Tuesday, November 08, 2005

Integriti Kuih Yang Tiada Inti

Pak Lah nampaknya pandai bermain dengan sentimen "kemuliaan." Pada ketika rakyat terutamanya yang beragama Islam dan Hindu masih hangat merayakan Eidul Fitri dan Deepavali, Pak Lah tiba-tiba mengumumkan 5 November 2005 baru-baru ini sebagai Hari Integriti Nasional, yang jatuh pada hari sambutan Eidul Fitri yang ketiga dan hari sambutan Deepavali yang kelima. Sepatutnya dan sewajarnya saya memberi sokongan penuh dan tidak berbelah-bahagi terhadap usaha ini, apalagi sempena hari baik bulan baik, semoga dilimpahi keberkatan dari Yang Maha Esa. Namun apakah ia begitu?

Sehari selepas pengisytiharan ini, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye pula membuat gesaan supaya integriti menjadi budaya rakyat Malaysia di semua peringkat masyarakat. Saya percaya bahawa budaya integriti ini, budaya menolak rasuah, bersikap telus dan terbuka, serta jujur sudah menjadi amalan majoriti rakyat Malaysia, tetapi bagaimana pula dengan majoriti pemimpin Umno? Sama ada di peringkat atasan atau bawahan? Saya yakin tentulah Tan Sri Lee Lam Thye lebih maklum akan senario ini kerana beliau juga pernah bergelumang dengan dunia politik, tambah lagi sebagai pemimpin pembangkang!

Saya berani mengatakan dan menuduh bahawa sebahagian besar pemimpin bawahan Umno, di bawah pimpinan Pak Lah sendiri, terutamanya yang pernah menjadi perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno, tiada langsung nilai integriti dan merupakan penerima rasuah yang tegar. Buktinya, Isa Samad yang didapati bersalah memberi rasuah dalam Pemilihan Umno satu ketika dulu merupakan pemenang undi terbanyak dalam pertandingan jawatan Naib Presiden Umno, maksudnya perwakilan memberi undi yang tinggi kepada pemimpin yang memberi rasuah! Apakah laungan integriti Pak Lak reflek kepada Umno?

Saya juga harus bertanya kepada Pak Lah, atas nama integriti, bagaimana Pak Lah mampu menerangkan tentang prestasi sebuah syarikat yang bernama Scomi yang tiba-tiba melonjak namanya di muka-muka dan di dada-dada media? Walhal, seingat saya, saya tidak pernah terperasan nama pelik ini dalam laporan-laporan bursa saham, sama ada kaunter aktif atau tidak aktif, sama ada kaunter untung atau rugi, dalam berita TV saban hari, sebelum Pak Lah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Atas nama integriti, saya turut ingin bertanya kepada Pak Lah, siapakah Khairy Jamaluddin itu selain statusnya sebagai anak menantu? Bagaimana boleh Khairy tiba-tiba menang tanpa bertanding kerusi Naib Ketua Pemuda Umno? Apakah benar Khairy punya sokongan padu daripada para perwakilan? Ironinya, beliau diboo ketika naik ke pentas.

Lama sebelum ini, Pak Lah telah menubuhkan Institut Integriti Malaysia, dan hari ini institut tersebut sendiri mencadangkan supaya Badan Pencegah Rasuah (BPR) diletakkan langsung di bawah Parlimen, untuk apa? Supaya BPR akan punya integriti. Beranikah Pak Lah menyahut seruan ini dalam mengisi laungan integriti beliau sendiri? Saya teringin melihat keberanian Pak Lah menyambung usaha Anwar membentangkan pindaan Rang Undang-Undang Akta Pencegahan Rasuah, yang antara lainnya bagi membolehkan orang-orang yang sudah bersara lebih sepuluh tahun dari perkhidmatan kerajaan, terus diseret ke mahkamah jika dibuktikan pernah menyalahguna kuasa dan berlaku rasuah (ini termasuklah bekas menteri-menteri kabinet dan exco-exco kerajaan negeri).

Beranikah pula Pak Lah membatalkan status SULIT dan RAHSIA RASMI KERAJAAN terhadap kertas-kertas siasatan BPR yang melibatkan kalangan pemimpin Umno sendiri, seperti kertas siasatan Rafidah Aziz dan Rahim Thamby Chik, jika beliau benar-benar memperjuangkan integriti? Bagaimana pula jika saya cadangkan Pak Lah memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat, supaya rakyat tanpa takut dapat meneliti maklumat tentang salah laku dan rasuah pemimpin Umno serta Barisan Nasional, bukankankah ini juga sebahagian dari bukti pimpinan yang ada nilai integriti?

Bagaimana tentang kebebasan media? Kebebasan media untuk memuji atau mengkritik kerajaan, tanpa ada niat untuk membodek, juga tanpa ada rasa takut. Sebuah kerajaan yang penuh dengan nilai integriti sepatutnya tidak perlu takut dengan media yang bersifat mengkritik, tidak perlu untuk membataskan permit keluaran penerbitan, tidak perlu takut untuk menyambung permit penerbitan atau mengeluarkan permit penerbitan yang baru. Kerajaan yang penuh dengan nilai integriti sepatutnya yakin untuk berhadapan dengan mana-mana pengkritik sekalipun!

Jika Pak Lah benar-benar seorang yang punya nilai integriti yang tinggi, saya percaya yang isu AP tidak akan berlarutan begitu panjang. Pak Lah sebenarnya tidak perlu membiarkan Rafidah Aziz dan Mahathir Mohamed bergaduh sesama mereka, sebagai Perdana Menteri, Pak Lah sendiri boleh berhadapan dengan rakyat dan menjelaskannya, kerana beliau boleh mendapat semua maklumat tentang isu tersebut dengan kapasitinya itu. Atau apakah Pak Lah berharap dengan membiarkan Rafidah Aziz dan Mahathir Mohamed menyelesaikan kemelut AP ini rakyat akan melihat isu ini hanyalah isu peribadi mereka berdua. Dan jika Pak Lah campurtangan ia akan memberi kesan kepada Umno, Barisan Nasional dan kerajaan pimpinannya? Pak Lah takut dicop sebagai pemimpin berintegriti yang memimpin parti dan kerajaan yang korup?

Oh ya, atas nama integriti, saya ingin sangat meminta Pak Lah menukar istilah politik wang kepada rasuah!

Atau, apakah integriti laungan Pak Lah hanyalah kuih yang tiada inti, entahlah...

Saturday, October 29, 2005

Lebaran Dalam Perjuangan...



Perjuangan kita masih panjang, pun begitu Lebaran tetap juga datang saban tahun, untuk kita raikan, pastilah dengan kegembiraan. Namun dalam kegembiraan ini, harapnya kita insaf bahawa setiap hari kemenangan yang mahu kita dakap dan sambut pasti didahului dengan rantaian dugaan dan cubaan yang mungkin panjang.

Salam Lebaran. Maaf Zahir dan Batin.

Zukri Aksah
Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia
Malaysian Community for Progressive Leadership

Sunday, September 04, 2005

Wawancara Hari Kebangaan bersama Zukri Aksah - KeadilanRakyat.Org

http://www.keadilanrakyat.org/spm/index.php?option=com_content&task=view&id=146&Itemid=33

Oleh Jeffrey Lim

Sempena Hari Kebangsaan, saya sebagai seorang penyokong muda telah sempat mewawancara beberapa orang pemimpin parti dan blogger mengenai sedikit sebanyak pandangan mereka tentang kemerdekaan negara kita. Pada hari ini, jawapan daripada Sdr Mohd Zukri Aksah, Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia serta Ketua Angkatan Muda Bahagian Indera Mahkota akan disiarkan.

Jeffrey: British telahpun dihalau dari negara kita 48 tahun dahulu, tetapi banyak dasar serta taktik zalim mereka seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), pecah dan perintah dan sekatan ke atas pendidikan bahasa ibunda terus wujud sehingga saat ini. Dari aspek kebebasan akhbar dan pilihanraya tempatan, it lebih teruk daripada 48 tahun dahulu. Dalam pandangan saudara, adakah kita benar-benar merdeka?

Zukri: Hanya satu takrif kemerdekaan yang betul untuk Malaysia, iaitu negara kita tidak lagi diperintah oleh orang asing dari negara asing, negara kita sekarang diperintah oleh orang yang datang dari dalam negara kita juga, warganegara Malaysia. Yang lain tu, saya boleh kata kita cuma merasai hampas kemerdekaan! Bahkan hampas itu pun semakin hari semakin sedikit, seperti kebebasan dalam pilihanraya, dulu kita masih boleh menganjurkan rapat umum, sekarang tidak lagi.

Budaya ketakutan hidup subur di jiwa rakyat terbanyak kerana propaganda jahat Umno dan Barisan Nasional, isteri mana yang tidak takut memikirkan kemungkinan suami mereka diangkut malam hari atas nama ISA, sebabnya hanya kerana kita lantang bersuara menentang dasar dan tindakan Umno dan Barisan Nasional, bukanlah kerana kita merancang atau terlibat dengan gerakan bersenjata bawah tanah. ISA menjadi senjata ampuh, cukup untuk membuat sesetengah dari kita merasa serba salah memilih di antara perjuangan dan keluarga tersayang.

Soal bahasa ibunda, saya rasa semua sekolah, tidak kira apa jenisnya, perlu mengajar ketiga-tiga bahasa ibunda utama negara ini (mungkin pilihan boleh dibuat di Sabah dan Sarawak), sementara Bahasa Malaysia perlu terus digerak dan dimartabatkan sebagai Bahasa Persekutuan dan Perpaduan.

Jeffrey: Maksud saudara, negara kita tetap dikira merdeka sungguhpun hidup kita sebagai rakyat negara merdeka terus dibelenggu. Soalan seterusnya, ramai termasuk bekas guru di Maktab Melayu Kuala Kangsar berpendapat bahawa taraf perpaduan dan juga pencapaian akademik adalah jauh lebih baik apabila pelajaran dijalankan dalam Bahasa Inggeris. Sebaik sahaja Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar, ia tidak semegah dulu lagi. Apakah ini bermaksud bahasa kebangsaan sukar menyatupadukan rakyat secara berkesan?

Zukri: Ini satu kenyataan yang mengarut dan tiada asas. Perpaduan di Malaysia kelihatannya agak tidak stabil bila timbul isu-isu yang agak sensitif bukan kerana persoalan bahasa, perpaduan kita tidak mantap kerana kita hanya kaya dengan istilah, interaksi antara kaum, integrasi nasional dan sebagainya, tetapi amat malang kerana sampai hari ini, kita hampir gagal sepenuhnya dalam memupuk kepercayaan antara kaum, tak tahulah pula kalau ia sengaja dibiarkan gagal sebegitu untuk memudahkan dasar pecah dan perintah diteruska tanpa sedar kita, demi kehendak segolongan manusia yang terlalu takut kehilangan kuasa.

Dalam soal pendidikan pula, dakwaan mengatakan penukaran penggunaan Bahasa Inggeris kepada Bahasa Malaysia menyebabkan penurunan kualiti dalam banyak aspek sistem pendidikan kita adalah dakwaan dari orang yang tiada atau hilang jatidirinya, mungkin mereka ini membesar di zaman British, dan mengagungkan sistem British, terpengaruh pula dengan gaya imperialis British, sebab itu Ibrahim Yaakob yang didakwa bersekongkol dengan Jepun dikatakan pengkhianat sedangkan mereka yang bersekongkol dengan British dikatakan nasionalis, sedangkan kedua-keduanya penjajah, imperialis!!!

Dalam hal ini kita tidak perlu pergi jauh, tengok sahaja Thailand, amat susah untuk mencari rakyatnya yang hebat berbahasa Inggeris, walau di kalangan penuntut universiti sekalipun, tetapi negara mereka tetap membangun, dalam sesetengah hal jauh meninggalkan negara kita.

Jeffrey: Saya setuju, pendidikan negara kita telah dirogol oleh pemerintah, Jika ia tidak digulingkan, sistem pendidikan akan terus dihamba abdikan. Soalan seterusnya, ramai yang salahkan politik perkauman dan dasar-dasar perkauman sebagai sebab utama kenapa perpaduan tidak wujud. Walau bagaimanapun, tanpa faktor-faktor ini, sekolah kebangsaan tidak semestinya akan menjadi pilihan utama. Adakah ini bererti perpaduan susah dicapai?

Zukri: Ini berkait dengan jawapan saya untuk soalan kedua tadi. Masalah di sini adalah kepercayaan antara kaum yang saya boleh katakan hampir tiada. Saudara boleh rujuk salah satu episod Debat Perdana kelolaan RTM, hujah dari salah seorang ahli panel dari DAP tentang masalah penghantaran anak ke sekolah beraliran kebangsaan, walaupun sekolah yang berbentuk integrasi, yang turut mengajar bahasa ibunda kaum Cina, hujah yang diutarakan senada dengan apa yang saya katakan ini, kepercayaan! Dasar dan polisi yang kita bina selama ini gagal membentuk rasa percaya di antara kaum-kaum yang ada di Malaysia. Jika kepercayaan ini ada, maka tidak timbul lagi persoalan tentang aliran-aliran sekolah.

Jeffrey: Mungkin inilah satu lagi bukti betapanya cemerlang, gemilang dan terbilang kerajaan kita. Soalan seterusnya, kontrak Sosial yang disetujui sebelum kemerdekaan telah hangat dibangkitkan akhir-akhir ini. Malangnya, kebanyakan pihak mentafsirnya mengikut citarasa sendiri, sebagai contoh, Umno menitik beratkan Kedudukan Istimewa Melayu, manakala DAP menitik beratkan Malaysia sebagai negara sekular. Pada pendapat saudara, adakah Kontrak Sosial akan terus relevan kepada kita? Adakah corak fikiran generasi akan datang akan berubah? Kalau ya, ke arah mana?

Zukri: Soalnya, kita mengambil Kontrak Sosial ini dari persepsi mana? Tentulah jika setiap dari kita, apalagi dari kaum yang berlainan menerima Kontrak Sosial ini dari persepsi masing-masing tanpa mahu ada kompromi, kita langsung tidak akan menemui jalan penyudah dan penyelesaiannya.

Saya suka untuk mengambil semangat Kontrak Sosial ini, semangatnya adalah untuk membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia walaupun secara demografiknya sangat unik, sebuah negara yang berbilang kaum, agama dan latar belakangnya tetapi begitu kuat keinginan untuk terus hidup aman damai serta mempertahankan kerukunan sesama rakyat. Maka tidak akan timbul isu Kontrak Sosial itu apa isinya, lebih penting apa pengisiannya, bentuknya akan jadi lebih fleksibel dan pragmatik, membantu kita untuk terus bergerak ke depan, bukan asyik mengungkit peristiwa-peristiwa yang di belakang.

Jeffrey: Bukan apa isinya tapi apakah pengisiannya. Soalan seterusnya, glongan liberal dan fundamentalis mempunyai tafsiran berbeza mengenai peranan Islam dalam Perlembagaan, di mana peranannya tidak dijelaskan. Apakah Islam sebagai Agama Persekutuan cuma memainkan peranan yang lebih kepada protokol, ataupun ia patut dijadikan asas kepada semua perundangan dan penggubalan dasar?

Zukri: Kita sudah meletak Islam adalah Agama Persekutuan di dalam Perlembagaan kita, artikel ini adalah sah dan mengikat. Seharusnya Perlembagaan secara keseluruhannya selari dengan pernyataan artikel ini, dan ia sudah memadai. Saya tidak mahu berkata bahawa Perlembagaan mesti di"Islam"kan berdasarkan artikel ini, tetapi acuan Perlembagaan itu patut bertitik-tolak dari nilai-nilai moral yang dituntut Al-Quran dan Sunnah, atas sifat Islam yang syumul, saya kuat percaya bahawa segala apa nilai-nilai moral yang baik yang dituntut oleh agama-agama lain yang dianut di Malaysia ini sebenarnya terangkum secara lengkap dalam Al-Quran dan Sunnah.

Jeffrey: Yang menjadi masalah sekarang, banyak percanggahan di antara nilai-nilai telah berlaku dan kerajaan nampaknya turut keliru apakah yang harus dibuat. Di antara Perlembagaan dan Al-Quran, serta hak asasi manusia dan Al-Quran, yang mana merupakan keutamaan? Perlembagaan dan hak asasi memastikan kebebasan kepercayaan. Selain daripada merupakan sejenis pemikiran dan ibadat, Islam juga menjadi cara kehidupan dan memiliki sistem undang-undang tersendiri. Adakah kerajaan Barisan Nasional yang terus menghalang perlaksanaan Hudud, Qisas dan Takzir apabila mendakwa negara ini "Negara Islam", sedang membataskan kebebasan kepercayaan rakyat, memandangkan ia termaktub dalam Perlembagaan dan hak asasi?

Zukri: Saudara tidak patut bertanya soalan ini pada saya, saya seorang Muslim. Sebagai seorang Muslim, sudah tentulah saya meletak Al-Quran di tempat tertinggi. Saudara harus ingat bahawa Perlembagaan lahir dari tangan manusia, jika manusia itu zalim maka perlembagaan itu juga akan menjadi zalim, ia tidak boleh menjamin apa-apa, apalagi kebebasan beragama seperti yang saudara katakan.

Perlembagaan sesebuah negara atau Doktrin Hak Asasi Manusia harus berdiri atas pengaruh agama, agama yang menjadi rohnya! Tanpa roh agama inilah, maka hari ini kita lihat, atas nama hak asasi manusia, golongan gay, juga lesbian boleh menuntut supaya mereka dibenarkan berkahwin sesama sendiri, saya yakin bahawa semua agama, apalagi Islam yang saya anuti, tidak akan menerima jenis "hak asasi manusia" seperti ini.

Perlembagaan yang punya roh agama tidak bermaksud merobah struktur negara menjadi Negara Teologi, tetapi cukuplah untuk mengikat kumpulan pemerintah yang dipilih supaya melaksanakan negara hukum (bukan meletak hukum di tangan mereka), memelihara agama dan kepercayaan, menjaga kemuliaan setiap makhluk yang bernyawa, tidak menyisihkan martabat akal fikiran, menjaga keselamatan maruah, keturunan dan harta-benda rakyat serta memastikan hak dan kebebasan rakyat terpelihara.

Hukum Islam memang lengkap, merangkumi Ibadat, Munakahat, Muamalat dan U'qubat, hukum pidana seperti hudud, ta'zir dan qias hanyalah sub topik dalam U'qubat. Apa yang PAS mahu lakukan, apa yang BN tidak mahu lakukan, apa yang BN sudah lakukan dan apa yang PAS belum lakukan dalam perlumbaan mereka mencari takrif negara Islam saya rasa tidak perlu diperbahaskan di sini, yang jelas saudara mesti lebih banyak membaca tentang apa itu Negara Islam.

Jeffrey: Pandangan saudara cukup menarik. Itulah keraguan majoriti rakyat kerana termuncullah terlalu banyak versi tentang apakah "Negara Islam" yang mereka inginkan sehingga rakyat terkeliru, dan pada masa yang sama, mereka menafikan bahawa negara-negara yang dianggap "Negara Islam" sedia ada, seperti Saudi, Iran dan Sudan serta Afghanistan semasa pemerintahan Taleban yang rata-rata merupakan negara diktator yang zalim, akan menjadi model mereka. Yang lebih menyedihkan, mungkin keraguan itulah yang telah menyebabkan parti kita tewas dalam pilihanraya 2004. Soalan seterusnya, apakah Komunis boleh dikatakan telah menyerah diri, selepas Perjanjian Damai di Haadyai ditandatangani? Telah disetujui bahawa ahli Komunis akan dibenarkan pulang, tetapi ramai mangsa keganasan mereka membantah. Apakah yang harus kerajaan putuskan? Pernahkan Komunis berperanan dalam mencapai kemerdekaan dan pembangunan negara?

Zukri: Perjanjian itu sendiri adalah perjanjian damai, bukan perjanjian menyerah diri, tiada istilah menyerah diri di sini. Dalam perjanjian damai ini, pihak Parti Komunis Malaya bersetuju untuk meletak senjata, dan mereka akan dibenarkan pulang ke tanahair. Memang kita lihat banyak tentangan bila timbul isu bekas pemimpin PKM seperti Chin Peng dan Shamsiah Fakeh mahu pulang ke sini, saya tidak salahkan rakyat, memang sengaja dibuat sebegitu, pensejarahan negara kita sentiasa berat sebelah, sentiasa mengherokan Umno dan BN, sedang pejuang-pejuang dari aliran lain, apalagi yang tidak sebulu dengan mereka sentiasa dianggap bangsat dan pengkhianat.

Apapun kesalahan yang pernah dibuat oleh PKM, rekod membuktikan bahawa mereka konsisten dalam mempertahankan prinsip menentang imperialis, mereka mengangkat senjata menentang dua penjajah, Jepun dan British, itu jasa mereka yang tidak boleh kita nafikan. Saudara boleh baca artikel saya yang bertajuk "Chin Peng dan Patriotisme Yang Kabur" untuk penerangan yang lebih lanjut.

Jeffrey: Memang saya setuju Komunis konsisten dalam menentang impirialis Jepun dan British. Apakah pula dengan "20 Perkara" yang bertujuan memelihara kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak masih relevan? Apakah kesannya terhadap integrasi nasional, politik, ekonomi dan masyarakat jika ia dikekalkan, dikaji semula atau dimansuhkan?

Zukri: Saya rasa isu ini ada persamaan dengan isu Kontrak Sosial tadi, kita harus berbalik kepada semangat penubuhan Malaysia itu sendiri, tarikh yang akan kita sambut ulang tahunnya pada 16 September nanti. Jika semangatnya adalah integrasi sosial, politik dan ekonomi yang menyeluruh, maka kita harus lebih rasional dan bersedia untuk bergerak ke hadapan.

Dalam hal ini, Perlembagaan Persekutuan mesti dibina berasaskan kefahaman yang jitu terhadap aspirasi integrasi ini, di samping turut mengambil kira kepentingan etnik yang pelbagai dalam negara ini, serta tidak mengabaikan hak-hak eksklusif negeri-negeri yang bergabung di dalam Persekutuan ini, tidak hanya terhad kepada Sabah dan Sarawak sahaja.

Bila semangat sebegini berjaya diserapkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan, saya tidak nampak apa perlunya lagi Perjanjian 20 Perkara itu. Soal-soal seperti imegresen dan permit kerja itu bagi saya tidak lebih sekadar perkara kosmetik sahaja. Ini semua tidak lagi akan termasuk dalam perkiraan jika semangat yang saya sebutkan tadi boleh kita (seluruh rakyat Malaysia, dari Perlis sampailah ke Sabah) jiwai.

Jeffrey: Di bawah pemerintahan sekarang, rakyat Malaysia lazimnya menyamakan semagat patriotisme kepada kibarnya bendera, konsert merdeka dan percikan bunga api. Bolehkah saudara cadangkan kaedah-kaedah perayaan yang lebih mendatangkan manfaat?

Zukri: Apa yang saudara sebutkan itu adalah cara-cara merayakan ulangtahun kemerdekaan, bukan cara menunjukkan semangat patriotik. Ya, saya akui mungkin sesetengah dari kita melakukan kaedah-kaedah perayaan kemerdekaan yang saudara sebutkan itu memang kerana desakan semangat patriotik mereka, tetapi bagi saya semangat patriotik itu mesti dihayati dahulu, kemudian baru dirayakan!

Perayaan kemerdekaan sepatutnya menjadi medan membuktikan semangat patriotik rakyat Malaysia kepada dunia, bukan setakat hari cuti umum untuk berjalan, berlibur dan berhibur. Saya teringin untuk melihat stesen-stesyen TV di Malaysia, pada 31 Ogos setiap tahun menyiarkan pengkisahan perjuangan rakyat ke arah tertegaknya Malaya yang merdeka, bukan asyik-asyik kisah Tunku ke London berbincang meminta kemerdekaan dari British, malu untuk saya kata kita mengemis kemerdekaan dari British, ceritakan semuanya pada rakyat, bahawa bukan setitik darah dan setitis air mata yang tumpah untuk kita mengecap kemerdekaan ini, martabatkan semua pejuang terdahulu di mata rakyat, tidak kira dari aliran mana mereka sekalipun. Barulah kita boleh menyemai semangat patriotik dan cintakan kemerdekaan dengan lebih dalam, utuh dan tidak berbelah-bahagi.

Jeffrey: Memanglah saya setuju bahawa ramai yang sebenarnya tidak memahami apakah itu kemerdekaan dan patriotisme. Terima kasih kerana sudi diwawancara. Selamat Hari Kebangsaan kepada saudara juga.

Zukri: Terima kasih.

Friday, August 26, 2005

Umno Adalah Imperialis Yang Semakin Menjajah Kampus

Bukanlah kejutan bagi saya kisah pemecatan dua orang pensyarah UUM, Dr Azly Abdul Rahman dan Dr Mutiara Mohamad kerana keengganan mereka untuk menandatangani surat Akujanji Universiti. Akujanji bagi saya adalah kata dua penjajah (penjarah?) – Umno, kepada komuniti yang dijajahnya – dalam konteks ini adalah komuniti kampus, TERIMA ATAU PERANG! Menerima doktrin Umno di kampus atau bersedia untuk diperangi, kedua-dua pensyarah ini telah dengan berani mengambil pilihan kedua, dan natijahnya mereka dibuang!

Ini bukanlah kes terpencil atau berlaku atas sifat domestik UUM itu sahaja. Umno mempunyai perancangan teratur dan menyeluruh dalam melebarkan dasar imperialisme tidak sah atau penjajahannya di kampus-kampus IPTA di seluruh negara.

Pada 27 Julai 2005 yang lalu, satu mesyuarat yang melibatkan pegawai-pegawai Jabatan Hal Ehwal Pelajar dari semua IPTA telah diadakan di PWTC. Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Mustapha Mohamed dan Adam Baba. Agenda utama mesyuarat ini adalah untuk membincangkan Strategi Pilihanraya Kampus yang akan diadakan pada September nanti.

Antara yang diputuskan dalam mesyuarat tersebut adalah, Umno melalui sayap Puterinya akan melatih calon-calon mahasiswi yang pro Umno dan Barisan Nasional pada 5 hingga 7 Ogos 2005 yang lepas, yang pada asalnya diputuskan untuk dibuat di A Famosa Resort, Melaka tetapi telah dipindahkan ke Hotel De Palma, Ampang. Sementara itu, untuk calon-calon mahasiswa yang pro Umno dan Barisan Nasional pula, tugas untuk melatih mereka telah diberikan kepada Pemuda Umno Selangor, yang dijadualkan diadakan pada 19 hingga 21 Ogos 2005, bertempat di IBBN, Selangor.

Perkara lain yang turut diputuskan adalah belanjawan untuk memenangkan calon-calon pro Umno dan Barisan Nasional dalam pilihanraya kampus kali ini adalah sebanyak RM 360,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Ratus Enam Puluh Ribu). Umno juga telah secara senyap-senyap menubuhkan kelab-kelab Umno di IPTA tempatan yang dikenali sebagai Majlis Umno, antaranya di UIA, UTM, UKM dan UM. Umno Bahagian Puchong telah ditugaskan untuk “menjaga” UPM sementara Umno Bahagian Serdang pula “menjaga” UKM.

Dalam mesyuarat ini juga, fellow-fellow kolej kediaman di IPTA tempatan telah diberi amaran supaya memastikan kemenangan calon-calon pilihanraya kampus yang pro Umno dan Barisan Nasional, jika tidak hayat mereka sebagai fellow akan ditamatkan. Praktis-praktis sebelum ini dalam pilihanraya kampus juga telah dibentangkan, antaranya dari sebuah kolej kediaman di UKM yang memperkenalkan penggunaan nombor siri pada kertas undi dan ceraiannya yang disimpan oleh pihak pentadbiran. Sasarannya adalah mahasiswa-mahasiswi Tahun 1 yang diugut supaya mengundi calon-calon yang pro Umno dan Barisan Nasional, jika tidak keistimewaan mereka sebagai penghuni kolej kediaman tidak akan dipanjangkan, dan mereka perlu mencari rumah sewa bila memasuki tahun kedua pengajian.

Seterusnya, mesyuarat ini mengaku ada kerisauan jika strategi ini bocor dan diketahui oleh pihak lain, ia boleh mengakibatkan berlakunya boikot pilihanraya oleh pihak-pihak yang bukan pro Umno dan Barisan Nasional, dengan kata lain calon-calon yang pro pembangkang. Untuk ini, satu langkah “damage control” telah difikirkan. Andaikata pemboikotan benar-benar berlaku, calon-calon yang pro Umno dan Barisan Nasional akan bertanding sesama sendiri, supaya nanti demokrasi dilihat tidak terganggu di kampus-kampus.

Mesyuarat ini tidak habis di sini sahaja, pada 8 Ogos 2005, jam 8.00 hingga 11.00 malam, bertempat di tingkat 38, juga di PWTC, mesyuarat kali kedua telah diadakan. Agenda hangat kali ini adalah berkenaan Anwar Ibrahim.

Laporan menyebut bahawa mereka telah mengenal pasti 15 – 16 orang mahasiswa hadir dalam program Pidato Kemerdekaan anjuran Institut Kajian Dasar (IKD) yang mengemukakan Anwar Ibrahim sebagai pemidato utamanya. Antara mereka ada yang telah dikenal nama dan jawatannya, dan pihak pentadbiran IPTA diminta mengambil tindakan terhadap mahasiswa-mahasiswa ini, tentulah berdasarkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

(Inilah Umno yang ingat IPTA milik mak bapak mereka. Tidakkah mereka merasa sedikit malu dan bersalah, dalam pada mereka membincangkan tentang sekumpulan mahasiswa yang “kononnya” melanggar AUKU, mereka sendiri sedang bermesyuarat dan telah bermesyuarat membincangkan strategi-strategi yang jelas melanggar dan merobek AUKU – Undang-undang ciptaan mereka sendiri dan diluluskan oleh ahli-ahli parlimen mereka)

Dalam mesyuarat kedua ini, pihak pentadbiran IPTA juga diingatkan tentang kewujudan apa yang disebut sebagai GMB (Gerakan Mahasiswa Bersatu), yang didakwa sebagai sebuah gerakan politik mahasiswa baru yang wujud di kampus-kampus mewakili kepentingan politik Parti Keadilan Rakyat, Barisan Alternatif dan Anwar Ibrahim sendiri. Mereka merujuk kepada program Anwar di Sungai Dua, di situ Anwar menyebut tentang GMB, tentang rasuah dan universiti yang tidak liberal, serta keperluan GMB untuk menonjolkan diri sebagai berani, adil dan bersatu.

Mesyuarat juga memberi amaran sekali lagi kepada para pengetua dan kolej kediaman supaya memastikan membantu sepenuhnya calon-calon pro Umno dan Barisan Nasional dalam pilihanraya kampus akan datang, jika tidak mereka akan dipecat.

Seterusnya mesyuarat turut merekodkan beberapa laporan aktiviti yang telah dijalankan berkaitan dengan strategi pilihanraya kampus ini:

1. Dalam perjumpaan dengan fellow-fellow kolej kediaman, 71 orang telah balik awal.
2. Dalam perjumpaan dengan pengetua-pengetua kolej kediaman, UPSI dan UIA telah tidak menghantar wakil.
3. Latihan untuk calon mahasiswi oleh Puteri Umno di Hotel De Palma cuma dihadiri oleh 140 orang berbanding 300 orang yang dipanggil. Untuk pecahan yang lebih spesifik, dari 40 orang mahasiswi yang dipanggil dari UIA, cuma 9 orang yang hadir.

Ada beberapa perkara lagi yang dibincangkan dalam mesyuarat ini tetapi saya rasa ia tidak relevan dalam konteks penulisan ini. Yang jelas dan pasti, saya amat sedih dengan sikap telunjuk lurus kelingking berkait Umno dan Barisan Nasional ini. Yang saya sangat gembira adalah respon negatif di kalangan majoriti mahasiswa dan pegawai IPTA terhadap sikap kemaruk Umno dan Barisan Nasional ingin menguasai kampus ini.

Kalau benar mereka yang hadir dalam Pidato Kemerdekaan Anwar Ibrahim anjuran IKD ingin diambil tindakan di bawah AUKU, maka 140 orang mahasiswi itu juga sedang melakukan kesalahan yang sama. Jika tidak, saya mahu katakan bahawa ini adalah perlawanan berat sebelah. Umno dan Barisan Nasional sedang menghina AUKU ciptaan mereka sendiri. Jika Umno dan Barisan Nasional juga merasakan bahawa AUKU turut mengikat mereka sehingga mereka terpaksa melakukan “operasi bawah tanah” dan menyalahguna kuasa yang diamanahkan kepada mereka maka hari ini saya mendesak supaya IPTA dibebaskan dari belenggu AUKU, biar kita sama-sama turun gelanggang dalam cerah, kita bersaing atas nama anak jantan, mahasiswa dan mahasiswi adalah intelek muda pewaris negara, pemikiran mereka bukan mudah diperkotak-katikkan, lalu nanti kita sama-sama lihat suara-suara intelek muda ini berpihak pada siapa?

Apakah Umno takut kalah dalam cerah?

Monday, July 25, 2005

Akademi Pengajian Tinggi Nasional & Tabung Amanah Pelajar Miskin: Umno Ingat Negara Ini Mak Bapak Dia Yang Punya

Dalam sesi perbahasan Perhimpunan Agung Umno yang baru selesai dua hari lepas, Mohd Kamal Saidin, perwakilan dari Kedah mencadangkan supaya ditubuhkan Akademi Pengajian Tinggi Nasional, yang antara lain tujuannya adalah meng”umno”kan pemikiran para ahli akademik dan pegawai di institusi-institusi pengajian tinggi tempatan, Kelak ahli akademik dan pegawai ini akan dapat pula mencorakkan pemikiran mahasiswa supaya juga di”umno”kan seperti mereka, rasionalnya kerana kakitangan kerajaan ada Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan para guru mempunyai Institut Aminuddin Baki. Ditambah lagi dengan senario di beberapa institusi pengajian tinggi tempatan seperti Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang kuat dipengaruhi oleh golongan pro pembangkang. – Laporan Malaysiakini.Com

Habis, apa salahnya jika para ahli akademik atau pegawai institusi pengajian tinggi punya aliran pemikiran yang berbeza dengan Umno dan Barisan Nasional? Apakah pemimpin dalam Umno seperti Kamal Saidin merasa mereka lebih kecendekiawanannya berbanding dengan para intelek di institusi-institusi ini? Institusi Pengajian Tinggi seharusnya bebas untuk melahirkan pemikiran mereka, sama ada pro atau kontra, kerana inilah keagungan mereka, mereka sememangnya perlu kritis, kreatif dan ada upaya untuk melahirkan idea-idea dan gagasan-gagasan baru tanpa kongkongan, apalagi kongkongan politik. Menggunakan kuasa politik untuk mengongkong institusi pengajian tinggi adalah sangat salah dan contoh salah guna kuasa yang jelas, bakal menumpulkan kecendekiawanan para ahli akademik dan mahasiswanya. Bukti ketumpulan ini sudah di depan mata, bila lepasan institusi pengajian tinggi swasta lebih laku berbanding dengan lepasan institusi pengajian tinggi awam di pasaran kerja tempatan.

Tidak cukupkah lagi dengan perlantikan Naib Canselor Universiti (terbaru di Universiti Utara Malaysia) yang lebih berpaksikan merit “Umno”nya berbanding dengan merit akademiknya? Tidak cukupkah lagi dengan adanya Biro Tatanegara (BTN) yang begitu hodoh dan memualkan, yang kalau boleh bukan sahaja mahu membasuh fikiran para pelajar dan kakitangan kerajaan, tetapi seluruh rakyat Malaysia, bahawa Umno itu baik, Barisan Nasional itu baik, yang tidak bersetuju dengan Umno dan Barisan Nasional itu semua jahat, yang memimpin gerakan menjatuhkan Umno dan Barisan Nasional itu semuanya jahat, tidak bermoral, tidak patriotik, mahu menghancurkan negara, peliwat dan sebagainya? BTNlah sepatutnya yang paling awal mesti diseret ke mahkamah untuk didakwa di bawah Akta Hasutan kerana menghasut rakyat untuk mempercayai pelbagai fitnah bikinan Umno dan Barisan Nasional. BTN juga harus diseret ke mahkamah atas tuduhan menghina demokrasi di Malaysia, yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, dengan cuba mempengaruhi rakyat bahawa Malaysia hanya sesuai di perintah oleh sistem satu parti sahaja, iaitu Barisan Nasional.

Tidakkah Kamal Saidin ini sedar bahawa para pegawai seperti di BTN, ataupun Akademi Pengajian Tinggi Nasional yang dicadangkan itu, gaji mereka bukan dibayar oleh Umno dan Barisan Nasional, mereka bukan terima cek daripada Bendahari Umno atau Barisan Nasional, rakyat yang membayar gaji mereka! Rakyat yang bukan sahaja membayar cukai saban tahun, tetapi hampir setiap hari apabila membeli barangan atau perkhidmatan.

Tidak cukup dengan itu, Kamal Saidin juga mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin dengan peruntukan RM250 juta setahun, yang mana mengikut beliau wang dana ini haruslah disalurkan melalui Umno selain Jabatan Pendidikan. – Laporan Berita Harian

Alasannya kerana dikhuatiri orang bukan Umno akan mendapat wang bantuan ini. Jelas ini memaparkan sikap Umno yang menganggap bahawa setiap sen harta negara ini adalah mak bapak mereka yang punya, seperti mana yang selalu kita lihat dalam hal-hal penyalahgunaan kuasa kecil-kecilan oleh Umno di kampung-kampung, seperti salah guna balai raya, dewan serbaguna, padang majlis perbandaran dan sebagainya, biasalah, mak bapak mereka yang punya!

Apakah semua pemimpin Umno sememangnya seperti Kamal Saidin, buta kayu tentang demokrasi? Atau sengaja dibiarkan buta oleh pemimpin-pemimpin besar mereka? Sehingga tidak tahu tentang konsep pemisahan kuasa dalam sebuah negara demokrasi? Tidak tahu bahawa parti politik seperti Umno dan Barisan Nasional hanyalah sebahagian dari kerajaan, itupun kerana mereka memenangi pilihanraya. Tidakkah mereka belajar bahawa parlimen itu juga adalah sebahagian kerajaan, di dalamnya ada wakil dari parti pemerintah, ada wakil dari parti pembangkang. Dewan Undangan Negeri itu juga sebahagian dari kerajaan, di dalamnya ada wakil dari parti pemerintah, ada wakil dari parti pembangkang. Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bukan Umno, bukan Barisan Nasional! Kerajaan juga termasuklah kementerian-kementerian (bukan menteri sahaja), jabatan-jabatan, badan-badan berkanun dan suruhanjaya-suruhanjaya, kesemua ini juga bukan Umno atau Barisan Nasional! Sekali lagi bukan Bendahari Umno atau Barisan Nasional yang mengeluarkan cek untuk membina semua ini atau membayar gaji pegawai-pegawainya saban bulan, sebahagian besarnya datang dari titik peluh rakyat yang membayar cukai kepada kerajaan.

Saya mula tertanya-tanya, siapa sebenarnya yang galak menanam bibit-bibit benci sesama kita. Bagi saya tidak berpecah Melayu hanya semata-mata parti politik yang pelbagai, sekurang-kurangnya kita mampu mengumpulkan lebih banyak pandangan dari lebih ramai barisan kepimpinan, tetapi sikap pemimpin Umno seperti Kamal Saidin inilah yang sebenarnya memecahkan Melayu, “… dikhuatiri orang bukan Umno akan mendapat wang ini…,” siapa yang mahu dibantu ini? Anak-anak atau adik-adik pintar kita yang tidak mampu untuk menyambung pelajaran. Mereka masih anak-anak, kenapa perkiraan politik kita tertuju kepada mereka? Kenapa mereka menjadi mangsa pilih kasih politik? Mereka tidak bersalah, bayangkan, mereka cuma lepasan SPM atau STPM, mereka memang “orang bukan Umno,” tetapi mereka juga “orang bukan mana-mana parti politik, sama ada parti yang memerintah atau parti pembangkang.” Kamal Saidin sedang memperjudikan masa depan anak bangsa kita sendiri. Atau Umno terfikir untuk meletak syarat kepada anak-anak dan adik-adik kita ini untuk mengisi borang Putera Umno terlebih dahulu, barulah kemudiannya mereka diberi bantuan. Bagi pemimpin Umno seperti Kamal Saidin ini, Malaysia ini memang mak bapak dia yang punya!

Apakah Pak Lah tersenyum di atas pentas ketika Kamal Saidin membahaskan soal ini? Tentulah Kamal Saidin ini salah seorang dari kepimpinan Umno, sekurang-kurangnya di Negeri Kedah, beginikah mentaliti mereka? Cadangan Kamal Saidin jelas satu bentuk salah guna kuasa, sama tarafnya dengan rasuah atau disebut oleh Umno sebagai politik wang. Anehnya kepada perwakilan Umno, ia seperti satu gagasan yang mulia (kerana tiada bantahan), kononnya atas tujuan memartabatkan bangsa. Piiirahhh!

Di mana integriti yang Pak Lah perjuangkan? Saya tidak jumpa.

Friday, July 08, 2005

Perang Rasuah Umno: Ibarat Kepit Peha Tak Tahan Nak Berak...

Isa Samad telah digantung enam tahun keahlian dan jawatannya dalam Umno dan Barisan Nasional, serta dinasihat melepaskan jawatan Menterinya, setelah didapati bersalah terbabit dalam politik wang dalam pemilihan Umno yang lepas. Di Pahang, Dato' Shahiruddin Ab Moin, yang khabarnya dulu melutut depan Tuanku Sultan kerana kemaruk mahu bertanding pilihanraya umum, juga didapati bersalah atas kesalahan yang sama dan digantung keahlian serta jawatannya dalam Umno dan Barisan Nasional selama dua tahun. Saya tidak tahu apakah beliau juga diminta melepaskan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Pahang, hanya Dato' Seri Adnan Yaakob yang boleh menjawabnya.

Bagi seorang pemerhati luar yang naif dan bodoh tentulah akan tertarik dan mengikuti dengan penuh minat siri "perang rasuah" Umno ini. Tetapi saya akan hanya menggeleng kepala dan tersenyum sendiri. Insiden-insiden ini bagi saya tidak lebih sekadar "urusniaga pura-pura" dalam Umno, dan di sini Isa Samad serta Shahiruddin Moin adalah antara mereka yang dikambinghitamkan. Jikalau Umno atau Pak Lah benar-benar punya keberanian untuk membersihkan kepimpinan rasuah dari dalam Umno, kenapa dalam arahan penggantungan dan nasihat perlepasan jawatan itu ada kekecualian? Kenapa mereka tidak diarahkan supaya meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri?

Dari satu sudut pandangan, kelihatannya Umno begitu bertegas tidak mahukan pemimpin rasuah di dalam partinya, tetapi dari pandangan yang lain, Umno membenarkan pula si perasuah ini memimpin rakyat! Umno sebagai sebuah gerakan siasah wujud untuk siapa? Berjuang untuk siapa? Bukankah untuk rakyat? Saya cabar Pak Lah supaya mengarahkan mereka yang didapati bersalah ini mengosongkan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri masing-masing.

Jangan pula nanti ada pemimpin bodoh Umno entah dari mana yang akan berkata bahawa mereka tidak bersalah dari sudut perundangan, jadi tidak perlu berhenti menjadi wakil rakyat, mekanisme siasatan dan pendakwaan Lembaga Disiplin Umno tidak sama dengan mahkamah. Habis, mekanisme yang macam mana yang digunakan oleh Lembaga Disiplin Umno? Jika wujud ketidakselarian begini, maka keabsahan keputusan Lembaga Disiplin Umno boleh diragui. Lalu amat patutlah untuk Isa Samad, Shahiruddin Moin dan mereka yang lain yang turut didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno mengambil tindakan mencabar keputusan ini di mahkamah, ia penting untuk membasuh calit hitam yang sudah terpalit di muka, demi maruah dan harga diri, nanti kita akan tengok siapa yang tunggang siapa terbalik.

(Dalam pada itu saya masih menunggu bila agaknya Peguam Negara Abdul Ghani Patail mahu memanjangkan kertas siasatan rasuahnya terhadap Rafidah Aziz dan Rahim Thamby Chik ke mahkamah - ataupun ini juga termasuk dalam kekecualian siri "perang rasuah" Umno, juga bagaimana dengan laporan Dato' Fauzi Abdul Rahman terhadap Tun Khalil Yaakob dan laporan SGM terhadap Umno Negeri Pahang - takkan banyak benar kekecualiannya)

Jelas Umno dan Pak Lah tidak jujur dalam siri "perang rasuah" ini, dan ketidakjujuran ini akhirnya berbalas, hukum karma telah berlaku. Dalam pada bersungguh-sungguh dan terkepit-kepit peha Umno menahan berak (supaya Umno tidak akan diejek oleh rakyat sebagai berak di tengah jalan), dan Umno berjaya menahan ketul-ketul tahi yang keras daripada keluar, tiba-tiba tanpa mereka sedar tahi cair keluar meleleh ikut dari celah punggung dan peha, busuknya Ya Ampunnn!!! Satu Malaysia harus menutup hidung. Nun dari bawah bayu sana, pemimpin kanan Umno yang juga bekas Ketua Menteri Sabah dan Ahli Majlis Tertinggi, Osu Sukam di saman oleh sebuah syarikat perjudian dari United Kingdom kerana kegagalan beliau menjelaskan hutang JUDInya sebanyak RM7.1 juta, ulang suara, hutang JUDInya! tahi rasuah yang nak ditutup, tahi judi yang keluar...

Mana Pak Lah mahu letak muka, anak orang alim, cucu ulama' tersohor, Perdana Menteri Malaysia, melancarkan dengan bangganya doktrin Islam Hadhari, mana Islamnya? Mana Hadharinya? Tercabut, berkecai dan berderai di meja kasino, pemimpin di bawah kamu itu tahi judi! Menariknya, hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Yang Arif Datuk Ian H.C. Chin (yang bukan pemimpin Umno dan bukan Muslim) nampaknya lebih patriotik dan lebih memahami Islam berbanding pemimpin Umno (rujuk: Osu Sukam) yang selama ini begitu berbangga dengan nasionalis dan Islam Hadharinya, di bawah adalah sebahagian dari isi kertas penghakiman beliau;

"Dua dari prinsip falsafah negara iaitu Rukun Negara menyebut Kepercayaan Kepada Tuhan serta Kesopanan dan Kesusilaan, bermakna judi mengancam kebajikan awam dan bertentangan dengan Rukun Negara."

"Di dalam negara Malaysia yang berbilang bangsa dan berbilang agama, umat Islam dilarang sama-sekali mengunjungi kasino ataupun mana-mana pusat perjuaidan kerana Al Quran melarang melalui ayat:

Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya. (Al Baqarah:219)"

Sudah sampai tahap terberak cair sambil berjalan... Umno tidak akan mampu lagi menyoroknya dari pandangan rakyat. Entah pertimbangan dari sudut apa lagi rakyat boleh terpengaruh untuk terus mempercayai Umno dan Barisan Nasional. Tuhan semakin menunjukkan kekuasaanNya, ada keburukan yang boleh disembunyikan Umno, tetapi yang buruk tetap buruk, Tuhan akan menampakkan keburukan lain pula sebagai bukti buruknya Umno.

p/s: adalah menjadi dasar kerajaan untuk tidak mewartakan nama-nama penerima AP, siapa lagi yang termasuk dalam kekecualian dalam siri "perang rasuah" Umno?

Wednesday, June 22, 2005

Keperluan Revolusi Dalam Menegakkan Kerajaan Reformasi

Dalam komennya terhadap sikap malu-malu kerajaan negara-negara Asean dalam menangani isu pemerintahan junta tentera Myanmar dan pemimpin pro-demokrasi Aung San Suu Kyi, Saudara Anwar Ibrahim merakamkan kata-kata ini,

"Perubahan radikal mesti dilakukan untuk melakukan lonjakan demokrasi di Burma, dan campurtangan membina adalah langkah pertama ke arah ini."

Kata kunci di sini adalah "Perubahan Radikal" dan ini sebenarnya yang menarik saya untuk kembali menulis setelah sekian lama berehat. "Perubahan" tentulah seperti yang kita semua maklum adalah "Reformasi" dalam kata lainnya, sementara "Radikal" sangat berkait rapat dengan gerakan dan sekolah pemikiran "Revolusi."
Revolusi adalah destruksi dan rekonstruksi, memusnahkan dan membina semula, dalam konteks rakaman kata-kata Saudara Anwar itu, ia membawa maksud memusnahkan pemerintahan junta tentera di Myanmar dan membina semula Myanmar yang bebas dan demokrat, dengan campurtangan negara-negara Asean yang lain.

Soalnya, apakah ia hanya terpakai untuk Myanmar sahaja? Apakah perubahan radikal hanya perlu berlaku di Myanmar sahaja? Apakah Malaysia, negara yang kita sayangi ini mampu untuk terus ke depan dalam keadaan seperti sekarang ini? Apakah kita juga tidak memerlukan perubahan radikal? Hari ini, kebanyakan industri strategik negara (automotif, petroleum, juga pelancongan - Langkawi) dinaungi oleh hanya seorang manusia yang bernama Mahathir Mohammed, sedang dalam masa yang sama, negara kita dianugerahkan pula dengan seorang Perdana Menteri yang dalam banyak insiden kelihatan semacam "semabur" (ikut cakap orang Kelantan), termasuklah dalam kes lagu "Negaraku" baru-baru ini. Tiada bukti jelas yang menunjukkan bahawa perpindahan kuasa dari Mahathir Mohammed ke Abdullah Badawi telah membuka ruang yang luas ke arah pendemokrasian sistem kehakiman, undang-undang, media dan hak berpolitik rakyat terbanyak. Buktinya bila saya sendiri ditahan menggunakan Polis Cawangan Anti Narkotik, semata-mata kerana tiada instrumen undang-undang lain yang boleh mereka gunakan untuk memberhentikan saya dan rakain-rakan yang lain, yang begitu berani membaca puisi dalam kepungan pak polisi, atas nama demokrasi! Ini adalah satu penyalahgunaan kuasa yang sangat jelas dan satu tindakan yang sangat berniat jahat.

Kita memerlukan revolusi. Masalahnya, bahan-bahan bacaan yang sampai ke pembacaan rakyat Malaysia selepas melalui saringan ketat Kementerian Dalam Negeri, seringkali menyogokkan "Revolusi" sebagai satu gerakan yang kental ikatannya dengan darah dan airmata, sehingga begitu menakutkan rakyat, hatta hanya untuk menyebutnya! Padahal Kerajaan Arab Saudi itu juga tertubuh dengan gerakan revolusi, entah darah siapa yang menitik, entah airmata siapa yang menitis, saya belum menjumpainya dalam teks sejarah dunia.

Revolusi di Malaysia, dalam maksud umumnya, adalah satu proses destruksi Kerajaan Umno dan Barisan Nasional, diikuti dengan proses rekonstruksi Malaysia menjadi sebuah negara yang adil, demokratik dan berorientasikan rakyat. Macam mana ini boleh berlaku?

Reformasi yang radikal a.k.a Revolusi sangat berkait rapat dengan gerakan massa. Amien Rais berkata bahawa tidak akan berjaya reformasi di Indonesia itu tanpa kebangkitan mahasiswa. Tetapi dalam konteks Malaysia, saya takut untuk mengharapkan sesuatu yang sebegitu. Mahasiswa di Malaysia saya boleh istilahkan sebagai penakut, pengecut, tiada kekuatan dalaman dan beku! Maaf jika saya melampau, tetapi hakikatnya polisi-polisi dan dasar-dasar berkaitan dengan kemahasiswaan dan pengajian tinggi di negara kita menjadikan mahasiswa kita begitu. Entah kesengajaan dari siapa sistem pengajian tinggi kita nampaknya sangat mengekang dan menyibukkan adik-adik mahasiswa kita, jumlah jam kredit yang melampau... akhirnya menjadikan mereka penghafal nombor satu, semata-mata untuk menjawab peperiksaan! Lari dari konsep asal universiti untuk membentuk manusia yang universal dan kreatif. Mahasiswa hari ini tidak lebih seperti burung tiung yang hanya pandai menuturkan apa yang diajar tuannya. Buktinya jelas, graduan IPTS lebih laku di pasaran kerja berbanding dengan graduan IPTA tempatan.

Maka saya melihat saranan Saudara Anwar Ibrahim dalam kes Myanmar sebagai pilihan kedua dalam proses destruksi Kerajaan Umno dan Barisan Nasional serta rekonstruksi Malaysia menjadi sebuah negara yang adil, demokratik dan berorientasikan rakyat. Kita boleh mempengaruhi IPU, kita boleh mempengaruhi, ICJ, kita boleh mempengaruhi Amnesty International, kita boleh mempengaruhi Ahli Kongres Amerika Syarikat, kenapa pula kita tidak boleh mempengaruhi sahabat-sahabat dalam ASEAN? Saya yakin cara ini boleh berjaya, menjana gerakan massa dari seluruh negara ASEAN untuk menuntut perubahan politik yang menyeluruh di Malaysia.

Saturday, May 21, 2005

Kita Kemaruk Universiti

Berita Harian hari ini melaporkan bahawa Umno pula bercadang menubuhkan sebuah universiti baru, setelah kelulusan penubuhan Universiti Darul Iman diperolehi dan juga wujudnya resolusi yang sama di Kelantan. Sebelum ini kita sudah melihat penubuhan UTAR, sebuah universiti milik MCA, dalam pada itu, MIC juga sedang membuat perancangan yang sama.

Asasnya, saya menyukai perkembangan fizikal pendidikan yang pesat sebegini, sekurang-kurangnya ia melambangkan komitmen dan kesungguhan pihak-pihak yang terlibat dalam memaju dan mempertinggikan martabat pendidikan negara. Tetapi atas faktor situasi, saya patut bertanya kembali, apakah ia perlu? Soalnya, bila kita berjaya menghilangkan kehausan dengan tiga gelas air, wajarkah kita meminum sehingga tujuh gelas air?

Lebih 18,000 lepasan ijazah pertama menganggur (setelah diperbetulkan), jangan lupa bahawa lebih 30,000 lepasan diploma juga menganggur (harap-harap Tok Pa tidak akan mengubah angka lagi). Saya bertemu dan berhadapan dengan banyak kes, lepasan universiti bekerja sebagai jurujual di jalanan, lepasan universiti bekerja sebagai pembantu kedai, dan sebagainya, sudah tentulah mereka ini tidak termasuk dalam angka 18,000 dan 30,000 itu tadi. Bukan niat untuk saya menghina pekerjaan-pekerjaan itu, tetapi amat malang, atas nama "survival" mereka korbankan keintelektualan mereka, walhal sesetengah daripada mereka memegang ijazah yg sangat khusus sifatnya, seperti sains kognitif. Di mana kerajaan?

Saya hargai apa yang cuba dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Manusia, dengan memperkenalkan semula Skim Latihan Siswazah Menganggur (SLSM). Siswazah dilatih semula, kebanyakan bidang pilihan adalah dalam Teknologi Maklumat, dalam tempoh tiga hingga lima bulan, dan dibayar elaun sebanyak RM350.00 seorang, kurang RM150.00 berbanding Skim yang pertama dulu. Timbul persoalan lagi, apakah ini yang dicari dan dimahukan oleh siswazah-siswazah ini selepas mereka keluar dari institusi-institusi pengajian tinggi masing-masing? Apakah institusi-institusi pengajian tinggi yang ada di negara kita gagal dalam melahirkan siswazah-siswazah yang terlatih dan kreatif? Apakah latihan tiga hingga lima bulan dalam bidang Teknologi Maklumat ini mampu membentuk siswazah-siswazah yang menganggur ini kompeten dan boleh bersaing dengan siswazah-siswazah yang memang datang dari jurusan Teknologi Maklumat? Agak-agaknya ke mana mereka selepas ini...

Kalau mengikut teori utiliti, dalam konteks pembinaan universiti dan pasaran pekerjaan di negara kita ini, kita sebenarnya sudah terlebih. Seperti saya tulis di awal tadi, jika kita hanya memerlukan tiga gelas air untuk menghilangkan dahaga, kita sebenarnya sudah meminum tujuh gelas air, akhirnya apa akan berlaku? Kita akan muntah air, berlaku limpahan, berlaku lambakan. Dalam keadaan bilangan siswazah semakin bertambah, dan cuba ditambah lagi, pasaran pekerjaan kita tetap begitu juga, tidak berapa berkembang, bahkan kadang-kadang menyusut, apatah lagi kita dijangka akan berhadapan dengan kemelesetan ekonomi sekali lagi.

Kita tidak memerlukan sebuah lagi universiti baru. Kasihanilah adik-adik dan anak-anak kita, tiga-empat tahun mereka di kampus, kita lemparkan harapan yang macam-macam, tetapi bukan kita yang menanggung kesudahannya. Kalau kita punya sumber yang cukup untuk menubuhkan beberapa buah universiti, kenapa tidak kita alihkan sumber itu ke arah sesuatu yang lain, yang lebih membantu dan memberi manfaat kepada ribuan siswazah yang keluar setiap tahun. Binalah sebuah Pusat Pengupayaan Kendiri, supaya siswazah yang kita lahirkan lebih kreatif dan berani serta berketerampilan, dan kepada kumpulan siswazah yang minat dengan perniagaan, mereka boleh terus menghantar kertas cadangan mereka kepada pusat ini, tanpa banyak karenah birokrasi.

Cukuplah... jadilah bermain dengan retorik penubuhan universiti baru sebagai umpan pancing politik. Bunyinya memang menarik, dan cepat menggoda jiwa, terutama orang-orang kampung, yang perkiraan mereka biasanya cuma di atas papan-papan dam, di atas wakaf di simpang-simpang jalan. Di antara mereka ada anaknya bekas siswi universiti yang saban bulan hantar wang pulang, jumlahnya agak lumayan. Bangga dia bercerita pada rakan-rakan pemain dam, bahawa anaknya keluar universiti, kerja di kota gajinya besar. Padahal ada yang di kota itu sudah kecewa, terlalu banyak persaingan, terlalu sukar dan payah untuk menjaja "degree," akhirnya menjual diri, semata-mata mahu melampias keinginan dan cita-cita untuk hidup selesa, apalagi berhadapan dengan harapan orang kampung dan ibubapa.

Tuesday, April 26, 2005

Rekonstruksi Reformasi

Reformasi hari ini sudah menjadi suatu yang caca-merba. Dalam keadaan pihak pemerintah seakan sudah berpatah arang dengan kalimah keramat ini, dalam jalur-jalur yang lain, reformasi kelihatannya seperti semakin segar dan tersebar. Sayangnya ia berlaku bagai asid tumpah yang tidak terkawal...

Dalam pada itu, Parti Keadilan Rakyat (formerly known as Parti Keadilan Nasional), aktivis-aktivisnya dan juga aktivis-aktivis pinggirannya, sudah semakin tersisih dari agenda reformasi ini, yang satu ketika dahulu adalah laungan sakti bagai genta yang bisa membelah bumi. PKR dan para aktivisnya, selepas bebasnya Saudara Anwar Ibrahim, sudah menjadi seperti kanak-kanak yang mengejar belon yang terlepas dari tangan dan terbang melayang ke udara, terdongak-dongak, ternganga-nganga dan terpinga-pinga. Mula tertanya-tanya apakah kehendak reformasi sebenarnya.

Sedangkan di ketika yang sama, orang mula mengenali Steven Gan, pelopor reformasi media di Malaysia, beliau bukan dari kalangan pimpinan, aktivis mahupun aktivis pinggiran Parti Keadilan Rakyat yang begitu gah dengan slogan reformasinya. Orang juga mula mengenali Jeff Ooi, juga pelopor dalam reformasi kebebasan bersuara, sekali lagi beliau juga bukan dari kalangan pimpinan, aktivis, mahupun aktivis pinggiran Parti Keadilan Rakyat.

Sebagai sebahagian dari yang menerajui kepimpinan Parti Keadilan Rakyat, saya sering bertanya pada diri sendiri apakah isi reformasi dalam pakej yang paling mudah yang ingin kita suap pada rakyat? Kita cukup berbangga untuk berbicara soal dokongan gerakan reformasi oleh pimpinan, aktivis dan aktivis pinggiran kita, tetapi siapa agaknya dari kalangan kita yang akan membawa rekacipta-rekacipta hasil dari gagasan reformasi yang berlambak-lambak itu?

Raja Petra cuba menuruti langkah Steven Gan, bersaing untuk cuba mempelopori gerakan reformasi media melalui laman web Malaysia Today. Awalnya kelihatan hebat, tetapi rupa-rupanya ia juga serombong kapal lama, tidak mampu memuatkan suara-suara muda yang panas dan kritis, mungkin bunyinya menjadi begitu nyaring, tidak sedap, pelik dan sumbang. Akhirnya terperosoklah yang muda-muda ini ke bahagian paling bawah, menjadi kuli batak buat mengangkut arang batu bagi menghangatkan elit-elit dan sang bangsawan yang kedinginan di musim salju. Tidak padan dengan slogan "Public Sounding Board"nya, Malaysia Today kebelakangan ini menampakkan yang ia masih media yang "bertuan" walaupun saya tidak tahu di mana singgahsananya.

Kata seorang ahli perniagaan yang berjaya, jangan menunggu peluang kerana kita mungkin akan terlepas peluang itu, kita cipta peluang, kerana bila kita yang mencipta peluang, kita akan dapat mengawal peluang itu. Kita, dari kalangan pimpinan, aktivis dan aktivis pinggiran Parti Keadilan Rakyat merupakan bukan sahaja pencipta dan pencetus, malahan adalah pendokong yang konsisten terhadap gerakan reformasi ini, sepatutnya kita juga yang paling layak untuk mengawal perkembangan dan penyebarannya.

Tetapi apa yang berlaku hari ini jelas jauh terbabas. Seperti saya kata, reformasi hari ini sudah jadi caca-merba, bagai asid tumpah yang tidak terkawal. Hari ini agama pun mahu direformasikan, atas nama reformasi hak asasi, wanita muncul menjadi imam solat Jumaat. Hari ini, sekumpulan NGO menuntut supaya undang-undang moral dihapuskan. Atas nama reformasi hak asasi, bagi kumpulan ini, moral adalah hak peribadi. Saya percaya bahawa yang mendepani kumpulan ini adalah wanita juga, dan sebahagian besarnya adalah kaum ibu. Saya cuba bayangkan bagaimana reaksi mereka jika anak perempuan mereka bermukah di depan mata mereka, dan tidak boleh ditegur, kerana bila ditegur, anak mereka akan membalas, "Mama juga yang berkata bahawa moral adalah hak peribadi, ini moral saya, ia hak saya, dan mama tiada hak untuk masuk campur!"

Dari sisi pandangan Islam, moral adalah sebahagian dari ad-Din, dan dalam Islam moral diperundang-undangkan. Menolak undang-undang moral Islam, bererti seperti menolak Islam itu sendiri, maka tidak perlulah saya menghuraikan lebih panjang tentang natijahnya kerana saya tidak mahu menjadi penjatuh hukum. Cukup saya kata bahawa golongan sebegini tidak layak menjadi rakyat Malaysia kerana secara terang cuba mencabar prinsip terakhir Rukunegara, Kesopanan dan Ketatasusilaan.

Saya faham bahawa dalam era reformasi global ini, ramai orang mahu bercakap soal hak asasi, soal hak eksklusif peribadi, tetapi sejauh manapun kita mahu pergi, hidup kita tetap dalam acuan. Ia seperti kita membuat roti juga, ada acuannya. Kalau ikutkan kebebasan, kita boleh sahaja memasukkan berapa banyak tepung yang kita mahu, berapa banyak telur yang kita mahu, berapa banyak gula yang kita mahu, berapa banyak yis yang kita mahu. Tetapi akhirnya apa yang kita damba adalah hasilnya, kita mahukan roti yang cantik, sedap, masak dalam bentuk yang sempurna. Begitulah reformasi, dalam memperjuangkan reformasi yang "sempurna" maka segala bahan dan input yang kita masukkan mestilah dengan sukatan yang betul, bukan sahaja tidak boleh terkurang, bahkan lebih bahaya jika ia terlebih. Boleh bayangkan bagaimana bentuk roti yang masak dengan sukatan yis yang sangat berlebihan?

Parti Keadilan Rakyat harus bangun semula, mendokong dan mendepani gerakan reformasi ini. Gagasan reformasi mesti direkonstruksi kembali, ada disiplin-disiplin tertentu yang jelas sebagai penunjuk arah. Secara peribadi, saya cukup percaya bahawa reformasi harus digerakkan berlandaskan prinsip-prinsip Rukunegara tadi. Atas nama Kepercayan Kepada Tuhan, rakyat Malaysia yang multi-agama ini berhak untuk hidup dengan rasa saling percaya antara penganut agama, bukan toleransi yang hipokrit. Reformasi juga perlu membawa maksud bahawa rakyat sepatutnya diajar untuk Setia Kepada Raja dan Negara, bertanggungjawab menjaga negara, bukan menjaga dan mempertahankan beberapa kerat pemimpin negara yang jelas sedang menghancurkan negara. Perlembagaan Negara mestilah diluhurkan kembali dengan menghalang dan menjauhkannya dari kemungkinan-kemungkinan eksploitasi oleh tangan-tangan yang berkepentingan. Seperti juga Raja, Undang-Undang berdaulat kerana rakyat, maka Kedaulatan Undang-Undang itu mesti dikembalikan, reformasi Undang-Undang seharusnya menjurus kepada menjadikan Undang-Undang sebagai tempat mengadu hal dan bergantungnya rakyat, bukan sebagai bayangan ketakutan yang sering menghantui dan langsung tidak punya sifat berorientasikan kehendak rakyat. Akhirnya tentulah antara disiplin reformasi yang juga perlu diperjuangkan adalah membaik-pulih sahsiah rakyat Malaysia yang dulunya cukup berbangga dengan gelaran orang Timur, dikenali cukup kaya dengan Kesopanan dan Ketatasusilaanya, untuk ini, Jeslina Hashim hilang kelayakan untuk menjadi role-modelnya.

Saturday, April 02, 2005

Masalah Sistem Penjagaan Kesihatan Adalah Ideologikal bukan Fiskal

Sistem penjagaan kesihatan di Malaysia tidak menghadapi kegagalan fiskal, itulah pendirian saya yang jelas. Berdasarkan laporan-laporan terkebelakang, kerajaan kita berbelanja pada peratus KNK yang relatifnya kecil untuk hal-hal penjagaan kesihatan. Nyata yang perbelanjaan penjagaan kesihatan tidak pernah mengganggu belanjawan untuk program-program kerajaan yang lain.

Kenapa pihak kerajaan secara berterusan cuba meyakinkan rakyat bahawa sistem penjagaan kesihatan kita tidak mampu lagi bertahan dengan subsidi kerajaan dan seperti membayangkan yang penswastaan akan menyelamatkannya dari ketidaktahanan ini. Kelihatannya kebanyakan alasan yang diberi lebih kepada ideologikal, bukan fiskal, dan cuba membenarkan dongengan bahawa semakin menggalakkan penswastaan sistem kesihatan, akan mengawal kos dan perbelanjaan.

Kita percaya yang kerajaan secara berterusan mempromosi pembiayaan persendirian dan perkhidmatan diswastakan untuk sistem penjagaan kesihatan kita, menolak semua bukti dan hujah yang bertentangan kerana kepercayaan ideologi kembarnya. Pertama kerajaan tidak boleh dibebankan dengan keperluan rakyat. Kedua, keperluan rakyat sepatutnya adalah perbelanjaan yang boleh dieksploitasi oleh “orang-orang” di sekeliling kerajaan untuk berniaga.

Kita mungkin punya cukai pendapatan persendirian yang tidak begitu tinggi, tetapi kerajaan kita sudah mencukaikan kita dua kali untuk perbelanjaan kesihatan – satu menerusi cukai pendapatan dan kedua menerusi premium Skim Insuran Kesihatan Kebangsaan yang bakal dilancarkan dua tahun lagi. Jika kerajaan mengguna-pakai sesetengan laporan mengenai cadangan pemotongan penjagaan kesihatan, mereka akan memperkenalkan cukai ketiga bila penswastaan ini dilaksanakan. Ini tidak termasuk caruman Perkeso yang sudah sedia ada.

Bagaimana ini mahu diterjemahkan sebagai aspirasi Kerajaan Membela Rakyat? Dua atau tiga cukai untuk penjagaan kesihatan sukar untuk ditakrifkan sebagai Membela Rakyat! Soalan sebenar yang perlu ditanya adalah – Apa sebenarnya yang punya ketidaktahanan, perbelanjaan penjagaan kesihatan atau perniagaan orang-orang tertentu (sehingga terpaksa berniaga dengan keperluan rakyat yang sah terjamin)?

Kepercayaan Kerajaan Malaysia kepada penswastaan berbanding dengan milik kerajaan bukan sahaja terhad kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan, tetapi juga pembiayaan penjagaan kesihatan. Inilah sebab mengapa kerajaan terus-menerus mencari jalan memindahkan perbelanjaan penjagaan kesihatan dari belanjawan negara kepada rakyat secara individu, sama ada melalui cadangan pengenalan SIKK, atau mungkin melalui penswastaan bahagian dispensari. Walaupun nama hospital belum ditukar kepada Hospital Swasta, faktanya, mengenakan sekian-sekian caj kepada pesakit adalah satu bentuk penswastaan.

Monday, March 21, 2005

Siaran Media: Konflik Pemberian Insentif Kepada Penanam Tembakau

Kuantan, 21 Mac 2005

Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat amat mengalu-alukan usaha dari mana-mana pihak untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang lebih sihat, termasuk juga usaha-usaha dari pihak kerajaan yang memerintah. Angkatan Muda mempertegaskan pendirian bahawa kempen-kempen Hidup Sihat seperti kempen anti merokok "Tak Nak" mestilah diteruskan dari masa ke semasa. Kempen yang konsisten, walaupun perbelanjaannya agak besar, seharusnya akan memberi manfaat yang besar juga.

Komitmen dari pihak pemerintah untuk kempen sebegini sepatutnya bulat dan tiada pertelingkahan tindakan sesama kementerian dan jabatan kerajaan yang pelbagai. Pengumuman dana bantuan RM 10.5 juta untuk penanam tembakau oleh Datuk Dr. Awang Adek Hussin, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, jelas menunjukkan sesuatu yang salah sedang berlaku, wujudnya ketidakseragaman di kalangan kementerian-kementerian; kenapa sesetengah kementerian dan jabatan boleh sewenang-wenangnya mengambil pendekatan dan tindakan yang nyata bercanggah dengan dasar dan polisi kerajaan secara keseluruhannya.

Angkatan Muda tidak boleh lari dari merasa sangsi dengan keikhlasan pengumuman dana bantuan RM 10.5 juta ini, apalagi bila pengumumannya dibuat di negeri Kelantan, negeri yang bukan diperintah oleh Kerajaan Barisan Nasional, kebetulan pula Kelantan juga adalah antara negeri pengeluar tembakau yang besar. Kita tertanya-tanya, apakah demi mengejar sokongan dan undi rakyat Kelantan, Kerajaan Persekutuan Umno dan Barisan Nasional sanggup menyanggah polisi dan dasar mereka sendiri, melawan arus kempen ciptaan mereka sendiri? Untuk kempen "Tak Nak" kepada rokok itu, kerajaan telah berbelanja jutaan ringgit! Hari ini kerajaan yang sama juga boleh berbelanja hingga mencecah sepuluh juta ringgit, atas nama dana bantuan kepada penanam tembakau. Tindakan yang kontradik sebegini memaparkan sikap sebenar Kerajaan Umno dan Barisan Nasional yang selalu tidak konsisten, sewenang-wenangnya membazirkan wang amanah rakyat semata-mata untuk tujuan-tujuan politk.

Angkatan Muda meminta supaya segala perbelanjaan mana-mana kementerian yang bertentangan dengan dasar, polisi dan hasrat negara dapat dihentikan segera. Kita mendesak supaya Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah menarik balik secara segera apa yang dipanggil sebagai "dana bantuan" berjumlah RM 10.5 juta untuk penanam tembakau, selain sebagai sebahagian tanda sokongan kepada kempen anti merokok dan gaya hidup sihat, ia juga menyelamatkan kerajaan dari melakukan pembaziran wang rakyat.

Monday, March 14, 2005

Anak Muda, Pejuang Yang Sentiasa Terbuang

Semalam, 13 Mac 2005, saya telah ke Kuala Lumpur menyaksikan Konsert Budaya : Malam Saksi 14 April, bertempat di Kelab Century Paradise, Taman Melawati. Program anjuran Angkatan Karyawan Reformasi (AKAR) dengan sokongan Angkatan Muda Keadilan Malaysia ini tampak begitu berjaya. Persembahan yang disusun sangat menarik, sarat dengan mesej, kritikan, teguran dan juga kecaman.

Namun bukan itu semua yang menjadi fokus perhatian saya. Seawal menjejak kaki ke lobi kelab, fikiran saya sudah mula berputar; ligat, laju dan kencang. Dari yang membarisi meja pendaftaran, ke senarai OKT yang panjang dan pemain-pemain pentas bersuara lantang, rata-rata mereka adalah anak muda. Apa sudahnya mereka ini yang tak pernah kenal lelah, di mana tempat mereka bila perjuangan ini berjaya melepasi istilah kalah. Kerana terlalu berfikir, acap kali konsentrasi saya terbabas, acap kali juga saya gagal bereaksi dengan baik terhadap bicara Saudara Jonah yang duduk di sebelah saya.

Saya tiba-tiba teringat satu artikel Indonesia yang pernah saya petik berkait dengan angkatan muda dan Pramoedya Ananta Toer, "... Sebab sejarah membuktikan, bahwa hamper semua babakan perubahan sejarah yang terjadi di negeri ini diinisiatifi oleh angkatan muda -- walaupun di kemudian hari kita ketahui sejarah itu (selalu) dibajak dan dikemplang oleh pihak-pihak di luar mereka."

Nah! Jelas! Sangat benar hujahan ini, tetapi kebenarannya bukan hanya di sekitar Indonesia, bahkan melebar ke seluruh pelusuk dunia, hampir benar untuk semua daerah di muka bumi ini, di mana sahaja api perjuangan pernah wujud. Termasuk Malaysia!

Tanyalah anak-anak dan adik-adik kita yang masih bersekolah. Siapa orangnya yang memerdekan negara ini, siapa orangnya yang membawa kemerdekaan untuk negara ini, siapa orangnya yang melaungkan dengan bangganya bahawa negara kita sudah merdeka? Percayalah, hanya satu nama akan terpacul keluar dari mulut mereka, Tunku Abdul Rahman (Almarhum). Sementara kita tahu yang kemerdekaan itu sebenarnya "diberi," kita terlupa pula mahu mengajar anak-anak dan adik-adik kita siapakah orang terdahulu yang berjaya menerbit rasa takut dan kecut perut di kalangan penjajah atas kehendak kita mahu merdeka (sehingga akhirnya kemerdekaan itu diberi). Orang itu adalah seorang anak muda, tampan, pejuang, berkorban segala-galanya, tetapi terbuang, terbuang hingga matinya di tanah seberang, bukan atas selimutan tanah pertiwinya. Orang itu namanya Ibrahim Yaakob.

Sejarah yang senada juga berlaku di sebelah dunia lain. Kalau tak kerana di dunia luar sana, pengkarya filem tidak dibebaskan, kita tidak akan kenal Bhagat Singh, anak muda yang begitu berani menghidupkan api revolusi bagi memerdekakan India. Apa lagi yang dia tidak korbankan? Kebebasanya hilang dibuang di penjara, riwayatnya terbang di tali gantung yang kejam. Namanya hampir hilang dalam sejarah India, yang ada hanya Gandhi, yang potretnya bergantungan di setiap rumah dan pejabat di seluruh pelusuk benua kecil itu. Sekali lagi kita mula sedar, penjajah "memberi" kemerdekaan India kepada Gandhi, bila mereka mula rasa terperangkap, takut dan kecut perut dengan kehendak rakyat "menghidupkan revolusi" memerdekakan India, kehendak yang asalnya dihidupkan oleh seorang anak muda yang akhirnya mati, terbuang dan hampir hilang.

Sekali lagi selepas merdeka, bermula pada tahun 1998, api perjuangan kembali menyala dalam negara kita. Pemecatan dan penganiayaan terhadap Anwar Ibrahim adalah manifestasi kebobrokan, kezaliman, korupsi dan pelbagai lagi istilah tidak kena dan salah yang berlaku di tampuk pemerintah. Walaupun api itu kadang-kadang kuning, kadang-kadang biru, yang jelas nyalaan perjuangan terus hidup sehingga ke hari ini, walaupun selepas bebasnya Anwar. Siapa lagi kalau tidak anak muda yang mendepani perjuangan ini selama ini, anak mudalah yang menahan kepala, muka dan dada dari kerasnya belantan polis anti rusuhan yang sial itu (padahal anak muda ini cuma mahu menahan kezaliman dari terus merusuh dalam negara ini), anak muda inilah juga yang ada antaranya pernah ditetak jari sehingga hampir putus, anak muda ini telah berkorban keringat dan darah. Akhirnya, jika ada takdir Tuhan bahawa perjuangan ini bakal menggapai citra, siapakah yang akan naik podium menerima trofi kemenangan? Elit-elit politik lagikah? Yang terus jadi pembajak dan penkemplang hasil dari perih payah anak-anak muda yang tak pernah kenal lelah ini. Padahal mereka ini (elit-elit politik), usahkan mahu diajak bicara soal perjuangan, usahkan mahu disuruh menahan gigitan semut yang kecil, kaki seluar dihinggap kemuncup pun mereka takut! Benarlah apa yang Pram katakan, "... bahwa angkatan tua-lah (yakni elit-elit politik) yang sebetulnya menjadi biang kerok kehancuran zaman yang kemarin-kemarin itu dan hari ini."

Habis, apa kesudahannya dengan anak-anak muda ini? Menarik membaca kesimpulan Pram, bahawa kedudukan yang enak-enak itu hanya diambil oleh elit-elit politik ini, mereka hanya pandai korupsi! Apakah anak-anak muda ini terus bergelandangan mencari makan dengan ehsan program anjuran kawan-kawan? Hanya kerana mereka tidak betah berbaju batik berlengan panjang? Padahal sesetengah mereka punya tahap pendidikan yang bukan calang-calang.

Sumpah! Saya bukan cuba mencuri perhatian, atau galak mencari kedudukan. Realiti malang terdahulu memang begitu. Anak mudalah yang selalunya menggerakkan perjuangan perubahan zaman, tetapi bila perjuangan menang, anak muda selalu pula terbuang dari kepimpinan perubahan itu. Ingat!!! Anak muda bukan lampin pakai buang.

Sunday, February 20, 2005

Mencari Keaslian Kekirian Anwar

Apa itu kiri? Seringkali ia disalah rujuk sebagai komunis atau sosialis, memang penganut faham komunis dan sosialis sering ke depan mengaku sebagai kiri, tetapi menjadi kiri tidak semestinya pula wajib menjadi komunis atau sosialis! Kiri bagi saya adalah faham politik berjiwa remaja; sentiasa segar, berdarah panas, radikal, progresif dan marhaenis sifatnya, seringkali pula ia (yakni gerakan politik kiri ini) didalangi oleh intelektual-intelektual muda yang berjiwa besar, yang tidak kemaruk dengan nama besar!

Dalam satu pertemuan tertutup, Saudara Anwar menegaskan yang beliau memang dari dulu acapkali tercenderung ke arah pemikiran kiri. Mungkin ada yang tersenyum sinis. Ya, siapa yang tidak kenal dengan Anwar Ibrahim, tumbesaran politiknya berlaku di dalam Umno, di dalam Barisan Nasional, yang sudah tersohor sebagai sebuah gerakan politik yang sangat kanan, sangat feudalis, sangat elitis dan sangat kapitalis sifatnya. Bahkan keterunaan politik Anwar pecah dek Umno! Bagaimana seorang yang mengaku kiri boleh bertahan begitu lama, lebih kurang enam belas tahun dalam Umno dan Barisan Nasional yang bersifat seperti ini?

Lojik jika ada dari kalangan kita yang agak skeptikal. Tetapi nanti dulu! Mari kita buka buku sejarah (sekali lagi tentulah buku sejarah ini bukan teks wajib di sekolah-sekolah di negara kita). Jika kita belek buku-buku ini, tentu kita akan jumpa nama-nama seperti Aziz Ishak dan Kampo Radjo. Mereka ini asalnya juga adalah pemimpin kanan Umno dan Barisan Nasional/Perikatan, yang kemudiannya terjun ke kancah perjuangan rakyat, gerakan politik kiri. Mereka berjaya membuktikan keaslian kekirian mereka, bertahan dan berjaya menyanggah segala suara-suara sinikal tentang ketulenan perjuangan mereka. Kalau mereka boleh, Anwar juga tentu boleh. Kalau mereka punya upaya untuk bertahan, Anwar juga tentu punya upaya yang sama. Tinggal lagi kekirian mereka ini telah terbukti asli, sementara Anwar masih perlu melalui jalan yang panjang.

Namun yang sinikal tetap sinikal. Bagi mereka, Aziz Ishak dan Kampo Radjo bukan Anwar dan Anwar bukan mereka. Anwar adalah anak didik Mahathir, tindakan politik Anwar, seperti juga Mahathir (dulu-dulu) sukar dibaca. Seterusnya bagi mereka, Anwar menganut fahaman yang sama dengan Mahathir, politik ini adalah permainan yang mana langkah seterusnya adalah serba mungkin.

Jadi bagaimana cara mahu menelah ketelusan Anwar? Bagaimana Syed Husin Ali boleh "bertuankan" Anwar? Apakah Pak Habib ini telah bertukar menjadi Marhaenis Machivellian? Tidak mungkin! Berpuluh tahun sudah Syed Husin membuktikan komitmennya, ketahanannya, mengharungi getir perjuangan, kem tahanan sudah menjadi rumah keduanya, Syed Husin sudah sah kiri asli! Kata orang Anwar ini hebat, beliau punya cukup karisma, tetapi karisma tidak ke mana juga bila datang soal perjuangan (karisma Musa Hitam dan Mahathir sendiri tidak kurang berbanding Anwar - jika mahu cakap soal karisma), kerana perjuangan adalah madah prinsip, bukan madah retorik.

Keyakinan saya terhadap keaslian kekirian Anwar berasaskan bahawa Anwar tidak akan berani bertentang mata dengan anak-anak muda dalam Keadilan, seperti saya ini, jika beliau belot dari perjuangan. Dan saya tahu, Anwar memang tidak suka untuk berada dalam keadaan begini, keadan "tidak berani."

Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Gapai kami bersentuh telapak
Esok jangan ubah haluan

Thursday, February 03, 2005

Denggi dan Demokrasi

Tangisan tsunami mungkin sudah semakin reda, di Pantai Timur musim monsunnya juga sudah sampai ke penghujung, tetapi kita nampaknya masih perlu untuk terus berhati-hati, hari ini kita hidup dalam kebimbangan wabak, wabak Denggi! Di Pahang 57 kes sudah dilaporkan setakat ini.

Kuantan sudah memakan korban, mangsanya seorang remaja berumur 16 tahun, pelajar Sekolah Menengah Tengku Ampuan Afzan, Wan Nooraini Wan Ali, dia mungkin anak kesayangan keluarganya, dengan penuh simpati saya hulurkan salam takziah, seorang lagi pelajar sekolah yang sama dilaporkan masih dirawat.

Hari ini keresahan-keresahan mula bersuara, persoalan-persoalan terlontar, apakah pihak sekolah lambat, ataupun pihak hospital yang lembab? Suara-suara ini adalah kenanaran ibu dan bapa yang baru kehilangan anak mereka, inilah tanda kasih, tidak dapat ditandingi, tidak berbelah bahagi.

Saya tidak mahu sangat memikirkan sebab mengapa remaja ini mati, itu kerja Tuhan! Jika ada kelalaian manusia yang terlibat, saya mendesak supaya pihak yang berwajib mengambil tindakan. Yang sedang ligat bermain di fikiran saya adalah mengapa remaja ini jatuh sakit? Mengapa denggi merebak? Sudah tidak adakah ruang selamat untuk anak-anak bermain, seperti masa kecil saya dahulu? Belum habis lagi trauma anak-anak dengan lelaki-lelaki yang gila seks, hari ini mereka dihadapkan pula dengan ketakuatn tersebarnya demam denggi, petaka maut yang tidak padan dengan mereka yang tidak tahu apa-apa.

Takkanlah kita mahu salahkan nyamuk aedes! Aedes memanglah haiwan yang tidak demokratik, haiwan yang tiada hati perut, sebab itulah Sultan Melaka sampai sudah gagal menyembahkan sedulang hati nyamuk pada Puteri Gunung Ledang. Perut? Aedes cuma ada kelompong berongga yang sentiasa hauskan darah, darah manusia, darah kita! Apakah antara kita yang duduk di tampuk kebertanggungjawaban punya hati perut? Apa yang dibuat oleh ahli majlis yang menganggotai Majlis Perbandaran, khususnya Majlis Perbandaran Kuantan? Oh ya, mereka bukan demokrat, akauntabiliti mereka bukan kepada rakyat di perbandarannya, bukan rakyat yang memilih mereka, mereka dilantik oleh Umno dan Barisan Nasional yang memerintah, itulah yang mereka jaga, pergi mampuslah rakyat! Mereka makan elaun buta saban bulan buat mengisi kelompong yang sentiasa haus dan rakus, sama seperti nyamuk Aedes!!!

Ahli-ahli majlis tidak pernah reti untuk menggerakkan Majlis Perbandaran sebagai institusi kemakmuran masyarakat. Mereka duduk di situ sebagai tunggul kayu yang makan suap dan berotak lembab. Tindakan mereka seringkali lambat, yang mudaratnya rakyat. Bercerita tentang ini saya teringat peristiwa 2 ¡V 3 tahun lepas, bila sahabat saya di Indera Mahkota kehilangan anak perempuannya kerana serangan denggi berdarah (sebenarnya semua anaknya dijangkiti denggi ketika itu). Sebabnya di sebelah kawasan perumahannya adalah flat tinggal yang terbiar. Kalaupun ada masalah masa untuk kerja-kerja perobohan (flat tersebut telah dirobohkan, itupun selepas anak sahabat saya itu menjadi korban), mengapa tidak ahli-ahli majlis dalam Majlis Perbandaran Kuantan ini mengambil inisiatif untuk menggerakkan anggota kerja mereka membuat kerja-kerja pembersihan di sekitarnya, menebas lalang yang memanjang¡K tidaklah ia menjadi habitat aedes yang kemaruk darah, lebih dari itu menjadi sarang penagih dadah dan paling merisaukan menjadi singgahan pasangan muda-mudi yang serakah dan ghairah menelanjangi maruah.

Kalau Majlis Perbandaran boleh membentuk satu skuad penguatkuasa yang begitu ramai untuk menyaman motor, kereta dan segala macam kenderaan, kenapa tidak disalurkan sedikit keupayaan itu untuk memastikan kebersihan kawasan persekitaran, menjaga kesihatan dan nyawa orang awam. Atau ahli-ahli majlis yang ada tidak melihat ini sebagai sesuatu yang memberi keuntungan dan pulangan, tiada hasil yang boleh mengisi kelompong mereka yang sentiasa haus dan rakus, resmi tunggul kayu yang makan suap.

Kenapa tidak Majlis Perbandaran dibebaskan semula, dimerdekakan, didemokrasikan. Berilah hak kepada rakyat untuk menaikkan sesiapa dari kalangan mereka untuk menganggotai ahli majlis, supaya kelak rasa kebertanggungjawaban lebih ada, bukan asyik memikirkan tentang keuntungan, Majlis Perbandaran bukan institusi berorientasikan keuntungan. Kembalikanlah Pilihanraya Kerajaan Tempatan! Rakyat berhak untuk yang lebih baik, bahkan rakyat menuntut yang lebih baik.

Apa tunggu lagi? Pergi cepat cuci longkang, Majlis Perbandaran takkan datang, ahli majlisnya tidur siang!!!

Wednesday, January 26, 2005

Kempen Bebaskan Malaysia: Mengubah Kediktatoran Sistem

Kalau kita rujuk mana-mana buku sekalipun berkait dengan fakta sistem pemerintahan di Malaysia, maka yang akan kita jumpa adalah satu istilah yang sangat klishe bunyinya, "demokrasi berparlimen," dan nampaknya Umno serta Barisan Nasional yang memerintah betul-betul mengambil istilah ini menggunakan sisi definisi harafiyahnya.

"Demokrasi berparlimen," jika negara demokrasi diibaratkan seperti sebuah rumah maka parlimen bolehlah kita andaikan sebagai ruang tamunya, ruang yang terbuka dan mampu digapai oleh sesiapa sahaja yang mahu bertamu. Maka jika ada sesiapa yang datang bertamu dan membuat penilaian tentang kedemokrasian negara kita hanya berdasarkan kepada pandangan di "ruang tamu" ini, sudah tentu mereka akan menyokong seratus peratus dakwaan parti pemerintah Umno dan Barisan Nasional bahawa Malaysia sememangnya, tanpa sebarang keraguan adalah sebuah negara demokrasi.

Padahal di sebalik itu, bila berbicara dengan komuniti bukan politik, ahli perniagaan misalnya, berbicara pula soal persaingan, kata mereka hari ini kita boleh bersaing apa sahaja, kita boleh bertanding apa sahaja, kecuali jawatan Presiden Umno!

Ada sesiapa yang tersenyum? Hakikatnya ia jelas berlaku. Malangnya Ku Li, mungkin sampai akhir hayatlah beliau menjadi gurkha Umno, sebab apa? Dosanya cuma satu, melawan kediktatoran sistem Umno, iaitu mencabar kerusi Presidennya. Hari ini kediktatoran sistem ini mula hidup dan menjalar, jawatan Timbalan Presiden Umno juga tidak boleh ditandingi. Tunggulah sampai semua jawatan dalam Umno nanti dilantik belaka, alasannya... biasalah, menjaga keharmonian parti, dengan bangga pula mendakwa itulah lambang permuafakatan dan kekukuhan parti, pada masa yang sama demokrasi sedang mati.

Bayangkan, Presiden Umno adalah juga Perdana Menteri, adalah juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri, adalah juga Menteri Kewangan. Ahli-ahli Umno yang sentiasa tunduk, patuh dan tidak melawan presidennya ini tentulah juga akan tidak mempersoalkan belanjawan negara walaupun satu hari ia mungkin menjadi sangat senget dan kelakar, kerana ia di bawah seliaan orang yang sama. Ahli-ahli Umno ini juga tentulah tidak akan mempersoalkan kezaliman polis walau sezalim mana, kerana ia di bawah kekuasaan orang yang sama. Surat-surat khabar "berlesen" yang sepatutnya terbit sebagai pelapor berita seantero negara, akhirnya hanya mampu berfungsi sebagai pelapor cerita, cerita tentang pemimpin atasan Umno dan Barisan Nasional yang kononnya amat bijak, amat baik, amat berjasa dan amat berjuang untuk rakyat (serta segala jenis amat lagi), tetapi kenapa pula Profesor Jomo Sundram yang bukan pemimpin Umno itu yang dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung PBB? Kenapa tiada orang mencadangkan kepada TIME Asia supaya ada kalangan pemimpin Umno dan Barisan Nasional dicalonkan sebagai Asia Heroes seperti Anwar Ibrahim (yang dipecat dari Umno)? Kenapa surat-surat khabar kita menjadi begini, kenapa tidak dicetak sahaja dibawahnya "diterbitkan oleh Sekretariat Ibu Pejabat Umno" atau "Sekretariat Ibu Pejabat Barisan Nasional"? Jawapannya mudah, kerana "lesen" itu juga mengikut kata putus orang yang sama.

Ini belum ditambah dengan Timbalan Presiden Umno, yang juga Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Pertahanan, yang menguasai bala tentera negara. Besarnya kuasa mereka, sehingga jika digabungkan kedua-duanya ini, mereka berdua sahaja punya keupayaan untuk merampas kuasa dengan begitu mudah dan tanpa halangan, maklumlah, secara konsensusnya jawatan mereka berdua tidak boleh dicabar! Kritikan oleh juak-juak mereka sendiri dalam Parlimen? Itu biasa, seperti yang saya tulis tadi, sekadar penghias "ruang tamu."

Kalau begitu, kuasa apa lagi yang ditinggal untuk rakyat? Yang sepatutnya menjadi golongan paling berkuasa dalam negara bergelar demokrasi! Pilihanraya lima tahun sekali? Mereka kempen rumah ke rumah, kita kempen rumah ke rumah, mereka berceramah kelompok, kita berceramah kelompok, mereka berceramah umum, kita berceramah umum, mereka kempen melalui surat khabar, KITA TAK BOLEH!!! Mereka berkempen dalam televisyen dan radio, KITA TAK BOLEH!!! (Belum lagi mahu bercerita tentang keraguan perjalanan pilihanraya itu sendiri, malas dahhh). Media cetak dan elektronik ini menjadi saluran kempen mereka bukan untuk sepuluh hari, tetapi lima tahun! Seribu lapan ratus dua puluh lima hari! Bila agaknya kita akan punya peluang untuk menang? Logiknya langsung tidak mungkin, melainkan jika ada keajaiban berlaku. Ingat Suruhanjaya Pilihanraya di bawah pentadbiran Jabatan Perdana Menteri, bosnya orang yang sama juga.

Natijahnya dari perkembangan ini, dalam jangka masa panjang atau sederhana, negara kita sedang menuju ke arah kediktatoran total. Demokrasi semakin hari semakin berdebu, tercari-cari juga di mana lagi boleh nampak. Kebebasan sebagai intipati demokrasi kini tinggal sebagai catatan dalam pemasyhuran kemerdekaan oleh Almarhum Tunku, salinannya mungkin kita boleh jumpa dalam buku-buku tawarikh lama yang sudah tentu bukan teks wajib untuk anak-anak atau adik-adik kita yang sedang bersekolah.

Banyaknya kuasa-kuasa strategik negara yang berpusat pada orang yang sama. Siapakah yang berani menjawab jika saya bertanya adakah ini demokratik? Pemusatan kuasa adalah sistem negara komunis dan ia adalah satu contoh kediktatoran, malangnya di Malaysia ia sedang berlaku dalam kerangka demokrasi.

Bahayanya kediktatoran sistem dalaman Umno ini adalah kerana ia parti yang memerintah. Dominasinya dalam spektrum pemerintahan negara memberi impak, kesan dan pengaruh yang bukan sedikit terhadap institusi kerajaan secara keseluruhannya. Asimilasi mudah berlaku dan teladan buruk mudah membiak. Kediktatoran sistem dalaman Umno boleh mencipta suasana "bossy" dan autokratik dalam institusi-institusi kerajaan ini. Umno dan Barisan Nasional yang memerintahkan bagai bapa, sedangkan institusi kerajaan yang ditadbirnya seperti anak. Kalau dah bapanya borek, anaknya tentu rintik.

Jangan tunggu hingga ada ahli keluarga kita yang mati dalam lokap polis, dan tiada seorang pun YB-YB Umno dan Barisan Nasional yang berani memperjuangkan nasib kita, kerana bos polis itu, seperti yang saya kata, orang yang sama, baru mahu datang mengadu kepada orang-orang seperti saya. Kalau saya, saya akan berkata PADAN MUKA!

Cubalah sedikit berani untuk mencabar... berani untuk mengubah.

Thursday, January 13, 2005

Kempen Bebaskan Malaysia: Memerangi Tahyul Demokrasi

Dalam pembelajaran kita, tahyul diertikan sebagai kepercayaan yang karut, biasanya kepercayaan untuk takut pada sesuatu yang tidak berasas, yang tidak boleh dibuktikan. Anak-anak di ceruk-ceruk kampung, ulu dan pedalaman sering diajar untuk takut bermain di tempat-tempat tertentu seperti kawasan berbusut dan sebagainya. Maka di sebalik ruang demokrasi anak-anak ini untuk bermain dan bergembira dalam dunia mereka, mereka sering direncat oleh pantang dan larangan yang bersifat tahyul lagi karut.

Begitulah, sekecil-kecil kelompok anak-anak ini, demokrasi sudah wujud, tetapi sering pula menjadi tersekat dan demokrasi itu tercedera. Ini saya anggap sebagai demokrasi primitif, di sana wujudnya golongan Brahma yang menganggap mereka seperti ada sedikit kesaktian, mereka adalah orang-orang tua yang merasa mereka adalah dominan, mereka lebih berilmu dan pandai, kata-kata mereka wajib betul, berbanding anak-anak yang sentiasa mereka anggap hingusan. Mereka pun ciptalah sebarisan aturan dan etika bermain untuk anak-anak ini, yang kalau difikir amatlah pelik dan tidak logik, lebih dari itu sangat tahyul dan khurafat, karut dan berdosa. Bukan apa, semata-mata untuk mengekalkan status quo mereka sebagai orang tua yang sentiasa pandai (di sebalik kebodohan) dan sentiasa hebat (di sebalik sifat imferioriti kompleks yang disembunyikan). Anak-anak ini pun ikutlah... semata-mata supaya mereka dapat terus bermain.

Kelompok kecil berkembang menjadi masyarakat yang besar, bernegeri, seterusnya bernegara. Rupa-rupanya demokrasi primitif ini turut dibawa bersama, tahyul demokrasi terus hidup subur, berkembang biak dalam masyarakat yang sering membangga-banggakan diri sebagai moden dan maju.

Hari ini Saudara Anwar Ibrahim turun ke Temerloh, Pahang. Malam ini akan diadakan ceramah umum di Sungai Gau. Perhubungan Parti Keadilan Rakyat Negeri Pahang sebelum ini telah memutuskan bahawa ceramah ini tidak memerlukan permit kerana ia diadakan di premis persendirian. Seksyen 27 Akta Polis memperuntukkan bahawa mana-mana perhimpunan melebihi lima orang di tempat awam perlu mendapat permit. Kata kunci di sini adalah "tempat awam," saya rasa saudara pembaca bukanlah bodoh sangat sampai saya perlu terangkan apakah itu tempat awam dan apakah itu premis persendirian. Tetapi dalam keadaan begini ada pula yang memandai-mandai menyanggah keputusan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat Negeri Pahang ini dan memohon permit, berbangga-bangga pula dengan kelulusannya, apakah Perhubungan Parti Keadilan Rakyat Negeri Pahang yang turut dianggotai oleh dua orang peguam ini tidak punya cukup wibawa? Sedarkan mereka bahawa mereka sedang menjadikan Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh itu sebagai busut besar yang perlu disemah setiap kali kita mahu berceramah, walaupun dalam keadaan yang tidak perlu. Ancak kita buang tidak bertempat. Kita meminta restu penunggu busut biru... kenapa tidak dijamu pulut kuning sekali? Kita pergi juga menyemah walaupun undang-undang sendiri tidak memerintah, kenapa? Apakah kita takut pada penunggu busut biru itu, yang sebenarnya lemah tetapi berlagak kuat kerana kita sendiri yang menyemai rasa takut dan ngeri di kalangan kita terhadap penunggu ini, sekaki melangkah pun kita pergi memohon restunya. Ahhh!!! Apakah kita akan ikut sahaja tahyul dan khurafat ini, semata-mata kita mahu tetap terus boleh berceramah...

Dalam perkembangan media massa pula, kebelakangan ini kita lihat bahawa sudah wujud penulis di media-media alternatif yang berani mengkritik dan mempersoal kalangan pimpinan atasan Barisan Alternatif, ini agak baik kerana paling kurang ia menjelaskan bahawa sebagai pelopor politik baru, kita tidak mahu ada antara pimpinan atasan kita pula yang mahu berlagak seperti Brahma tadi, tinggi diri, berkasta tinggi, lebih dari itu kadang-kadang merasa sakti dan tidak boleh disentuh. Kalangan pimpinan atasan kita juga bukan busut suci yang pantang dilangkah. Tetapi bila berpaling pula ke media-media arus perdana, saya jadi sedih, semuanya mantera puji memuji, puja memuja. Tidak adakah kolumnis-kolumnis di Berita Harian dan Utusan Malaysia, paling tidak pun di Tamil Nesan yang berani mengkritik kepimpinan Abdullah Badawi? Eiii... jangan nak cuba, jangan berani, jangan melangkah busut suci itu, nanti ketulahan, Dollah Kok Lanas sudah kena, lama dahulu Said Zahari juga sudah kena, apakah kita lupa? Begitulah karutnya kepercayaan sebahagian dari kita, bidang penulisan kemudiannya menjadi ruang yang sepatutnya demokrasi tetapi primitif, tahyul bergentayangan wujud sebagai pantang dan larangan, padahal mereka ini kebanyakannya cerdik-pandai, tetapi tiba-tiba bukan sahaja menjadi percaya, bahkan takut kepada karut-marut dan khurafat yang tidak berasas lagi sesat ini. Apakah kita akan hanya memandang dan membiarkan ketakutan kepada tahyul ini, semata-mata supaya kita terus boleh menulis?

Mana tok-tok alim, ustaz-ustaz yang selalu mengajar bahawa tahyul itu khurafat, khurafat itu mendatangkan syirik? Harus benar bila ada orang berkata bahawa demokrasi kita ini adalah demokrasi sesat, kerana demokrasi kita ini demokrasi primitif, bercampur-baur dengan banyak kepercayaan karut, terlalu banyak untuk ditulis dan tahyul terbesar tentulah mempercayai bahawa Barisan Nasional itu adalah satu lagu busut besar yang haram untuk dimusnahkan, bahkan mengalihnya pun adalah terlarang, wajib pula untuk membiarkannya subur di tampuk pemerintahan. Lalu bolehkah saya hidup dalam ruang demokrasi primitif sebegini? Apakah saya perlu memaksa diri saya mempercayai tahyul demokrasi ini, semata-mata kerana mahu terus bermain dalam senario politik, semata-mata kerana mahu terus merayakan pilihanraya umum lima tahun sekali? Hakikatnya adalah kesudahan yang nyata, kita kalah, kita tewas! Hampeh!!! Saya akan memeranginya.

Thursday, January 06, 2005

Garuda dari laut, kuasa manusia pastikan surut

Tidak seperti sebelum ini, sambutan Tahun Baru 2005 menjadi begitu berbeza untuk kita semua, bahkan juga mungkin paling berbeza dalam sejarah ketamadunan manusia moden.

Tahun baru 2005 ini kita sambut dengan penuh keharuan, sehingga saya terpaksa mengambil masa lima hari untuk menggagahkan semula semangat jemari ini untuk terus menulis, berkebetulan pula hari ini adalah hari lahir saya.

Garuda dari laut bangkit menghempaskan sayap basahnya, kita jadi terkejut dan takut. Ombak besar yang dikenal sebagai tsunami menerjah tanpa belas ke hampir seluruh rantau ini, akibat dari gempa bumi di Acheh dan di dasar Laut Andaman pada 26 Disember 2004 yang lalu. Begitulah sekali-sekala alam menunjukkan amarahnya, tentu ada perkhabaran yang ingin disampaikan Tuhan yang telah memutuskan wahyuNya sebaik wafatnya Nabi terakhir, Muhammad s.a.w.

Tentulah yang terkesan paling teruk akibat bencana ini adalah Acheh sendiri. Angka korban yang telah disahkan menjangkau 94,000 orang, dipercayai jumlah sebenar mencecah ratusan ribu orang. Acheh memang dilanda garuda, hampir padang jarak padang terkukur jadinya, begitu banyak kecederaan, begitu banyak kemusnahan, begitu ramai anak-anak yang tiba-tiba menjadi yatim-piatu. Saya menjadi sebak bila menonton saudara Acheh saya yang berada di Malaysia, dengan linangan air mata, memohon dan berharap kiranya ada belas dan simpati rakyat Malaysia untuk membantu.

Malaysia sendiri, khususnyanya bagi yang tinggal di utara Semenanjung, walaupun secara relatifnya menerima kesan yang tidaklah seteruk Acheh, Sri Lanka, India ataupun Thailand, tetapi tetap membekas trauma yang cukup dalam dan panjang. Bagi Malaysia, tragedi 26 Disember 2004 lalu adalah yang terburuk dalam sejarah bencana dalam negara, 68 nyawa hilang dalam satu hari, kemusnahan harta-benda dianggar melebihi RM 100 juta. Malaysia tidak punya gunung berapi, tidak berada di Lingkaran Api Asia Pasifik. Malaysia tidak pernah bersedia dengan gempa bumi, apalagi ombak besar tsunami, satu istilah yang tidak pernah wujud dalam silibus pembelajaran bencana alam dan ilmu geografi di negara ini.

Kepada keluarga mangsa yang terkorban, juga kepada mangsa dan keluarga mangsa yang masih hidup, saya sejujurnya menghulurkan salam takziah, sedekah al-Fatihah dan rasa simpati saya untuk yang di Malaysia, paling tidak lupa saudara-saudara di Acheh, juga di negara-negara Sri Lanka, India, Thailand, Maldives, Myanmar dan Somalia, semoga Tuhan merahmati kita semua. Kepada yang berkemampuan, berilah bantuan sedaya mungkin, sesungguhnya ganjaran amatlah besar di sisi Tuhan.

Harus kita belajar sesuatu dari bencana ini, terutama bagi mereka yang sering merasa angkuh dan bongkak dengan kekuasaan yang seakan selesa dalam genggaman mereka, sehingga mewajarkan mereka untuk melakukan apa sahaja. Manusia; kita dan nyawa kita tidak kekal, dalam sekelip mata pun boleh hilang, kitakan menjadi arwah. Segala yang "bersifat baharu" tidak akan kekal, bukan hanya kita, tetapi juga apa yang kita miliki dan punyai, termasuk kekuasaan dan tampuk pemerintahan. Jangan terlalu takbur dan selesa dengan kekuasaan ketika saat pasangnya, kerana pasti akan ada saat surutnya.

26 Disember 2004, kita melihat bahawa tidak kekalnya manusia dimamah bencana alam, yang mula kita kenal sebagai ombak besar tsunami, sang garuda yang datang dari laut. Kita mungkin akan lihat bahawa tidak kekalnya kekuasaan manusia itu akibat serangan ombak besar dari rakyat, tunggulah bila sang garuda muncul dari darat. Kalau Tuhan boleh menyampaikan perkhabaranNya melalui amarah alam, tentulah lebih mudah bagiNya untuk menyampai perkhabaran melalui amarah insan.