Monday, August 30, 2004

31 Ogos dan 2 September, mencari daulat kemerdekaan

Esok negara akan menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-47, kebetulannya pula sambutan peringkat kebangsaan akan berlangsung di Kuantan, bandar yang saya duduki ini. Telah beberapa minggu, persiapan giat berjalan. Ada jalan-jalan besar yang ditutup kerana persiapan tersebut, namun rakyat tidak mengeluh, kegembiraan terpancar! Tetapi apabila bertanya kepada seorang kanak-kanak belasan, apa itu merdeka, tergagap-gagap dia nak menjawab, senang cakap dia tak tahu, hanya pandai melaung merdeka. Malang sungguh! Inilah generasi baru negara kita, entah bacaan apa yang mereka kendong di dalam beg berat mereka setiap kali ke sekolah.

Habis kegembiraan yang terpancar itu untuk apa? Oooo, malam ini ada konsert di Stadium Darul Makmur, katanya Siti Nurhaliza akan turun. Khemah-khemah untuk lot perniagaan juga sudah banyak dibuka, ada yang menghidangkan permainan dengan pelbagai jenis, juga gerai-gerai jualan yang cukup menambat mata. Ditambah pula dengan kesibukan warna-warni anggota pasukan beruniform membuat latihan perbarisan, malam hari sudah terang dengan limpahan cahaya lampu, semua orang boleh menggambarkan kemeriahannya. Saya bukanlah terlalu konservatif dan menolak hiburan, tetapi mengikuti persiapan dari dekat, saya gagal untuk menemui "semangat" di dalam sambutan ini. Maka yang jelas terserlah, sambutan kemerdekaan kita adalah acara pesta-pestaan, gula-gula hiburan untuk rakyat, kemerdekaan kita kemerdekaan karvival. Generasi baru sedang mewarisi sebuah kemerdekaan yang hilang daulatnya, yang sedihnya tanpa mereka sedari, kerana mereka memang dilupakan tentang itu.

Saya tidak pasti sama ada kalangan rakan di luar sana menyedari atau tidak bahawa bulan selepas Ogos, iaitu September adalah Bulan Bahasa dan Sastera Negara. Isu bahasa muncul kembali selepas RTM dalam usaha penjenamaan semulanya melancarkan logo dan moto barunya yang berbunyi "Saluran Infotainmen Anda" yang secara terang memperlekehkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi Persekutuan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan, sekali lagi pandangan-pandangan pakar bahasa dibakulsampahkan! Kenapa Malaysia tidak punya Mahkamah Perlembagaan supaya RTM dan Kementerian Penerangan boleh diheret untuk didakwa. Dahulu kita sudah memprotes penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik, lalu mereka kata kita menolak kepentingan Bahasa Inggeris dan menggalakkan bangsa kita terus mundur. Kita tidak menolak kepentingan Bahasa Inggeris, tetapi menginggeriskan mata pelajaran utama seperti Sains (tentulah termasuk Biologi, Fizik dan Kimia) dan Matematik (tentulah termasuk Matematik Moden dan Matematik Tambahan) secara automatik telah menukar bahasa pengantar persekolahan kita kepada Bahasa Inggeris. Di mana jati diri bangsa Malaysia (sama ada Melayu, China, India dsb), yang selama 47 tahun telah memperakukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi Persekutuan, ini adalah semangat yang dimartabatkan di dalam Perlembagaan semenjak 31 Ogos 1957. Nampak sangat, kemerdekaan kita telah hilang daulatnya.

Pada 2 September 1998, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dipecat dari semua jawatannya di dalam kerajaan, Umno dan Barisan Nasional dalam satu insiden yang sungguh memalukan negara. Pada 2 September 2004, manusia yang sama yang bernama Anwar Ibrahim untuk kesekian kalinya kembali, kali ini di Putrajaya bagi memperjuangkan daulat kemerdekaan dirinya supaya dikembalikan semula kepada dirinya sebagai seorang manusia yang punya maruah dan harga diri, yang selama ini telah dicalar dan dicarik-rabikkan secara tidak terhormat. Ironinya perjuangan beliau akan berlangsung di dalam sebuah bangunan Kerajaan Malaysia (bahasa rasminya Bahasa Melayu) yang bernama "Palace of Justice." Di mana-mana, daulat kemerdekaan kita semakin hilang.

Berpestalah untuk Kemerdekaan ini... Biarlah saya seorang memerhati jati diri bangsa dan jati diri bahasa yang semakin hilang daulat kemerdekaannya selepas 47 tahun terbebas. Hari ini hak diri manusia yang terbebas 47 tahun lalu dari belenggu penjajahan juga semakin dirantai, daulat kemerdekaan kita yang bergelar manusia ini semakin hilang dan padam, ingatlah manusia itu, ANWAR IBRAHIM.

Sunday, August 29, 2004

Rizab Melayu mula dipajak, tanda orang Melayu akan dipijak

Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang...

Itulah bait-bait rangkap pertama lagu "Warisan" yang saya nyanyikan saban minggu ketika masih bergelar pelajar MRSM dulu, apakah keluhan dalam lagu ini semakin menjadi realiti? Surat khabar hari ini melaporkan bahawa Mesyuarat Kali Ke-60 Majlis Tanah Negara (MTN) semalam, yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak telah meluluskan untuk meminda Enakmen Rizab Melayu (ERM) bagi membolehkan Tanah Rizab Melayu dipajakkan kepada bukan Melayu untuk tempoh 60 tahun.

Kita telah melihat bagaimana penempatan Melayu menjadi terhimpit dalam kesesakan Bandaraya Pulau Pinang, kita juga telah melihat bagaimana pembangunan di beberapa bandar lain yang berskala besar dan bersifat ultra-mewah telah membina tembok besar yang semakin membuat orang Melayu tersisih, terpinggir dan tercampak keluar dari arus pembangunan perdana. Menyelusuri ini semua pun, pemimpin-pemimpin Umno yang bernama "Melayu" masih berani mempertaruh dan memperjudikan sisa hak orang Melayu yang masih tinggal itu. Siapakah sebenarnya yang akan memperoleh keuntungan luar biasa dari perubahan ini? Atau siapakah selepas ini yang akan makan besar?

Bagaimana YAB Dato' Seri Najib boleh begitu yakin bahawa dengan pindaan ini hak pemilikan orang Melayu terhadap Tanah-tanah Rizab Melayu akan terus kekal? Dengan membenarkan pajakan, sehingga 60 tahun, maka secara automatiknya, tanah-tanah ini juga akan boleh dicagarkan kepada mana-mana institusi kewangan. Katakan seorang yang bukan Melayu, mendapat hak pajakan ke atas sebidang Tanah Rizab Melayu ini, dengan pindaan yang bakal dibuat, dia akan dapat membuat pinjaman dengan mana-mana institusi kewangan (katakan institusi kewangan bukan juga milik Melayu) bercagarkan Tanah Rizab Melayu yang dia peroleh secara pajakan 60 tahun itu. Andaikan dalam proses pembayaran balik dia menghadapi masalah sehingga melibatkan tindakan undang-undang. Pada kebiasaannya, jika tiada penyelesaian lain, tanah yang dicagar itu akan menjadi milik institusi kewangan (milik bukan Melayu). Bagaimana status tanah itu ketika itu? Apakah "pajakan 60 tahun" itu masih terpakai? Atau tanah itu akan menjadi milik institusi kewangan (milik bukan Melayu) selama-lamanya? Apapun, jika status "pajakan 60 tahun" mahu terus diguna pakai dalam senario sebegini, rasionalnya sudah tentulah tidak akan ada institusi kewangan yang mahu menerima tanah ini sebagai cagaran.

Satu lagi persoalan besar ialah apakah kebenaran untuk memajak Tanah Rizab Melayu ini akan datang dengan opsyen? Atau ia hanya untuk tempoh 60 tahun, habis di situ sahaja? Opsyen maksudnya selepas tamat tempoh 60 tahun, pajakan akan boleh disambung lagi untuk tempoh 60 tahun, dan begitulah seterusnya. Jika begini situasinya, status tanah tersebut saling tak tumpah seperti sudah dijual, tapi selalunya Tanah Rizab Melayu yang dijual mesti diganti. Di sini tidak, kerana pada istilah undang-undangnya, ia "dipajak" bukan dijual. Memang kerajaan berhak untuk mengambil semula tanah itu, tetapi selama ada tembolok yang sentiasa rasa kekenyangan, apakah tanah ini akan kembali ke pangkuan orang Melayu?

Alasan bahawa Tanah Rizab Melayu sukar mencapai nilai pasaran tinggi walaupun berada di kawasan strategik kerana tidak boleh dijual atau dibangunkan oleh bukan Melayu tidak boleh diterima langsung. Sepertinya, pemimpin-pemimpin kerajaan dari kalangan Umno sedang mencuba untuk lari dari tanggungjawab mereka membangunkan orang Melayu. Kenapa tidak diminta supaya Kerajaan-kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri (SEDC) masing-masing menjalinkan kerjasama pintar dengan pemilik Tanah-tanah Rizab Melayu yang berada di kawasan-kawasan strategik ini, membangunkan tanah-tanah ini secara bersama, tidak kiralah ia pembangunan komersil, perkilangan, mahupun pertanian. Kerajaan Negeri melalui SEDC dan pemilik tanah menjadi pemegang saham, melalui sebuah syarikat membangunkan tanah tersebut, SEDC membantu dari segi kewangan dan kepakaran, pemilik tanah tentulah mengizinguna tanah tersebut.

Suka saya pesan kepada pemimpin-pemimpin Melayu di dalam kerajaan (tentulah dari kalangan Umno) bahawa resmi kebanyakan orang Melayu ini memang mudah gelap mata dengan wang, apalagi kalau ia berjuta (sebab itulah juga undi orang Melayu mudah dibeli dengan RM 100 dan sehelai kain batik di dalam pilihanraya). Memanglah ramai yang akan suka dengan pindaan ini, kerana kalau sebelum ini tiada "tokey' yang berkenan dengan tanah mereka, selepas ini tentulah ia berbeza, maka akan adalah yang mula berangan buat banglo dan pakai Mercedes (seperti penduduk beberapa rancangan Felda tu), akhirnya banglo tak siap, Mercedes belum habis bayar, duit dah licin, tanah ke mana? Tanah sudah tergadai!!! Apa yang pemimpin-pemimpin Umno ini boleh buat? Langkah terbaik, lebih baik kita mencegah sebelum ia muncul menjadi penyakit... sekurang-sekurangnya janganlah pula kita pemimpin Melayu yang sepatutnya melindungi orang Melayu, menggalakkan pula mereka untuk "menghabiskan' sisa-sia Tanah Rizab Melayu yang masih ada, walaupun atas nama "memajak" bukan menjual. Walaupun hanya memajak, sudah kelihatan orang Melayu akan semakin dipijak...

Indahnya bumi kita ini
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir, ke tangan yang lain
Pribumi merintih sendiri...