Dalam pembelajaran kita, tahyul diertikan sebagai kepercayaan yang karut, biasanya kepercayaan untuk takut pada sesuatu yang tidak berasas, yang tidak boleh dibuktikan. Anak-anak di ceruk-ceruk kampung, ulu dan pedalaman sering diajar untuk takut bermain di tempat-tempat tertentu seperti kawasan berbusut dan sebagainya. Maka di sebalik ruang demokrasi anak-anak ini untuk bermain dan bergembira dalam dunia mereka, mereka sering direncat oleh pantang dan larangan yang bersifat tahyul lagi karut.
Begitulah, sekecil-kecil kelompok anak-anak ini, demokrasi sudah wujud, tetapi sering pula menjadi tersekat dan demokrasi itu tercedera. Ini saya anggap sebagai demokrasi primitif, di sana wujudnya golongan Brahma yang menganggap mereka seperti ada sedikit kesaktian, mereka adalah orang-orang tua yang merasa mereka adalah dominan, mereka lebih berilmu dan pandai, kata-kata mereka wajib betul, berbanding anak-anak yang sentiasa mereka anggap hingusan. Mereka pun ciptalah sebarisan aturan dan etika bermain untuk anak-anak ini, yang kalau difikir amatlah pelik dan tidak logik, lebih dari itu sangat tahyul dan khurafat, karut dan berdosa. Bukan apa, semata-mata untuk mengekalkan status quo mereka sebagai orang tua yang sentiasa pandai (di sebalik kebodohan) dan sentiasa hebat (di sebalik sifat imferioriti kompleks yang disembunyikan). Anak-anak ini pun ikutlah... semata-mata supaya mereka dapat terus bermain.
Kelompok kecil berkembang menjadi masyarakat yang besar, bernegeri, seterusnya bernegara. Rupa-rupanya demokrasi primitif ini turut dibawa bersama, tahyul demokrasi terus hidup subur, berkembang biak dalam masyarakat yang sering membangga-banggakan diri sebagai moden dan maju.
Hari ini Saudara Anwar Ibrahim turun ke Temerloh, Pahang. Malam ini akan diadakan ceramah umum di Sungai Gau. Perhubungan Parti Keadilan Rakyat Negeri Pahang sebelum ini telah memutuskan bahawa ceramah ini tidak memerlukan permit kerana ia diadakan di premis persendirian. Seksyen 27 Akta Polis memperuntukkan bahawa mana-mana perhimpunan melebihi lima orang di tempat awam perlu mendapat permit. Kata kunci di sini adalah "tempat awam," saya rasa saudara pembaca bukanlah bodoh sangat sampai saya perlu terangkan apakah itu tempat awam dan apakah itu premis persendirian. Tetapi dalam keadaan begini ada pula yang memandai-mandai menyanggah keputusan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat Negeri Pahang ini dan memohon permit, berbangga-bangga pula dengan kelulusannya, apakah Perhubungan Parti Keadilan Rakyat Negeri Pahang yang turut dianggotai oleh dua orang peguam ini tidak punya cukup wibawa? Sedarkan mereka bahawa mereka sedang menjadikan Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh itu sebagai busut besar yang perlu disemah setiap kali kita mahu berceramah, walaupun dalam keadaan yang tidak perlu. Ancak kita buang tidak bertempat. Kita meminta restu penunggu busut biru... kenapa tidak dijamu pulut kuning sekali? Kita pergi juga menyemah walaupun undang-undang sendiri tidak memerintah, kenapa? Apakah kita takut pada penunggu busut biru itu, yang sebenarnya lemah tetapi berlagak kuat kerana kita sendiri yang menyemai rasa takut dan ngeri di kalangan kita terhadap penunggu ini, sekaki melangkah pun kita pergi memohon restunya. Ahhh!!! Apakah kita akan ikut sahaja tahyul dan khurafat ini, semata-mata kita mahu tetap terus boleh berceramah...
Dalam perkembangan media massa pula, kebelakangan ini kita lihat bahawa sudah wujud penulis di media-media alternatif yang berani mengkritik dan mempersoal kalangan pimpinan atasan Barisan Alternatif, ini agak baik kerana paling kurang ia menjelaskan bahawa sebagai pelopor politik baru, kita tidak mahu ada antara pimpinan atasan kita pula yang mahu berlagak seperti Brahma tadi, tinggi diri, berkasta tinggi, lebih dari itu kadang-kadang merasa sakti dan tidak boleh disentuh. Kalangan pimpinan atasan kita juga bukan busut suci yang pantang dilangkah. Tetapi bila berpaling pula ke media-media arus perdana, saya jadi sedih, semuanya mantera puji memuji, puja memuja. Tidak adakah kolumnis-kolumnis di Berita Harian dan Utusan Malaysia, paling tidak pun di Tamil Nesan yang berani mengkritik kepimpinan Abdullah Badawi? Eiii... jangan nak cuba, jangan berani, jangan melangkah busut suci itu, nanti ketulahan, Dollah Kok Lanas sudah kena, lama dahulu Said Zahari juga sudah kena, apakah kita lupa? Begitulah karutnya kepercayaan sebahagian dari kita, bidang penulisan kemudiannya menjadi ruang yang sepatutnya demokrasi tetapi primitif, tahyul bergentayangan wujud sebagai pantang dan larangan, padahal mereka ini kebanyakannya cerdik-pandai, tetapi tiba-tiba bukan sahaja menjadi percaya, bahkan takut kepada karut-marut dan khurafat yang tidak berasas lagi sesat ini. Apakah kita akan hanya memandang dan membiarkan ketakutan kepada tahyul ini, semata-mata supaya kita terus boleh menulis?
Mana tok-tok alim, ustaz-ustaz yang selalu mengajar bahawa tahyul itu khurafat, khurafat itu mendatangkan syirik? Harus benar bila ada orang berkata bahawa demokrasi kita ini adalah demokrasi sesat, kerana demokrasi kita ini demokrasi primitif, bercampur-baur dengan banyak kepercayaan karut, terlalu banyak untuk ditulis dan tahyul terbesar tentulah mempercayai bahawa Barisan Nasional itu adalah satu lagu busut besar yang haram untuk dimusnahkan, bahkan mengalihnya pun adalah terlarang, wajib pula untuk membiarkannya subur di tampuk pemerintahan. Lalu bolehkah saya hidup dalam ruang demokrasi primitif sebegini? Apakah saya perlu memaksa diri saya mempercayai tahyul demokrasi ini, semata-mata kerana mahu terus bermain dalam senario politik, semata-mata kerana mahu terus merayakan pilihanraya umum lima tahun sekali? Hakikatnya adalah kesudahan yang nyata, kita kalah, kita tewas! Hampeh!!! Saya akan memeranginya.
Thursday, January 13, 2005
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment