Thursday, September 30, 2004

Biar saya jelaskan apa itu politik wang

Perhimpunan Agong Umno baru sahaja selesai, menyaksikan pertembungan sengit berlaku dalam pemilihan Naib-Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi. Keputusannya? Sesetengah "tukang tulis" mengatakan beberapa keputusan merupakan kejutan, keadaan menunjukkan bahawa pertandingan di dalam Umno adalah pertandingan yang "sakit," sekurang-kurangnya pertandingan di Akademi Fantasia itu lebih sihat, kerana seperti kata Vince, dalam Akademi Fantasia tiada pengalah, semuanya pemenang.

"Kesakitan" orang yang kalah telah disuarakan oleh Datuk Paduka Kadir Sheikh Fadzir, juga oleh Tan Sri Muhammad Muhd Taib. Kadir berhak kecewa, beliau popular dan mendapat pencalonan yang tinggi. Bila diajukan soalan kepada beliau tentang politik wang dalam pemilihan Umno, secara selamba beliau mengakui "as everybody knows." Permainan wang dalam pemilihan Umno sudah menjadi rahsia terbuka, Kadir juga mengakui bahawa selama 34 tahun beliau aktif dalam Umno, pemilihan kali inilah paling teruk dicemari politik wang. Tan Sri Muhammad pula mendakwa bahawa beliau sepatutnya menang, kalau tiada politik wang! Maksudnya, antara yang memenangi kerusi Naib Presiden Umno itu ada yang mengamalkan politik wang sehingga menyebabkan Tan Sri Muhammad tewas.

Soalnya apakah itu politik wang? Apakah Lembaga Disiplin Umno perlu memberi definasi tentang apakah itu politik wang seperti permintaan Datuk Hishamuddin Tun Hussein? Bagi saya ia satu perkara yang sudah terang lagi bersuluh. Politik wang muncul dalam dua keadaan, menggunakan wang untuk membeli kuasa politik, dan menggunakan kuasa politik untuk mendapat keuntungan kewangan.

Cuba kita lihat keterangan tentang satu istilah yang diberikan oleh Kamus Webster 1913, keterangan nombor duanya berbunyi begini, 'The act or practice of giving or taking bribes; the act of influencing the official or political action of another by corrupt inducements." Dalam bahasa Melayunya, "Tindakan atau amalan memberi atau menerima rasuah; perbuatan mempengaruhi tindakan rasmi atau politik orang lain dengan pujukan yang korup." Istilah yang diberi definasi ini adalah "bribery" atau rasuah! Ia adalah keadaan pertama berkenaan dengan politik wang yang saya sebut sebagai menggunakan wang untuk membeli kuasa politik.

Nampaknya Hishamuddin, tidak perlulah kita susah-susah mencari takrifan tentang apakah itu politik wang, kerana sudah jelas politik wang adalah nama samaran, nama palsu! Nama betulnya, seperti semua orang tahu ('as everybody knows' - seperti kata Kadir Sheikh Fadzir), adalah R.A.S.U.A.H. Yang kelakarnya, ketika mereka berhempas-pulas mahu memasyhurkan kepada dunia tentang komitmen mereka menentang dan menghapuskan politik wang, mereka juga yang mengaku politik wang sedang hebat berlaku di dalam Umno. Mereka sudah cuba pakai baju yang elok, tetapi mereka juga yang selak kain sendiri.

Lebih kelakar lagi, sesetengah pemimpin Umno menganggap membeli undi perwakilan itu salah, tetapi membeli undi rakyat dalam Pilihan raya Umum itu betul dan halal. Saya teringat tentang cerita seorang Tionghua bercakap kepada seorang Melayu tentang perniagaan (maaf kepada sahabat- sahabat Tionghua saya, cerita ini hanya untuk renungan dan pengajaran). Si Cina ini berkata kepada Si Melayu, Orang Melayu kalau berniaga boleh untung tapi lambat sikitlah dari orang Cina, sebab orang Cina Tuhan dia dalam kawasan rumah sahaja, orang Melayu Tuhan dia ada di mana-mana.

Maksudnya di sini baik-buruk hanya difikirkan ketika di rumah sahaja, bila di luar, perkara paling penting adalah keuntungan, yang lain abaikan dulu! Begitulah Umno, yang mengajar anak-anak menipu dengan rakan-rakan di luar, tetapi memaksa bercakap benar dengan mereka bila di dalam rumah.

Umno... Umno... kalau dah kubang rasuah, kubang rasuah juga, bau busuknya sudah menebari udara Malaysia, tidak dicungkil tembus sendiri. Doa saya, janganlah saya terperosok ke dalam kubang ini, usahkan di dalam, berdiri di tepi pun sudah cukup memualkan, lalu berhampirannya saya pasti akan menutup hidung!

Sunday, September 26, 2004

Biarkan ayam-ayam itu, burung Hering tempatnya di langit biru

Sudah banyak rasanya saya menulis tentang Anwar, ingin juga mengulas isu-isu lain seperti saran Raja Petra. Tetapi senario mutakhir mencambahkan semula daya fikir saya untuk berkata sesuatu di lingkungan seorang manusia bernama Anwar Ibrahim.

Seperti kita maklum, Umno dan delegasinya sekarang sedang sibuk menyempurnakan Perhimpunan Agung mereka. Dalam pada mereka mengatakan Anwar sudah tidak relevan, isu Anwar isu lama dan pelbagai lagi, mengapa seperti singa lapar mereka menggegarkan pentas mereka dengan menghamun Anwar Ibrahim yang sudah tiada ikatan dengan mereka dan berada nun jauh di Jerman sana?Cebisan teks ucapan dasar Datuk Hishamuddin Tun Hussein antaranya berbunyi, "Pemuda tidak akan membenarkan pengkhianat ini diberi ruang walaupun seinci untuk memusnahkan parti dari dalam buat kali kedua. Mereka yang pernah menentang Umno, yang pernah membakar bendera Umno dan yang pernah berarak mempersenda pemimpin Umno, jangan mimpi untuk kembali berada dalam Umno, apatah lagi untuk berada dalam tampuk kepimpinan Umno."

Sebelum mengeluarkan kenyataan sebegini Hishamuddin sepatutnya menjengok dahulu sejarah lampau. Tidakkah arwah datuknya, Datuk Onn Jaafar keluar dari Umno dan menubuhkan Parti Negara, tidakkah Almarhum Tunku juga habis hayatnya di luar Umno? Siapakah mereka di mata Hishamuddin, pengkhianat atau negarawan? Mereka sudah tiada (al-Fatihah) untuk terasa atau kecil hati dengan kenyataan ini.

Tentulah yang paling saya ingin dengar komennya tentang ucapan Hishamuddin ini adalah Datuk Paduka Dr. Rais Yatim. Sebabnya Rais Yatim telah berbuat lebih dari membakar bendera Umno, beliau telah pun membakar jambatan ke Umno suatu ketika dahulu! Hishamuddin jelas dangkal politik, kesempatan yang beliau fikir boleh diguna untuk meningkatkan pengaruh rupa-rupanya menjadi ketidaksengajaan mencari geruh dan musuh. Bahkan pimpinan pemuda Umno bawahan, di peringkat cawangan yang ada bersembang dengan saya, jelas sangat marah dengan kenyataan Hishamuddin ini.

Tidaklah saya pelik sangat bila Mukhriz Mahathir menyokong kenyataan ini, tetapi bila Khairy Jamaluddin, menantu Pak Lah (yang ada datang melawat Anwar) beria-ria sangat pula menokok-tambah menghentam Anwar, Anwar ini baginya ibarat melukut di tepi gantang, bahkan begitu bersemangat menawarkan diri untuk mengetuai jentera pemuda jika berlakunya Pilihanraya Kecil Permatang Pauh mula memahamkan saya orang macam manakah Khairy ini.

Buat Anwar Ibrahim dan Wan Azizah sekeluarga, berhati-hatilah dengan orang seperti ini. Ya! Mungkin bagi sesetengah orang Khairy dan Pak Lah sendiri ada budinya kepada keluarga Anwar. Kita orang Melayu memang diajar mengenang budi, tetapi ada satu pantun memberitahu;

Banyak ubi bernama ubi
Ubi mana dimakan orang
Banyak budi bernama budi
Budi mana dikenang orang

Besar sangatkah budi Khairy atau Pak Lah ini jika mahu dibandingkan dengan budi rakyat yang selama enam tahun ini bersama dengan Anwar, yang dibelasah, yang berdarah, yang melawan air kuning sehingga lelah, Nora yang ditelanjangi maruah, yang disumbat ke lokap dan penjara bersama penagih dadah, yang hidup menjadi susah dan payah, yang terpaksa berpindah-randah dan pelbagai lagilah...

Selepas Anwar bebas, tidak pernah saya dengar, sama ada secara tersurat atau tersirat, yang Anwar ada keinginan untuk kembali kepada Umno. Jadi kenapa perlu Umno membuat ketetapan yang Anwar tidak akan diterima? Kelakarkan? Siapa yang melukut di tepi gantang? Siapa pula yang tidak diturut tetapi datang bertandang? Anwar tidak pernah mengkhianati Umno, Umnolah yang mengkhianati Anwar. Anwar tidak layak untuk Umno? Salah, terma yang betul adalah Umno tidak layak untuk Anwar.

Ini langsung mengingatkan saya kisah si burung hering. Satu hari berlakulah ribut taufan yang kuat, angin menderu-deru laju. Si burung hering cuba menyelamatkan diri dan anaknya, terbang dari satu awan ke satu awan. Entah apa nasibnya, apa silapnya, anak si burung hering terlepas, jatuh dan terus jatuh, jatuh ke bumi, jatuh ke dalam sekumpulan anak ayam. Kerana anak si burung hering masih kecil, ia tidak mengerti apa-apa, hiduplah ia di kalangan anak-anak ayam itu, semakin hari semakin "ayam"lah ia, pada ingatannya ia adalah seekor anak ayam. Semakin hari semakin membesar, kadang-kadang mendongak juga ia ke atas, mahu menyentuh langit, tetapi bila menyedari bahawa ia adalah ayam, maka tunduklah ia kembali mencari makan di bumi. Satu hari, lalulah seorang pendeta, yang melihat seekor burung hering yang lupa diri, berkatalah si pendeta kepada si anak burung hering ini bahawa tempatnya bukan di sini tetapi di atas sana, di langit biru, ia bukan ayam, ia adalah burung hering. Anak burung hering ini tidak percaya, tetap berkeras yang ia adalah ayam dan tidak boleh terbang. Si pendeta kemudiannya membawa anak burung hering ini ke puncak gunung, dari puncak itu, pendeta pun melepaskan anak burung hering ini ke bawah, jatuhlah ia... terus jatuh ke bawah dan jatuh... tiba-tiba kepaknya terbuka dan mengibaslah ia, dan terbanglah ia, sedarlah ia yang ia adalah burung hering, tempatnya di langit yang cerah membiru...

Itulah Anwar Ibrahim, tempatnya bukan di dalam Umno sana, tetapi di luar sini bersama rakyat.

Monday, September 20, 2004

Memilih dan ilmu memilih

Harus kita belajar sesuatu tentang demokrasi di Indonesia yang kalau mahu diukur umurnya tentulah baru setahun jagung, setelah lama dihentak oleh kediktatoran rejim Suharto. Saya sebenarnya tertarik dengan catatan yang dibuat oleh Zulkefli Hamzah, koresponden Utusan di Jakarta dua hari lepas, yang meninjau suasana Pilihanraya Presiden Indonesia yang pertama di antara Megawati dan Susilo.

Apa yang membuat saya "terus" membaca catatan beliau ini adalah cerita seorang rakyat Indonesia yang bernama Agus, si penjual buah. Agus memberi satu analogi tentang memilih pemimpin ini, ia ibarat membantu menolak kereta yang rosak, setelah kereta itu dapat berjalan, pemandu akan terus pergi tanpa mengucapkan terima kasih dan mengenang budi. Itulah analogi antara rakyat yang memilih dan pemimpin yang mahu dipilih. Soalnya, mengapa Indonesia dalam semuda ini mengharungi demokrasi yang sebenarnya punya rakyat yang begitu faham tentang hak dan tanggungjawab mereka, punya pengetahuan yang jelas tentang demokrasi dan permainan di dalamnya? Apakah "penjual buah" di negara kita juga secerdik Agus?

Bila kita mahu menawarkan satu barangan, katakan mesin pengisar bawang, lada dan seumpamanya, kepada satu pasaran baru yang tidak pernah kenalpun barangan ini, maka gerakan pertama sudah tentulah memahamkan pasaran tentang barangan tersebut, apakah barangan tersebut, apakah kegunaannya, bagaimanakah mendapatkannya dan bagaimanakah menjaganya. Begitulah juga demokrasi sebagai satu sistem yang ditawarkan kepada rakyat, terlebih dahulu rakyat harus diilmukan secukupnya tentang apakah itu demokrasi. Melihat kepada kemampuan si penjual buah, Agus berbicara tentang hak dan pandangannya tentang senario pemilihan Presiden (satu rutin demokrasi dalam negara demokrasi yang bersistem republik), maka saya boleh percaya bahawa reformasi di Indonesia telah melalui landasan yang betul, dan sudah mula membibitkan bunga-bunga kejayaan.

Saya tahu akan ada orang yang memperlekehkan Indonesia, semata-mata kerana masalah dalamannya, masalah "keganasan?" mungkin, seperti insiden pengeboman di Kedutaan Australia baru-baru ini, juga di Hotel J.W. Marriott dan di Bali sebelum ini. Indonesia adalah negara yang punya penganut Islam teramai, 88% dari 238,452,952 keseluruhan penduduk (pembaca boleh kira sendiri). Tentulah masalah umat Islam sejagat akan sangat memberi kesan kepada rakyat mereka. Manifestasi bantahan dan sentimen terhadap tribulasi umat Islam di negara lain kadang-kadang sangat membakar jiwa rakyat mereka dan dalam keramaian ini (melebihi 238 juta) tentulah sukar juga dikawal, dan kesudahannya apa yang kita ikut sebut sebagai "keganasan?" itu berlaku.

Tetapi saya lebih praktikal untuk melihat isu-isu "keganasan?" ini secara terasing dengan proses pendemokrasian di Indonesia. Reformasi di Indonesia telah berjaya meletakkan asas yang kuat untuk terdirinya sebuah negara demokrasi yang "bijak" dan mendapat dokongan rakyat.

Saya merasa malu pula bila berpaling dan melihat negara saya sendiri, Malaysia, yang dikata aman-damai dan kaya-raya ini, tegaknya demokrasi di sini bermula sama dengan tertegaknya kemerdekaan negara kita pada 31 Ogos 1957. Apakah rakyat sedari mula difahamkan tentang apakah itu demokrasi, apakah hak dan tanggungjawab mereka dalam sitem demokrasi, apakah kemungkinan-kemungkinan permainan politik yang boleh timbul dalam sistem demokrasi? Sistem pendidikan kita pun tidak pernah mahu mencurahkan ilmu sejujur-jujurnya tentang demokrasi.

Saya mencari-cari "Agus" di kalangan kita, yang melihat pemilihan atau pilihanraya itu dengan rasa penuh berhak dan bertanggungjawab. Malangnya yang lebih ramai saya jumpa adalah yang "mundur," "ketinggalan" dan "buta huruf" tentang demokrasi... seperti mereka disengajakan begitu, supaya pemilihan atau pilihanraya boleh dijadikan permainan atas nama demokrasi, yang "mundur," "ketinggalan" dan "buta huruf" ini pula menerima pemilihan atau pilihanraya tidak lebih sebagai satu pesta, pesta cari duit! Yang biasa sudah cukup gembira dengan wang seratus-dua ringgit dan sehelai-dua kain pelikat atau batik, sementara golongan peniaga pula sibuk dengan mengira untung projek segera. Cuba fikir, bagaimanakah seorang dara doleh memilih terunanya dengan betul dan yang terbaik jika dia telah dicalit dengan minyak pengasih, minyak senyonyong, minyak dagu, minyak cenuai dan pelbagai lagi...

Sekarang kita disibukkan dengan berita-berita Perhimpunan Agung Umno. Konon khabarnya, 50,000 orang akan berkampung di Kuala Lumpur. Sebahagiannya adalah perwakilan, sebahagian lagi adalah para pemerhati. Mari kita sama-sama lihat, antara yang datang ini, dari seluruh pelusuk negara, tentulah sebahagian besar daripada mereka punya pekerjaan yang lebih baik dari menjual buah, apakah mereka secerdik Agus untuk melihat permainan politik pemimpin mereka. Saya juga sebagai aktivis politik, ingin juga mencari Agus dalam Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat yang pertama pada pertengahan Disember nanti.

Thursday, September 16, 2004

Bila cangkir telah retak, bila hati telah koyak...

Kata orang, atau mungkin juga kata Anwar, masa adalah perawat terbaik, marah pun boleh kebah, dendam pun boleh padam. Tetapi ada sebaris dialog dalam filem Kickboxer yang pernah saya tonton terus melekat di fikiran saya sehingga ke hari ini, "revenge is bad, but effective," maksudnya membalas dendam memang tidak baik tetapi berkesan.

Sebelum 1999, atau lebih tepat lagi sebelum 2 September 1998, cangkir kepercayaan saya terhadap Umno dan Barisan Nasional yang memerintah masih belum retak walaupun isinya tidak penuh, selaput keyakinan di hati pun belum lagi terkoyak, walaupun kalau mahu diukur ketebalannya, ia mungkin hanya senipis kulit bawang. Ketika itu saya tidak pernah menjangka yang saya akan terbabit dengan politik, apalagi sampai terlibat sejauh ini. Namun, itu tidak pula bermaksud saya tidak endah dan cakna dengan perkembangan politik tanahair.

Saya cuma rakyat biasa, yang pernah membesar dalam keluarga nelayan yang sangat dhaif. Saya adalah seorang rakyat yang tidak punya apa-apa, yang tiba-tiba melihat dirinya sudah berada di barisan hadapan dalam sebuah perjuangan yang maha payah. Dalam satu majlis saya pernah berucap, "Barangkali, kerana orang seperti sayalah yang muncul di barisan hadapan Parti Keadilan, maka Keadilan dikatakan tidak boleh diandalkan, tidak boleh disandarkan, kerana di dalamnya tiada tokoh-tokoh berwibawa, tiada orang-orang berpengalaman dalam politik, tiada nama-nama besar! Tapi bagi saya apa perlu nama besar! Kalau nama besar itu hanya pandai untuk membesarkan rumah-rumah mereka yang sudah sedia besar, hanya pandai membesarkan kereta-kereta mereka yang sudah sedia besar, hanya pandai membesarkan isteri-isteri mereka yang sudah sedia besar, dan hanya pandai membesarkan perut-perut mereka yang sudah sedia besar! Atau seperti kata abang saya, Saudara Hamdan Taha (malangnya dia khianat pada perjuangan), membesarkan perut-perut mereka dan bawah-bawah perut mereka sahaja!!!"

Mengapalah saya, orang biasa yang tidak punya apa-apa ini bersungguh-sungguh benar... akhirnya yang susah saya juga, apakah saya tidak serik-serik lagi untuk hidup susah? Anwar ditangkap pada 20 September 1998, kemudiannya muncul di mahkamah dengan sebelah matanya lebam. Anwar ditumbuk oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor, dipukul dengan cara yang boleh membawa maut, dibiarkan tanpa rawatan selama empat hari, selepas itu baru dibawa berjumpa seorang doktor perempuan berbangsa India dengan mata tertutup, tangan terikat dan bertelanjang bulat! Adakah sesiapa yang merasa terkejut dengan pengakuan Malek Hussin di dalam Mahkamah Tinggi (Bahagian Sivil) Kuala Lumpur bahawa pada tanggal 25 September 1998, beliau semasa dalam tahanan telah menerima tidak kurang enam puluh pukulan, dipaksa minum air kencing, dipukul kemaluannya dan duburnya dirodok dengan bahan seperti kabel, oleh sekumpulan anggota polis yang juga diketuai oleh Rahim Noor. Apakah ini semua bohongan politik? Demi Allah! Dalam tragedi di Lebuhraya Kesas, mata saya yang masih terang ini melihat bagaimana seorang pakcik dipukul anggota FRU dengan belantan sehingga patah belantan itu. Di bumi bertuah ini, kezaliman polis menjadi realiti yang sangat mengerikan!

Sejak itulah saya berdendam. Sejak itulah cangkir kepercayaan saya mula retak, dan isinya yang asalnya memang tidak penuh berterusan mengalir keluar. Sejak itulah juga selaput keyakinan di hati saya mula terkoyak. Sudah enam tahun! Cangkir kepercayaan saya yang retak itu sudah kosong isinya, dan tidak ada lagi walau sejenis "plaster" pun yang berupaya menampal selaput keyakinan di hati saya yang telah terkoyak, bahkan sudah sampai ke tahap rabak. Saya adalah rakyat biasa yang terluka, dan saya percaya di luar sana masih ramai rakyat biasa yang sama terluka seperti saya, yang takut, berdiam diri dan tidak mampu berbuat apa-apa. Dendam saya adalah pada kekuasaan Umno dan Barisan Nasional, membalas dendam bagi saya adalah meragut kekuasaan itu daripada cengkaman mereka.

Dalam perkembangan yang mengejutkan, pada 2 September 2004 yang lalu, Anwar Ibrahim telah dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan Putrajaya dengan keputusan penghakiman 2-1, satu manifestasi cubaan Yang Arif Para Hakim untuk keluar dari belenggu campurtangan tidak bermaruah Umno dan Barisan Nasional (dengan mengambil peluang kelemahan cengkaman Pak Lah, berbanding ketika zaman Mahathir dulu). Pembebasan ini sudah tentulah disambut gembira oleh seluruh pendukung keadilan di Malaysia. Saya bukanlah pengkagum nombor wahid Saudara Anwar Ibrahim, tetapi satu yang pasti, saya akan terus menjadi pendendam setia terhadap Umno dan Barisan Nasional yang memerintah.

Monday, September 13, 2004

Anwar atau Umno yang semakin tidak relevan?

Kebelakangan ini berita paling hangat di kalangan orang politik ialah spekulasi kemungkinan kembalinya Anwar ke pangkuan Umno, juga spekulasi wujudnya usaha-usaha dari kalangan Umno sendiri yang cuba membawa semula Anwar ke dalam Umno. Baik kita melihat ke asas spekulasi ini, dari manakah spekulasi ini bermula? Satu jawapan paling jelas yang saya boleh berikan ialah ia bukan datang dari pendokong Parti Keadilan Rakyat! Ini sudah cukup untuk pembaca tulisan saya membuat rumusan sendiri...

Ketika Anwar mula mendapat "kebebasan"nya kembali selepas 2 September baru-baru ini, Datuk Seri Nazri Tan Sri Aziz memberi komen bahawa faktor Anwar dalam senario politik Malaysia sudah tinggal sejarah, belum tentu lagi Datuk siapa yang bakal menjadi sejarah! Sehari-dua ini sudah membuktikan kegagalan teori Datuk Seri Nazri. Siapakah yang sedang memekik-mekik tentang Anwar, supaya didengari oleh seluruh rakyat Malaysia. Mereka sedang menafikan bahawa wujudnya spekulasi Anwar kembali kepada Umno, dan menolak kemasukan tersebut, itupun jika wujud kemungkinan itu.

Dalam kenyataannya, Penolong Setiausaha Pemuda Umno, Datuk Ab Rauf Yusoh menolak spekulasi ini dengan alasan Anwar adalah orang yang pernah menjuarai dan merestui demonstrasi jalanan untuk menjatuhkan kerajaan yang sah dan dipilih melalui proses demokrasi tidak mempunyai kredential, kononnya untuk menyemarakkan proses demokrasi atas nama reformasi dan keadilan.

Bukan itu sahaja, "merbahaya"nya Anwar bagi Umno ini telah memaksa Pak Lah sendiri membuat penjelasan, bahawa tidak wujudnya tawar-menawar di antara beliau dan Anwar, serta penegasan bahawa tidak ada tempat untuk Anwar di dalam Umno dan kerajaan.

Soalnya kenapa perlu bising-bising, memekak di dada-dada akhbar?

Apakah rakyat yang memainkan spekulasi ini, atau apakah rakyat yang meminta Umno supaya mengambil semula Anwar? Sehingga memaksa media-media arus perdana digunakan untuk menjelaskannya?

Nampak sangat Umno sedang dihantui oleh bayang-bayang "ketidakrelevanan" Anwar ini. Sedangkan sebenarnya spekulasi ini adalah spekulasi antara mereka dengan mereka sahaja, antara Umno dengan Umno sahaja, kerana "ketidakrelevanan" Anwar ini, mereka sudah mula bertelagah sesama sendiri.

Sememangnya ada pemimpin Umno yang panas telinga, hidung dan mata bila mendengar nama Anwar. Jadi untuk menjawab spekulasi bikinan mereka sendiri ini, ada kumpulan yang harus dikambinghitamkan, hari ini sekali lagi Datuk Ab Rauf Yusof, Penolong Setiausaha Pemuda Umno membuat kenyataan, bahawa cubaan membawa semula Anwar ke Umno adalah ikhtiar bekas pimpinan Parti Keadilan yang kini berada di dalam Umno. Itulah nasib orang yang khianat pergi menyembah musuh, di kem musuh pun mereka dianggap pengkhianat!

Umno semakin bergegar... anak muda yang idealis tidak lagi memandang Umno untuk menjejak nilai-nilai perjuangan. Semalam saya menerima mesej daripada seorang bekas mahasiswa yang baru sahaja menghabiskan pengajiannya di UiTM dalam bidang kewartawanan. Katanya dia sangat mengkagumi tulisan dan pandangan saya, seperti seorang editor, komennya.

Bukan cerita itu yang ingin saya panjangkan di sini, tetapi soalnya kenapa dia tidak jadi pengkagum Khairy Jamaluddin, atau sekurang-kurangnya Datuk Ab Rauf Yusoh itu... dan saya pasti bahawa dia tidak tahu apakah nama editor akhbar Berita Harian dan Utusan Malaysia.

Yang membuat semakin parah lagi lagi, bila Datuk Seri Dr Lim Keng Yeik, Presiden Parti Gerakan seperti membayangkan bahawa menjelang 2020, dari segi politik kepartian, sistem satu parti pelbagai kaum akan menjadi semakin relevan dan diterima, dalam usaha mewujudkan bangsa Malaysia seperti yang dihasratkan dalam Wawasan 2020, beliau memberi komen tentang usaha penggabungan Parti Gerakan dan MCA, entiti selepas penggabungan itu juga seharusnya pelbagai kaum! Ia, sama ada secara sengaja atau tidak seperti memberitahu rakyat bahawa Umno, MCA dan MIC serta parti-parti politik lain yang berteraskan kaum akan semakin tidak relevan dan ditolak!

Keperluan ini sudah dilihat oleh Parti Keadilan sejak di awal penubuhannya lagi, penggabungan dengan PRM kerana menyedari bahawa tidak perlu wujud dua buah parti politik pelbagai kaum dominan Melayu di negara ini, penggabungan juga sudah tentu menguatkan, dalam usaha untuk merealisasikan kata-kata "alaf baru, politik baru." Malaysia adalah sebuah negara pelbagai kaum, dengan Melayu dan Bumiputera lainnya mendominasi sebanyak 58%, China 24%, India 8%, Lain-lain 10%.

Jadi bila bercakap soal keperluan politik dalam usaha pembentukan bangsa Malaysia menjelang 2020, pembaca sendiri sudah boleh menelah siapakah yang lebih relevan, antara Parti Keadilan (pelbagai kaum - dominan Melayu), Parti Gerakan dan DAP (pelbagai kaum - dominan China) ataupun PPP (pelbagai kaum - dominan India), sudah tentu parti seperti Umno tidak lagi termasuk dalam perkiraan ini.

Wednesday, September 08, 2004

Wujudkah kemungkinan Anwar kembali kepada Umno?

Andaian tentang ini sudah mula diperkatakan sebaik sahaja Anwar dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada 2 September 2004 yang lalu, bukan sahaja di ruang-ruang sembang dan portal berita internet, tetapi juga oleh media-media massa arus perdana.

Justifikasi untuk andaian ini amat senang, zaman Mahathir sudah berakhir, ini zaman Pak Lah dan Pak Lah sudah membuktikan toleransinya, mahu apa lagi? Buangkanlah segala yang keruh, ambil yang jernih, sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula manusia... itu kata mereka. Pusinglah kembali sejarah ke tarikh 2 September 1998, ketika Anwar dituduh meliwat dengan Azizan, Sukma dan Dr. Munawar Anes, ketika Anwar dituduh menyalahguna kuasa "menggertak" Ummi Hafilda, ketika Anwar dituduh bermukah dengan isteri setiausaha sulitnya sendiri, bukan itu sahaja, Anwar juga dituduh main perempuan, dituduh mengorat bini orang (kes-kes ini tidak dibawa ke mahkamah) dengan deretan pengakuan dan VCD palsu yang sungguh jijik dan meloyakan. Ketika itu, siapakah kalangan menteri Umno dan Barisan Nasional yang datang melindungi dan mempertahankan maruah Anwar? Pak Lah? Tidak, malahan tiada seorang pun, yang ada hanyalah sebahagian rakyat yang bangkit, rakyat yang selama ini tidak pernah terjentik pun nafsunya untuk sama bergelumang dengan kemewahan politik kotor Umno dan Barisan Nasional.

Barangkali orang lupa bahawa sikap Pak Lah yang berdiam diri ketika Anwar dianiaya di bawah pemerintahan Mahathir dululah yang memungkinkan Pak Lah berada dikedudukannya sekarang, sebagai Perdana Menteri Malaysia. Saya tidak lupa! Hukum apakah yang kita pakai bila kita terus boleh melabelkan seseorang di kedudukan nombor satu ini sebagai baik dan toleran, hanya bila dia cuba berlaku baik dan toleran, sedangkan dalam usaha dia memanjat ke kedudukan ini, dia pernah bertindak hanya sebagai pemerhati dan merelakan kemungkaran serta kezaliman berlaku di depan mata; memerhati sahaja bila Anwar dilebamkan matanya, merelakan bila Anwar dituduh dengan macam-macam tuduhan kotor dan memualkan; pada ketika dia sudahpun bergelar menteri dan pemimpin kanan Umno. Dalam politik mazhab Umno dan Barisan Nasional, takrif "kesabaran untuk naik" itu termasuklah membiarkan dulu segala apa yang dilakukan oleh pemimpin teratas, tidak kiralah ia betul atau salah, tidak kiralah ia sampai menzalimi orang lain, tidak kiralah ia memalu dan mengguris maruah orang lain, janji sabar! Bukankah sabar itu sebahagian dari iman?... hahaha!!! Apakah ini bukan satu dosa? Atau orang Melayu sememangnya mudah lupa?

Anwar mungkin bukan seorang pendendam, lebih dari itu beliau sangat pemaaf orangnya. Tetapi kadang-kadang baik juga untuk kita mengingat pesan orang-orang tua, jangan kita dipatuk kali kedua oleh ular yang sama dalam lubang yang sama. Kita telah melihat nasib yang menimpa Ku Li dan Ibrahim Ali. Untuk apa Anwar perlu merujuk kembali kepada sebuah organisasi yang pernah secara keseluruhannya, secara konsensus, menendang dan menyepaknya keluar secara paling tidak terhormat dan memalukan, tanpa dibela oleh mana-mana sahabat seangkatannya, wa'ima Pak Lah sekalipun! Jangan kita jadi anjing kurap yang kebulur...

Andaian-andaian tentang kemasukan semula Anwar ke dalam Umno yang diutarakan oleh penulis-penulis tertentu (yang sudah tentu punya kepentingan), berhujah di atas premis bahawa dalam politik kawan hari ini boleh menjadi musuh esok hari, musuh hari ini boleh menjadi kawan esok hari, politik adalah seni serba mungkin. Untuk mencapai hajat, kawan boleh dimusuhi, musuh boleh dikawani! Ini doktrin siapa? Ini doktrin Mahathir, penganut setia fahaman Machivellian! Satu doktrin yang telah menjalar dan menular, melekat kuat di tubuh badan Umno dan Barisan Nasional. Lebih malang lagi, ia juga menjadi pertimbangan dalam analisa politik oleh sesetengah penulis yang mengaku kononnya profesional. Mahathir memang sukakan penafsiran semula, beliau telah berjaya meninggalkan satu legasi hebat, penafsiran semula tentang apakah itu setiakawan dalam politik.

Setelah menulis sepanjang ini, jika jawapannya masih "ya" untuk andaian dan kemungkinan yang dinyatakan, maka kesimpulan saya menjadi cukup mudah, politik ini memang sampah!

Sunday, September 05, 2004

Anwar Ibrahim bebas: apa selepas ini?

Putrajaya 2 September 2004, satu hari gembira yang hiba. Sudah lebih dua puluh tahun saya tidak menangis (biasalah... yang bertahan sebagai pejuang sememangnya berhati keras dan terjal), tetapi entah mengapa, selepas sahaja Anwar diumumkan bebas, sebak di hati seakan-akan tidak dapat ditahan, apalagi bila Saudara Saifuddin Nasution datang memeluk saya... dan menangis, keterjalan saya habis di situ, setelah sekian lama, saya mendengar esakan saya sendiri, air matapun jatuhlah, gugur dan berderai.

Gembiranya kerana setelah mengharung seribu lautan duka, harapan untuk mengecap secangkir rasa manis perjuangan ini akhirnya tercapai jua. Hibanya kerana tiba-tiba sahaja segala keperihan selama enam tahun berjuang ini muncul silih berganti di benak fikir menekan perasaan. Bermula pada tahun 1999, ketika itu umur saya 27 tahun sehinggalah sekarang, umur saya sudah menjangkau 32 tahun. Saya cuba abaikan segala kehendak kepada keselesaan hidup yang saya boleh cari dengan tahap pendidikan yang saya ada; dengan syarat saya mundur dari posisi depan perjuangan ini. Saya sisihkan satu-satunya tuntutan fitrah dan naluri manusia muda seperti saya, berkahwin!!! Kerana saya tahu saya susah dan saya tidak mahu menyusahkan orang lain.

Seterusnya apa selepas ini? Apakah Anwar akan lenyap ditelan masa? Atau seperti komen Datuk Seri Nazri Tan Sri Aziz bahawa faktor Anwar (dalam senario politik Malaysia) sudah tinggal sejarah? Tetapi realiti yang berlaku selepas 2 September itu jelas menunjukkan sebaliknya. Balik sahaja ke Kuantan, keesokan harinya (3 September 2004), ketika singgah di sebuah kedai runcit di bandar, tuan kedai memberitahu akibat berita pembebasan Anwar, surat khabar sudah menjadi goreng pisang panas dan "sold out"! Itu di Kuantan, di peringkat nasional, tiba-tiba sahaja indeks papan utama Bursa Malaysia melonjak melebihi 13 mata, kenaikan juga berlaku dalam indeks emas dan indeks papan kedua. Walaupun masih ada pandangan-pandangan prejudis yang cuba merasionalkan kenaikan-kenaikan ini dengan sebab lain, hakikatnya tetap tidak boleh dinafikan dan terpampang di depan mata.

Apakah sebenarnya isyarat yang sedang dihantar kepada kita? Petunjuk-petunjuk ini membuktikan bahawa, sama ada rakyat dari kelas biasa sehingga ke golongan pelabur masih "melihat" Anwar, memberi perhatian kepada beliau, lebih dari itu masih menganggap bahawa Anwar masih "seseorang" yang negara boleh bergantung harap.

Anwar akan berangkat ke Jerman malam ini untuk menerima rawatan, selamat berangkat kita ucapkan, semoga selamat pergi dan kembali. Kembalinya Anwar nanti sudah tentu akan membawa gelombang baru dalam perjuangan rakyat. Perjuangan menegakkan keadilan dan menumbangkan kezaliman tidak akan ternoktah setakat pembebasan Anwar. Alhamdulillah, akhirnya cengkaman parti pemerintah terhadap institusi kehakiman berjaya kita rungkaikan. Sesungguhnya masih ada deretan nama institusi-institusi dan jabatan-jabatan kerajaan yang masih kuat dicengkam dan dibelenggu, ada yang dikasi, antaranya termasuklah PDRM, SPR, KEMAS, Biro Tatanegara, Majlis Keselamatan Negara, JPN dan sebagainya. Atas nama reformasi, kita yang mengaku pejuang keadilan inilah yang wajib merungkai dan membebaskannya. Untuk itu, perjuangan mesti terus.

Menyelusuri sejarah, gegaran keramat kalimah reformasi dan keadilan bangkit dari gemuruh suara rakyat. Maka bila berbicara tentang perjuangan pasca pembebasan Anwar, agenda pertama yang perlu dibahaskan adalah bagaimana untuk menobatkan kembali kuasa rakyat seperti mana yang di"semangat"kan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Tentulah sehingga ke tahap ini, Anwar sudah menjadi ikon besar perjuangan yang tiada galang gantinya dalam menyemarak kesedaran tentang kekuasaan rakyat. Selepas ini, jika perjuangan menobatkan kuasa rakyat dapat mencecah garis mentari kemenangan, maka ia harus dilambangkan dengan penobatan Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia!!!

Untuk itu juga, perjuangan akan tetap terus. Jangan sesiapa menyangka bahawa reformasi telah mati pada 2 September 2004 di jujuran anak tangga "Palace of Justice"! Malaysia sedang memerlukan sebuah kerajaan baru... mungkin dalam sedekad ini.

Dari Kuantan ke Padang Serai
Singgah makan di Pekan Lunas
Hancur badan nyawa bercerai
BN tak tumbang saya tak puas