Sunday, September 04, 2005

Wawancara Hari Kebangaan bersama Zukri Aksah - KeadilanRakyat.Org

http://www.keadilanrakyat.org/spm/index.php?option=com_content&task=view&id=146&Itemid=33

Oleh Jeffrey Lim

Sempena Hari Kebangsaan, saya sebagai seorang penyokong muda telah sempat mewawancara beberapa orang pemimpin parti dan blogger mengenai sedikit sebanyak pandangan mereka tentang kemerdekaan negara kita. Pada hari ini, jawapan daripada Sdr Mohd Zukri Aksah, Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia serta Ketua Angkatan Muda Bahagian Indera Mahkota akan disiarkan.

Jeffrey: British telahpun dihalau dari negara kita 48 tahun dahulu, tetapi banyak dasar serta taktik zalim mereka seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), pecah dan perintah dan sekatan ke atas pendidikan bahasa ibunda terus wujud sehingga saat ini. Dari aspek kebebasan akhbar dan pilihanraya tempatan, it lebih teruk daripada 48 tahun dahulu. Dalam pandangan saudara, adakah kita benar-benar merdeka?

Zukri: Hanya satu takrif kemerdekaan yang betul untuk Malaysia, iaitu negara kita tidak lagi diperintah oleh orang asing dari negara asing, negara kita sekarang diperintah oleh orang yang datang dari dalam negara kita juga, warganegara Malaysia. Yang lain tu, saya boleh kata kita cuma merasai hampas kemerdekaan! Bahkan hampas itu pun semakin hari semakin sedikit, seperti kebebasan dalam pilihanraya, dulu kita masih boleh menganjurkan rapat umum, sekarang tidak lagi.

Budaya ketakutan hidup subur di jiwa rakyat terbanyak kerana propaganda jahat Umno dan Barisan Nasional, isteri mana yang tidak takut memikirkan kemungkinan suami mereka diangkut malam hari atas nama ISA, sebabnya hanya kerana kita lantang bersuara menentang dasar dan tindakan Umno dan Barisan Nasional, bukanlah kerana kita merancang atau terlibat dengan gerakan bersenjata bawah tanah. ISA menjadi senjata ampuh, cukup untuk membuat sesetengah dari kita merasa serba salah memilih di antara perjuangan dan keluarga tersayang.

Soal bahasa ibunda, saya rasa semua sekolah, tidak kira apa jenisnya, perlu mengajar ketiga-tiga bahasa ibunda utama negara ini (mungkin pilihan boleh dibuat di Sabah dan Sarawak), sementara Bahasa Malaysia perlu terus digerak dan dimartabatkan sebagai Bahasa Persekutuan dan Perpaduan.

Jeffrey: Maksud saudara, negara kita tetap dikira merdeka sungguhpun hidup kita sebagai rakyat negara merdeka terus dibelenggu. Soalan seterusnya, ramai termasuk bekas guru di Maktab Melayu Kuala Kangsar berpendapat bahawa taraf perpaduan dan juga pencapaian akademik adalah jauh lebih baik apabila pelajaran dijalankan dalam Bahasa Inggeris. Sebaik sahaja Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar, ia tidak semegah dulu lagi. Apakah ini bermaksud bahasa kebangsaan sukar menyatupadukan rakyat secara berkesan?

Zukri: Ini satu kenyataan yang mengarut dan tiada asas. Perpaduan di Malaysia kelihatannya agak tidak stabil bila timbul isu-isu yang agak sensitif bukan kerana persoalan bahasa, perpaduan kita tidak mantap kerana kita hanya kaya dengan istilah, interaksi antara kaum, integrasi nasional dan sebagainya, tetapi amat malang kerana sampai hari ini, kita hampir gagal sepenuhnya dalam memupuk kepercayaan antara kaum, tak tahulah pula kalau ia sengaja dibiarkan gagal sebegitu untuk memudahkan dasar pecah dan perintah diteruska tanpa sedar kita, demi kehendak segolongan manusia yang terlalu takut kehilangan kuasa.

Dalam soal pendidikan pula, dakwaan mengatakan penukaran penggunaan Bahasa Inggeris kepada Bahasa Malaysia menyebabkan penurunan kualiti dalam banyak aspek sistem pendidikan kita adalah dakwaan dari orang yang tiada atau hilang jatidirinya, mungkin mereka ini membesar di zaman British, dan mengagungkan sistem British, terpengaruh pula dengan gaya imperialis British, sebab itu Ibrahim Yaakob yang didakwa bersekongkol dengan Jepun dikatakan pengkhianat sedangkan mereka yang bersekongkol dengan British dikatakan nasionalis, sedangkan kedua-keduanya penjajah, imperialis!!!

Dalam hal ini kita tidak perlu pergi jauh, tengok sahaja Thailand, amat susah untuk mencari rakyatnya yang hebat berbahasa Inggeris, walau di kalangan penuntut universiti sekalipun, tetapi negara mereka tetap membangun, dalam sesetengah hal jauh meninggalkan negara kita.

Jeffrey: Saya setuju, pendidikan negara kita telah dirogol oleh pemerintah, Jika ia tidak digulingkan, sistem pendidikan akan terus dihamba abdikan. Soalan seterusnya, ramai yang salahkan politik perkauman dan dasar-dasar perkauman sebagai sebab utama kenapa perpaduan tidak wujud. Walau bagaimanapun, tanpa faktor-faktor ini, sekolah kebangsaan tidak semestinya akan menjadi pilihan utama. Adakah ini bererti perpaduan susah dicapai?

Zukri: Ini berkait dengan jawapan saya untuk soalan kedua tadi. Masalah di sini adalah kepercayaan antara kaum yang saya boleh katakan hampir tiada. Saudara boleh rujuk salah satu episod Debat Perdana kelolaan RTM, hujah dari salah seorang ahli panel dari DAP tentang masalah penghantaran anak ke sekolah beraliran kebangsaan, walaupun sekolah yang berbentuk integrasi, yang turut mengajar bahasa ibunda kaum Cina, hujah yang diutarakan senada dengan apa yang saya katakan ini, kepercayaan! Dasar dan polisi yang kita bina selama ini gagal membentuk rasa percaya di antara kaum-kaum yang ada di Malaysia. Jika kepercayaan ini ada, maka tidak timbul lagi persoalan tentang aliran-aliran sekolah.

Jeffrey: Mungkin inilah satu lagi bukti betapanya cemerlang, gemilang dan terbilang kerajaan kita. Soalan seterusnya, kontrak Sosial yang disetujui sebelum kemerdekaan telah hangat dibangkitkan akhir-akhir ini. Malangnya, kebanyakan pihak mentafsirnya mengikut citarasa sendiri, sebagai contoh, Umno menitik beratkan Kedudukan Istimewa Melayu, manakala DAP menitik beratkan Malaysia sebagai negara sekular. Pada pendapat saudara, adakah Kontrak Sosial akan terus relevan kepada kita? Adakah corak fikiran generasi akan datang akan berubah? Kalau ya, ke arah mana?

Zukri: Soalnya, kita mengambil Kontrak Sosial ini dari persepsi mana? Tentulah jika setiap dari kita, apalagi dari kaum yang berlainan menerima Kontrak Sosial ini dari persepsi masing-masing tanpa mahu ada kompromi, kita langsung tidak akan menemui jalan penyudah dan penyelesaiannya.

Saya suka untuk mengambil semangat Kontrak Sosial ini, semangatnya adalah untuk membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia walaupun secara demografiknya sangat unik, sebuah negara yang berbilang kaum, agama dan latar belakangnya tetapi begitu kuat keinginan untuk terus hidup aman damai serta mempertahankan kerukunan sesama rakyat. Maka tidak akan timbul isu Kontrak Sosial itu apa isinya, lebih penting apa pengisiannya, bentuknya akan jadi lebih fleksibel dan pragmatik, membantu kita untuk terus bergerak ke depan, bukan asyik mengungkit peristiwa-peristiwa yang di belakang.

Jeffrey: Bukan apa isinya tapi apakah pengisiannya. Soalan seterusnya, glongan liberal dan fundamentalis mempunyai tafsiran berbeza mengenai peranan Islam dalam Perlembagaan, di mana peranannya tidak dijelaskan. Apakah Islam sebagai Agama Persekutuan cuma memainkan peranan yang lebih kepada protokol, ataupun ia patut dijadikan asas kepada semua perundangan dan penggubalan dasar?

Zukri: Kita sudah meletak Islam adalah Agama Persekutuan di dalam Perlembagaan kita, artikel ini adalah sah dan mengikat. Seharusnya Perlembagaan secara keseluruhannya selari dengan pernyataan artikel ini, dan ia sudah memadai. Saya tidak mahu berkata bahawa Perlembagaan mesti di"Islam"kan berdasarkan artikel ini, tetapi acuan Perlembagaan itu patut bertitik-tolak dari nilai-nilai moral yang dituntut Al-Quran dan Sunnah, atas sifat Islam yang syumul, saya kuat percaya bahawa segala apa nilai-nilai moral yang baik yang dituntut oleh agama-agama lain yang dianut di Malaysia ini sebenarnya terangkum secara lengkap dalam Al-Quran dan Sunnah.

Jeffrey: Yang menjadi masalah sekarang, banyak percanggahan di antara nilai-nilai telah berlaku dan kerajaan nampaknya turut keliru apakah yang harus dibuat. Di antara Perlembagaan dan Al-Quran, serta hak asasi manusia dan Al-Quran, yang mana merupakan keutamaan? Perlembagaan dan hak asasi memastikan kebebasan kepercayaan. Selain daripada merupakan sejenis pemikiran dan ibadat, Islam juga menjadi cara kehidupan dan memiliki sistem undang-undang tersendiri. Adakah kerajaan Barisan Nasional yang terus menghalang perlaksanaan Hudud, Qisas dan Takzir apabila mendakwa negara ini "Negara Islam", sedang membataskan kebebasan kepercayaan rakyat, memandangkan ia termaktub dalam Perlembagaan dan hak asasi?

Zukri: Saudara tidak patut bertanya soalan ini pada saya, saya seorang Muslim. Sebagai seorang Muslim, sudah tentulah saya meletak Al-Quran di tempat tertinggi. Saudara harus ingat bahawa Perlembagaan lahir dari tangan manusia, jika manusia itu zalim maka perlembagaan itu juga akan menjadi zalim, ia tidak boleh menjamin apa-apa, apalagi kebebasan beragama seperti yang saudara katakan.

Perlembagaan sesebuah negara atau Doktrin Hak Asasi Manusia harus berdiri atas pengaruh agama, agama yang menjadi rohnya! Tanpa roh agama inilah, maka hari ini kita lihat, atas nama hak asasi manusia, golongan gay, juga lesbian boleh menuntut supaya mereka dibenarkan berkahwin sesama sendiri, saya yakin bahawa semua agama, apalagi Islam yang saya anuti, tidak akan menerima jenis "hak asasi manusia" seperti ini.

Perlembagaan yang punya roh agama tidak bermaksud merobah struktur negara menjadi Negara Teologi, tetapi cukuplah untuk mengikat kumpulan pemerintah yang dipilih supaya melaksanakan negara hukum (bukan meletak hukum di tangan mereka), memelihara agama dan kepercayaan, menjaga kemuliaan setiap makhluk yang bernyawa, tidak menyisihkan martabat akal fikiran, menjaga keselamatan maruah, keturunan dan harta-benda rakyat serta memastikan hak dan kebebasan rakyat terpelihara.

Hukum Islam memang lengkap, merangkumi Ibadat, Munakahat, Muamalat dan U'qubat, hukum pidana seperti hudud, ta'zir dan qias hanyalah sub topik dalam U'qubat. Apa yang PAS mahu lakukan, apa yang BN tidak mahu lakukan, apa yang BN sudah lakukan dan apa yang PAS belum lakukan dalam perlumbaan mereka mencari takrif negara Islam saya rasa tidak perlu diperbahaskan di sini, yang jelas saudara mesti lebih banyak membaca tentang apa itu Negara Islam.

Jeffrey: Pandangan saudara cukup menarik. Itulah keraguan majoriti rakyat kerana termuncullah terlalu banyak versi tentang apakah "Negara Islam" yang mereka inginkan sehingga rakyat terkeliru, dan pada masa yang sama, mereka menafikan bahawa negara-negara yang dianggap "Negara Islam" sedia ada, seperti Saudi, Iran dan Sudan serta Afghanistan semasa pemerintahan Taleban yang rata-rata merupakan negara diktator yang zalim, akan menjadi model mereka. Yang lebih menyedihkan, mungkin keraguan itulah yang telah menyebabkan parti kita tewas dalam pilihanraya 2004. Soalan seterusnya, apakah Komunis boleh dikatakan telah menyerah diri, selepas Perjanjian Damai di Haadyai ditandatangani? Telah disetujui bahawa ahli Komunis akan dibenarkan pulang, tetapi ramai mangsa keganasan mereka membantah. Apakah yang harus kerajaan putuskan? Pernahkan Komunis berperanan dalam mencapai kemerdekaan dan pembangunan negara?

Zukri: Perjanjian itu sendiri adalah perjanjian damai, bukan perjanjian menyerah diri, tiada istilah menyerah diri di sini. Dalam perjanjian damai ini, pihak Parti Komunis Malaya bersetuju untuk meletak senjata, dan mereka akan dibenarkan pulang ke tanahair. Memang kita lihat banyak tentangan bila timbul isu bekas pemimpin PKM seperti Chin Peng dan Shamsiah Fakeh mahu pulang ke sini, saya tidak salahkan rakyat, memang sengaja dibuat sebegitu, pensejarahan negara kita sentiasa berat sebelah, sentiasa mengherokan Umno dan BN, sedang pejuang-pejuang dari aliran lain, apalagi yang tidak sebulu dengan mereka sentiasa dianggap bangsat dan pengkhianat.

Apapun kesalahan yang pernah dibuat oleh PKM, rekod membuktikan bahawa mereka konsisten dalam mempertahankan prinsip menentang imperialis, mereka mengangkat senjata menentang dua penjajah, Jepun dan British, itu jasa mereka yang tidak boleh kita nafikan. Saudara boleh baca artikel saya yang bertajuk "Chin Peng dan Patriotisme Yang Kabur" untuk penerangan yang lebih lanjut.

Jeffrey: Memang saya setuju Komunis konsisten dalam menentang impirialis Jepun dan British. Apakah pula dengan "20 Perkara" yang bertujuan memelihara kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak masih relevan? Apakah kesannya terhadap integrasi nasional, politik, ekonomi dan masyarakat jika ia dikekalkan, dikaji semula atau dimansuhkan?

Zukri: Saya rasa isu ini ada persamaan dengan isu Kontrak Sosial tadi, kita harus berbalik kepada semangat penubuhan Malaysia itu sendiri, tarikh yang akan kita sambut ulang tahunnya pada 16 September nanti. Jika semangatnya adalah integrasi sosial, politik dan ekonomi yang menyeluruh, maka kita harus lebih rasional dan bersedia untuk bergerak ke hadapan.

Dalam hal ini, Perlembagaan Persekutuan mesti dibina berasaskan kefahaman yang jitu terhadap aspirasi integrasi ini, di samping turut mengambil kira kepentingan etnik yang pelbagai dalam negara ini, serta tidak mengabaikan hak-hak eksklusif negeri-negeri yang bergabung di dalam Persekutuan ini, tidak hanya terhad kepada Sabah dan Sarawak sahaja.

Bila semangat sebegini berjaya diserapkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan, saya tidak nampak apa perlunya lagi Perjanjian 20 Perkara itu. Soal-soal seperti imegresen dan permit kerja itu bagi saya tidak lebih sekadar perkara kosmetik sahaja. Ini semua tidak lagi akan termasuk dalam perkiraan jika semangat yang saya sebutkan tadi boleh kita (seluruh rakyat Malaysia, dari Perlis sampailah ke Sabah) jiwai.

Jeffrey: Di bawah pemerintahan sekarang, rakyat Malaysia lazimnya menyamakan semagat patriotisme kepada kibarnya bendera, konsert merdeka dan percikan bunga api. Bolehkah saudara cadangkan kaedah-kaedah perayaan yang lebih mendatangkan manfaat?

Zukri: Apa yang saudara sebutkan itu adalah cara-cara merayakan ulangtahun kemerdekaan, bukan cara menunjukkan semangat patriotik. Ya, saya akui mungkin sesetengah dari kita melakukan kaedah-kaedah perayaan kemerdekaan yang saudara sebutkan itu memang kerana desakan semangat patriotik mereka, tetapi bagi saya semangat patriotik itu mesti dihayati dahulu, kemudian baru dirayakan!

Perayaan kemerdekaan sepatutnya menjadi medan membuktikan semangat patriotik rakyat Malaysia kepada dunia, bukan setakat hari cuti umum untuk berjalan, berlibur dan berhibur. Saya teringin untuk melihat stesen-stesyen TV di Malaysia, pada 31 Ogos setiap tahun menyiarkan pengkisahan perjuangan rakyat ke arah tertegaknya Malaya yang merdeka, bukan asyik-asyik kisah Tunku ke London berbincang meminta kemerdekaan dari British, malu untuk saya kata kita mengemis kemerdekaan dari British, ceritakan semuanya pada rakyat, bahawa bukan setitik darah dan setitis air mata yang tumpah untuk kita mengecap kemerdekaan ini, martabatkan semua pejuang terdahulu di mata rakyat, tidak kira dari aliran mana mereka sekalipun. Barulah kita boleh menyemai semangat patriotik dan cintakan kemerdekaan dengan lebih dalam, utuh dan tidak berbelah-bahagi.

Jeffrey: Memanglah saya setuju bahawa ramai yang sebenarnya tidak memahami apakah itu kemerdekaan dan patriotisme. Terima kasih kerana sudi diwawancara. Selamat Hari Kebangsaan kepada saudara juga.

Zukri: Terima kasih.

No comments: