Tidak seperti sebelum ini, sambutan Tahun Baru 2005 menjadi begitu berbeza untuk kita semua, bahkan juga mungkin paling berbeza dalam sejarah ketamadunan manusia moden.
Tahun baru 2005 ini kita sambut dengan penuh keharuan, sehingga saya terpaksa mengambil masa lima hari untuk menggagahkan semula semangat jemari ini untuk terus menulis, berkebetulan pula hari ini adalah hari lahir saya.
Garuda dari laut bangkit menghempaskan sayap basahnya, kita jadi terkejut dan takut. Ombak besar yang dikenal sebagai tsunami menerjah tanpa belas ke hampir seluruh rantau ini, akibat dari gempa bumi di Acheh dan di dasar Laut Andaman pada 26 Disember 2004 yang lalu. Begitulah sekali-sekala alam menunjukkan amarahnya, tentu ada perkhabaran yang ingin disampaikan Tuhan yang telah memutuskan wahyuNya sebaik wafatnya Nabi terakhir, Muhammad s.a.w.
Tentulah yang terkesan paling teruk akibat bencana ini adalah Acheh sendiri. Angka korban yang telah disahkan menjangkau 94,000 orang, dipercayai jumlah sebenar mencecah ratusan ribu orang. Acheh memang dilanda garuda, hampir padang jarak padang terkukur jadinya, begitu banyak kecederaan, begitu banyak kemusnahan, begitu ramai anak-anak yang tiba-tiba menjadi yatim-piatu. Saya menjadi sebak bila menonton saudara Acheh saya yang berada di Malaysia, dengan linangan air mata, memohon dan berharap kiranya ada belas dan simpati rakyat Malaysia untuk membantu.
Malaysia sendiri, khususnyanya bagi yang tinggal di utara Semenanjung, walaupun secara relatifnya menerima kesan yang tidaklah seteruk Acheh, Sri Lanka, India ataupun Thailand, tetapi tetap membekas trauma yang cukup dalam dan panjang. Bagi Malaysia, tragedi 26 Disember 2004 lalu adalah yang terburuk dalam sejarah bencana dalam negara, 68 nyawa hilang dalam satu hari, kemusnahan harta-benda dianggar melebihi RM 100 juta. Malaysia tidak punya gunung berapi, tidak berada di Lingkaran Api Asia Pasifik. Malaysia tidak pernah bersedia dengan gempa bumi, apalagi ombak besar tsunami, satu istilah yang tidak pernah wujud dalam silibus pembelajaran bencana alam dan ilmu geografi di negara ini.
Kepada keluarga mangsa yang terkorban, juga kepada mangsa dan keluarga mangsa yang masih hidup, saya sejujurnya menghulurkan salam takziah, sedekah al-Fatihah dan rasa simpati saya untuk yang di Malaysia, paling tidak lupa saudara-saudara di Acheh, juga di negara-negara Sri Lanka, India, Thailand, Maldives, Myanmar dan Somalia, semoga Tuhan merahmati kita semua. Kepada yang berkemampuan, berilah bantuan sedaya mungkin, sesungguhnya ganjaran amatlah besar di sisi Tuhan.
Harus kita belajar sesuatu dari bencana ini, terutama bagi mereka yang sering merasa angkuh dan bongkak dengan kekuasaan yang seakan selesa dalam genggaman mereka, sehingga mewajarkan mereka untuk melakukan apa sahaja. Manusia; kita dan nyawa kita tidak kekal, dalam sekelip mata pun boleh hilang, kitakan menjadi arwah. Segala yang "bersifat baharu" tidak akan kekal, bukan hanya kita, tetapi juga apa yang kita miliki dan punyai, termasuk kekuasaan dan tampuk pemerintahan. Jangan terlalu takbur dan selesa dengan kekuasaan ketika saat pasangnya, kerana pasti akan ada saat surutnya.
26 Disember 2004, kita melihat bahawa tidak kekalnya manusia dimamah bencana alam, yang mula kita kenal sebagai ombak besar tsunami, sang garuda yang datang dari laut. Kita mungkin akan lihat bahawa tidak kekalnya kekuasaan manusia itu akibat serangan ombak besar dari rakyat, tunggulah bila sang garuda muncul dari darat. Kalau Tuhan boleh menyampaikan perkhabaranNya melalui amarah alam, tentulah lebih mudah bagiNya untuk menyampai perkhabaran melalui amarah insan.
Thursday, January 06, 2005
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment