang menang (yang dirasakan sepatutnya kalah), padahal si anu yang menang itu langsung tiada dosa terhadap kekalahannya. Sekali lagi, ada orang kita yang kalah dengan cabaran kematangan berpolitik. Unsur-unsur sebegini, walaupun segelintir, sangat berbahaya untuk parti, apatah lagi parti masih sangat muda; sebuah kampung boleh menjadi huru-hara hanya kerana seorang yang gatal mulut membawa cerita salah ke sana-sini.

Saya boleh memahami yang kita adalah manusia biasa, punya perasaan, rasa terkilan, rasa sedih, rasa marah dan pelbagai lagi, tetapi rasa-rasa ini selalunya dapat kita seimbangkan dengan kewarasan pemikiran kita, dalam keadaan begini kita menjadi seorang yang rasional, kita akan mudah untuk mendapat penghormatan dari orang lain. Inilah sepatutnya yang ada pada diri kita semua sebagai seorang ahli politik, yang sentiasa mengaku sebagai demokrat tulen! Lebih penting, sebagai seorang pejuang, kita perlu sentiasa rasional, kerana lawan kepada rasional adalah emosional. Seorang pejuang yang emosional akan sentiasa bersikap gelojoh, tidak strategik dan mudah terperangkap dek musuh.

Sentiasalah kita belajar dari pengalaman, termasuk pengalaman kita berkongres kali pertama ini, bak kata sebaris lagu, "pengalaman... telah mendewasakan, mematangkan fikiran..." Semoga yang tergores itu hanya sementara, dan yang marah itu juga hanya sementara. Kongres pertama ini seharusnya kita angkat sebagai titik permulaan untuk kegemilangan perjuangan masa depan.

Akhirnya, saya sering menganggap dan berharap bahawa pemilihan dalaman parti ini hanyalah bagai biduk yang setiap tiga tahun, lalu meredah ketenangan kumpulan kiambang, apabila lepas, kiambang kan kembali bertaut.

Meminang sudah bersanding pun sudah
Adatlah pasangan raikan kunjungan
Bersidang sudah bertanding pun sudah
Jabatlah tangan teruskan perjuangan

Monday, December 13, 2004

Kempen Bebaskan Malaysia: Prolog

Bagi Laksamana Megat Seri Rama, biarlah Johor tidak beraja, asalkan keadilan dapat dibela, akhirnya Sultan dibunuhnya. Walaupun Laksamana yang lebih dikenal dengan gelar Laksamana Bentan ini terkorban jua, tetapi korbannya korbanlah raja, korbannya korbanlah segala kezaliman yang melata, bebaslah Kerajaan Johor Lama.

Sesetengah orang berkata, tanpa UMNO, Melayu entah ke mana, ada UMNO pun Melayu tidak ke mana juga, ramai lagi yang masih merempat di bumi sendiri, kalau sesiapa mahu tahu bagaimana pekatnya nyinyir derita anak Melayu membesar dengan memakan biskut hancur, datanglah bertanya saya.

Sesetengah orang berkata, tanpa Barisan Nasional, Malaysia entah bagaimana, ada Barisan Nasional pun rakyat sudah jadi seperti banduan yang diikat tangan dan ditutup mata, dalam sebuah penjara besar bernama negara.

Begitulah, bagi sesetengah orang, UMNO dan Barisan Nasional ini mempunyai nilai sentimental yang sangat tinggi, tidak kurang juga (sebenarnya kelompok ini lebih ramai) yang menganggap UMNO dan Barisan Nasional ini mempunyai nilai kewangan yang sangat besar, UMNO dan Barisan Nasional yang memberi makan, UMNO dan Barisan Nasional yang memberi kekayaan, maka bersyukurlah mereka ke hadrat UMNO dan Barisan Nasional, tiada selain UMNO dan Barisan Nasional yang memberi mereka makan dan kekayaan.

Tetapi harus diingat bahawa bagi Laksamana Bentan, Sultan Mahmud itu adalah tuannya, segala titah dijunjung, segala salah dikulum. Pangkat, darjat, kemuliaan, harta dan kekayaan semuanya adalah pemberian, kurniaan serta perkenan Sultan. Akhirnya Sultan yang didewa-dewakan ini juga yang disanggahnya, mengapa? Kerana dia merasa sudah sampai masanya dia membebaskan diri dari ketaatan membabi-buta warisan Tun Tuah, Sultan telah berlaku zalim!

Ayuh rakyat Malaysia! Marilah kita bersama-sama membebaskan negara ini dari segala macam sampah dan kekotoran. Alhamdulillah, perjuangan pendek kita selama enam tahun ini telah berjaya membebaskan seorang manusia bernama Anwar Ibrahim dari segala bentuk tuduhan, perbicaraan dan penghukuman yang salah. Anwar sudah menjadi manusia bebas sekarang. Sekurang-kurangnya kita telah berjaya rungkaikan (walaupun mungkin sedikit) cengkaman UMNO dan Barisan Nasional, parti yang memerintah terhadap institusi kehakiman.

Tetapi bila namanya perjuangan, ia tidak akan sependek ini. Banyak lagi yang perlu kita bebaskan. Tahanan tiada hak untuk membela diri bila Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digunakan, secebis pun tiada ruang untuk mereka berbicara. Mahasiswa semakin bertukar menjadi mesin pintar tanpa idealisme kerana kongkongan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Suara kebenaran dari kalangan wartawan dan penulis cuba dibisukan dengan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak serta Akta Hasutan. Kebebasan rakyat untuk melaksanakan hak asasi mereka, berhimpun bagi menyuarakan pendapat disekat menggunakan Seksyen 27 Akta Polis. Menghebahkan kebejatan pemimpin yang memerintah adalah jenayah dengan menggunakan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Sementara itu, rasuah di kalangan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional, parti yang memerintah tidak boleh diseret ke mahkamah, alasannya ia adalah hal dalaman parti sahaja. Badan Pencegah Rasuah (BPR) akhirnya berfungsi tidak lebih hanya sebagai sebuah agensi perhubungan awam yang menganjurkan promosi-promosi dan kempen-kempen anti rasuah untuk kalangan pelajar sekolah. Memalukan! Pelbagai lagi agensi dan instrumen kerajaan seperti SPR dan PDRM, selama berpuluh tahun, profesionalisme mereka telah diperlekeh dan dikembirikan.

Tentulah kita tidak boleh membiarkan ini semua, anak muda sedang dan akan mencipta sejarah. Jangan mudah terbuai dengan dendangan perpaduan saban minggu di TV1 itu, serakah dan jenayah kemanusiaan mereka tetap menjadi sesuatu yang sangat salah. Malaysia perlu dibebaskan. Malaysia perlu dibebaskan dari sebarang unsur yang memungkinkan eksploitasi parti yang memerintah dalam menyekat kemunculan suara-suara kedua yang kritis, juga eksploitasi parti yang memerintah dalam mempertahankan kekuasaan dengan cara yang salah.

Biarlah Malaysia tidak berUMNO, tidak berBarisan Nasional, asalkan negara yang semakin bertukar menjadi penjara ini kembali menjadi tanah tumpah darah rakyat yang bebas, asalkan kepimpinan negara kembali menjadi ketentuan rakyat tanpa disogok dengan rasa ketakutan melalui pelbagai undang-undang yang sengaja diadakan untuk disalah guna. Tidak ada lagi manusia semacam Anwar Ibrahim yang akan menjadi mangsa. Kezaliman perlu dibunuh dan rantai yang membelenggu keadilan perlu dirungkaikan segera.

Akhirnya mangkatlah Sultan Mahmud yang zalim itu ketika di atas julang. 2008 yang bakal tiba juga akan kita gunakan untuk memakamkan UMNO dan Barisan Nasional ketika mereka sedang merasa selesa di atas julang kekuasaan mereka, bebaslah semula Malaysia negara tercinta.

Monday, December 06, 2004

Kata dua Khairy pada Nik Aziz, saya akan jadi juru ketawa

Kepada Khairy Jamaluddin, saya teringin mahu menyanyi serangkap lagu Wings ini untuk beliau,

Cuba kita renungkan
antara kita dan dia
siapa yang lebih berkuasa
hancur kemanusiaan, demi kewangan

Hampir tersedak saya ketawa bila membaca kenyataan Khairy yang memberi kata dua pada YAB Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia hari ini. Khairy seperti dilaporkan memberi kata dua pada Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, supaya menarik balik kenyataannya menuduh Barisan Nasional (BN) menggunakan wang untuk memenangi pilihanraya umum yang lalu, atau menghadapi tindakan undang-undang.

Pemuda UMNO mahu buat laporan polis terhadap Nik Aziz? Nasihat saya buat Khairy, lupakanlah niat itu, nantikan, dah elok-elok hanya terlondeh, kan telanjang terus! Bolehkah Khairy terus mempertahankan kenyataannya bahawa "ini adalah satu kenyataan berbentuk fitnah"? Kalau Khairy ada keberanian, kita boleh bertemu, saya boleh bercerita bahawa seorang pemuda UMNO telah datang menemui saya ketika saya bertanding dalam Pilihanraya Umum yang lalu, sebagai mewakili calon BN yang saya tentang, menawarkan saya sejumlah wang, dengan tujuan mahu saya menarik diri dari pilihanraya. Pemuda UMNO ini terus mengikuti saya selama tiga hari pertama kempen pilihanraya, dan kata-kata terakhirnya kepada saya berbunyi begini, "Zukri, you just tell me, how much you want," macam mana Khairy? BN nampaknya mempunyai terlalu banyak duit untuk membeli saya sebagai calon, apa sangatlah nilai seratus-dua ringgit untuk membeli undi rakyat! Khairy mahu memberi kata dua kepada saya juga? Saya persila dan alu-alukan, nanti saya boleh perkenalkan siapakah Pemuda UMNO tersebut pada Khairy, kalau tiada kesempatan untuk saya menemukannya dengan Khairy, saya boleh memberi nama dan nombor telefon bimbitnya sekali, BERSEDIA?

Khairy juga antara lain mendakwa, bahawa tuduhan Nik Aziz itu adalah satu tuduhan yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti UMNO. Bagi saya, Nik Aziz cuma bercerita apa yang sudah jelas terpampang di depan mata. Melihat seorang yang gila, kita tidak perlu menunggu seseorang menyebut, "eh... dia gilalah" baru semua orang tahu yang dia gila, dalam diam pun semua orang sudah tahu yang dia gila. Lagipun kalau mahu diikut turutan nama, tentulah nama-nama seperti Datuk Seri Adnan Yaakob, Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan beberapa nama lagi akan berada di tingkat yang lebih atas lagi dari Nik Aziz. Kenapa Khairy tidak memberi kata dua kepada mereka ini semua? Mereka terlebih dahulu secara terbuka mengakui atau "menuduh?" bahawa UMNO ini adalah parti penuh rasuah, bergelumang dengan politik wang, tidakkah ini juga menjejaskan imej dan kredibiliti UMNO? Opsss! Apa imej UMNO sebenarnya? Oh ya, saya teringat kata-kata Dr. Nungsari (bekas Ahli Parlimen Balik Pulau), "Jangan nanti UMNO dikenal sebagai parti kenduri-kendara, parti mesyuarat agung setahun sekali, dalam UMNO tidak boleh terlalu cerdik!"

Cuba menafikan tuduhan Nik Aziz, Khairy cuba menimbulkan persoalan kononnya takkanlah 65 peratus pengundi Malaysia (yang mengundi UMNO dan BN) mengundi disebabkan duit. Baiklah, saya cuba mengiyakannya, tetapi kalau saya katakan 30 peratus pengundi tersebut mengundi disebabkan duit, bolehkah Khairy terima? Dan jika jika tidak kerana rasuah ini, UMNO dan BN hanya mendapat 35 peratus undi sahaja, PERATUS YANG KALAH!

Cukuplah, sama Nik Aziz atau sesiapa pun yang pernah mendakwa dan menuduh UMNO dan BN merasuah pengundi sama ada dalam Pilihanraya Umum atau pemilihan dalaman parti mereka sendiri, bukanlah dengan niat untuk menghina sesiapa yang menyokong dan memilih UMNO serta BN atau pemimpin-pemimpin di dalamnya, cuma untuk menegur dan berpesan kepada UMNO dan BN, supaya jangan lagi menghina darjat akal rakyat dan ahlinya dengan sogokan-sogokan wang yang melata.