Pemilihan adalah salah satu rukun demokrasi, menerimanya bermaksud kita menerima hakikat kemenangan, menerimanya juga bermaksud kita menerima hakikat kekalahan.
Parti Kadilan Rakyat baru sahaja menamatkan Kongres Nasionalnya yang pertama tanggal 19 Disember baru-baru ini. Kongres ini, tentulah bagi semua penggiat dan aktivis parti, punya nilai sejarah yang sangat tinggi, bukan sahaja kerana inilah kongres pertama Parti Keadilan Rakyat, setelah terlunas segala usaha penggabungan Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia, bukan sahaja kerana selepas enam tahun, kongres ini menyaksikan kehadiran semula Bung Anwar (meminjam gelar yang diberi oleh Cikgu Dzul), tetapi yang lebih menarik dan menjadi topik perbincangan ramai penganalisis politik, buat julung kalinya Parti Keadilan Rakyat memberi mandat kepada perwakilan untuk memilih barisan kepimpinannya. Ia sesungguhnya mencabar kematangan kita dalam berpolitik.
Sungguh meriah, kongres ini penuh dengan warna-warni, apalagi dengan kehadiran ribuan pemerhati dari seluruh pelusuk tanahair. Sudah adat pemilihan, ada yang kalah, ada yang menang. Bagi yang kalah, ada yang memahami erti demokrasi, menerima kekalahan dengan lapang dada dan hati terbuka, maka salut saya untuk Gobalakrishnan! Tetapi ada juga yang tergores luka, sesudah kalah bayang entah ke mana, usahkan bersama di pentas dengan barisan kepimpinan baru, di kalangan perwakilan pun kelibatnya sudah tiada. Ramai yang mengaku pejuang, tetapi ada yang awal-awal sudah kalah, hanya kerana cabaran kematangan berpolitik kita.
Ada juga segelintir yang langsung tidak dapat menerima hakikat kekalahan, merasakan bahawa ada orang lain yang sepatutnya kalah dan dia antara yang layak untuk menang. Di ruang-ruang belakang, dalam sembang-sembang senyap hampir berbisik, kepada rakan-rakan, orang-orang sebegini boleh marah pula terhadap si anu yang menang (yang dirasakan sepatutnya kalah), padahal si anu yang menang itu langsung tiada dosa terhadap kekalahannya. Sekali lagi, ada orang kita yang kalah dengan cabaran kematangan berpolitik. Unsur-unsur sebegini, walaupun segelintir, sangat berbahaya untuk parti, apatah lagi parti masih sangat muda; sebuah kampung boleh menjadi huru-hara hanya kerana seorang yang gatal mulut membawa cerita salah ke sana-sini.
Saya boleh memahami yang kita adalah manusia biasa, punya perasaan, rasa terkilan, rasa sedih, rasa marah dan pelbagai lagi, tetapi rasa-rasa ini selalunya dapat kita seimbangkan dengan kewarasan pemikiran kita, dalam keadaan begini kita menjadi seorang yang rasional, kita akan mudah untuk mendapat penghormatan dari orang lain. Inilah sepatutnya yang ada pada diri kita semua sebagai seorang ahli politik, yang sentiasa mengaku sebagai demokrat tulen! Lebih penting, sebagai seorang pejuang, kita perlu sentiasa rasional, kerana lawan kepada rasional adalah emosional. Seorang pejuang yang emosional akan sentiasa bersikap gelojoh, tidak strategik dan mudah terperangkap dek musuh.
Sentiasalah kita belajar dari pengalaman, termasuk pengalaman kita berkongres kali pertama ini, bak kata sebaris lagu, "pengalaman... telah mendewasakan, mematangkan fikiran..." Semoga yang tergores itu hanya sementara, dan yang marah itu juga hanya sementara. Kongres pertama ini seharusnya kita angkat sebagai titik permulaan untuk kegemilangan perjuangan masa depan.
Akhirnya, saya sering menganggap dan berharap bahawa pemilihan dalaman parti ini hanyalah bagai biduk yang setiap tiga tahun, lalu meredah ketenangan kumpulan kiambang, apabila lepas, kiambang kan kembali bertaut.
Meminang sudah bersanding pun sudah
Adatlah pasangan raikan kunjungan
Bersidang sudah bertanding pun sudah
Jabatlah tangan teruskan perjuangan
Tuesday, December 21, 2004
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment