Saya boleh hidup tanpa makan, saya boleh hidup tanpa wang, saya boleh hidup tanpa harta kekayaan, saya boleh hidup tanpa rumah kediaman. Tetapi saya akan mati tanpa maruah dan kehormatan diri; maruah yang saya tetap pertahankan selama enam tahun ini adalah perjuangan saya, perjuangan menegakkan keadilan dan menentang kezaliman di bumi bertuah yang sangat saya cintai ini.
Maka Ramadhan pun datang, sebulan pada setiap tahun umat Islam diwajibkan berpuasa, siang akan dilalui tanpa makan, sedangkan ia sudah senantiasa menjadi senaman saya dalam keadaan-keadaan tertentu di sepanjang enam tahun perjuangan ini. Sekurang-kurangnya, selama sebulan ini, rakyat di luar sana (sudah tentulah yang beragama Islam) dapat juga memahami dan menempuhi satu dari apa yang disebut sebagai dugaan perjuangan, sesungguhnya Ramadhan adalah bulan perjuangan.
Saya teringat satu hari saya ke Bukit Damansara bertemu dengan Kak Wan (baca: Datin Seri Dr. Wan Azizah), tujuannya kerana ada satu perkara yang saya ingin bincang dengan beliau. Saya diminta ke dapur oleh orang di luar kerana Kak Wan ada di dalam sana, di dapur saya bertemu dengan Kak Wan dan pembantunya Cik Wati. Soalan pertama Kak Wan ialah apakah saya sudah makan atau belum, kerana di luar memang ada jamuan makan disediakan, seperti hari-hari Khamis sebelum ini juga. Saya menjawab kepada Kak Wan, saya belajar untuk tidak makan, sekurang-kurangnya kalau saya ditangkap dan dimasukkan ke penjara, saya sudah sedia untuk berlapar jika keadaan memerlukan. Kak Wan marahkan saya, tidak baik katanya, ia seperti meminta, apalagi malam itu malam Jumaat. Kerana menghormati Kak Wan dan saya bertamu pula di rumah beliau, saya makan juga, tambah lagi Kak Wan sendiri yang hidangkannya.
Pertengahan Ramadhan ini, iaitu pada akhir Oktober, Saudara Anwar dijangka akan pulang ke Malaysia. Satu sambutan besar-besaran sedang dirancang. Tujuan di sebalik sambutan ini saya serahkan kepada orang yang menganjurkannya. Apakah ia sambutan kemenangan? Sedang saya masih tercari-cari kemenangan apakah yang sudah kita genggam? Saya cuma berharap kepulangan Saudara Anwar di ketika umat Islam sedang sibuk menjalani ibadah puasa boleh menjadi pemangkin kepada kebangkitan kedua semarak perjuangan rakyat, mengambil sempena semangat bulan Ramadhan sebagai bulan perjuangan. Saya pernah berkata bahawa reformasi tidak mati di jujuran anak tangga Mahkamah Persekutuan Putrajaya (Bangunan Palace of Justice) pada 2 September 2004 yang lalu.
Selamat datang Ramadhan! Saya pasti bahawa perjuangan ini akan menjadi lebih kuat, jika setiap daripada kita yang sayangkan keadilan, yang bencikan kezaliman, yang mengaku pejuang, boleh menyambut kedatangan Ramadhan ini dengan senyum dan dada yang lapang. Berlapar atau tidak makan ini (yang saya tempuhi bukan hanya di bulan Ramadhan sahaja, juga hari-hari biasa bila keadaan memaksa), rupa-rupanya adalah bengkel rohani, di sini jiwa digilap dan dimantapkan. Dalam keadaan berlapar ini, kita akan nampak setiap kesalahan yang perlu diperbetulkan. Dalam keadaan berlapar ini juga, kita akan melihat butiran-butiran kekuatan diri yang kita ada dan patut disemat kemas-kemas di dada. Ketahuilah, terkaman harimau yang paling ditakuti adalah terkamannya ketika lapar!
Apakah Saudara Anwar ingat kelaparan yang membangkitkan rakyat di Baling?
Thursday, October 14, 2004
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment