Thursday, November 25, 2004

Setia Tuah, setia Jebat

Maka telah dihikayatkan bahawa setianya Hang Tuah ini hingga sanggup mengadakan apa sahaja, sanggup membawa apa sahaja, sanggup memberi apa sahaja dan sanggup menyerahkan apa sahaja, walaupun itulah yang paling dia suka, yang paling dia sayang dan yang paling dia cinta; semata-mata demi abdinya kepada Sultan, berpatik itu wajib, Raja itu bayang Tuhan, mentaati dengan sesungguhnya dan tanpa berbelah bahagi ajaran Demang Lebar Daun, yang telah berdosa ratusan tahun.

Begitulah juga setianya Pak Lah kepada Umno. Pernah jatuh, pernah terpinggir, pernah diabaikan tetapi Pak Lah tetap dengan kesetiaannya. UMNO bagi Pak Lah adalah "Raja" yang penuh daulat, suci lagi maksum, wajib dijunjung di atas batu jemala, sehingga ke hujung nyawa dan tanpa ada persoalan, walaupun secara sedar, beliau melihat di sekeliling beliau adalah UMNO yang telah rosak dan punah-ranah. UMNO adalah "Raja" yang telah melanggar perjanjian di antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun itu sendiri, apakah dalam keadaan begini ajaran Demang Lebar Daun masih terpakai? Mengikut perjanjian ini, Raja tidak boleh melakukan sesuatu dengan sewenang-wenangnya kepada rakyatnya, pantang besar bagi orang Melayu diberi malu atau dinista. Sang Sapurba mengatakan, "Itu sebabnya dianugerahkan Allah Subhanahu Wataala pada segala Raja Melayu, tidak pernah memberi aib pada segala hamba Melayu: Jikalau sebagaimana sekalipun besar dosanya tiada diikat dan digantung dan difadhilatkan dengan kata-kata yang jahat. Jikalau ada seorang Raja memberi aib seorang hamba Melayu alamat negerinya akan binasa." Maka di dalam Hukum Kanun Melaka dinyatakan bahawa seseorang yang memberi malu orang lain di khalayak ramai dengan cara menampar dan memaki boleh dibunuh oleh orang yang ditampar dan dimaki itu dalam masa tiga hari tanpa kesalahan apa-apa.

Jikalau UMNO adalah "Raja" bagi Pak Lah yang mesti ditumpahkan taat setia, kelihatannya UMNOlah "Raja" yang akan membinasakan negara ini. UMNO pernah secara terang-terangan dan terbuka telah memberi aib pada seorang hamba Melayu yang bernama Anwar Ibrahim, ke tahap yang sangat memualkan dan mencabar kewarasan minda manusia biasa, tiada siapa yang boleh menafi dan menyangkal kenyataan tersebut. Tiada siapa juga yang boleh menafi dan menyangkal bahawa hari ini, sedikit demi sedikit, UMNO sendiri yang mula binasa dari dalam. Intelektual, kebijakan dan semangat juang Melayu yang seharusnya mendasari UMNO semakin terhakis dek menjalarnya satu pertimbangan baru yang sangat salah dan berdosa, itulah politik wang a.k.a rasuah, rasa tamak akan membibit, seorang akan sanggup menzalimi yang lain demi kuasa, pangkat dan peluang memboloti kekayaan. Apakah "Raja" UMNO akan runtuh seperti runtuhnya takhta Sultan Mahmud di Melaka, Sultan yang dikenal zalim itu?

Dalam keadaan begini pun, kesetiaan Pak Lah kepada "Raja" UMNO ini tidak sedikit pun nampak goyah. Memang, setia asalnya adalah satu sifat yang baik, tetapi jika ada seorang isteri yang bermati-matian mempertahankan kesetiaannya kepada seorang suami yang kaki pukul, kaki judi dan kaki mabuk, sayalah lelaki yang akan menangisi kebodohan isteri tersebut. Atau apakah masih wujud kelibat Demang Lebar Daun, yang senantiasa mendampingi Pak Lah? Nampaknya saya kena bertanya dengan Ghafar Baba.

Hang Jebat pula akan dikenang kerana kesetiaannya kepada sahabat dan persahabatan. Sahabat bagi Jebat adalah saudara, keluarga sahabat adalah keluarganya juga, ibu sahabat adalah ibunya juga, susah sahabat adalah susahnya juga, darah sahabat adalah darahnya juga, terbunuh sahabat celakalah padahnya!

Apakah Anwar Ibrahim boleh menjadi seorang yang setia pada sahabatnya? Apakah Pak Lah akan menjadi Tuah yang membawa titah "Raja"nya iaitu UMNO, dan "membunuh" Anwar Ibrahim dengan cara penuh muslihat dan berlapik tirai yang kemilau?

Sejarah memperlihatkan bahawa Tuah dan Jebat telah menjadi buah catur permainan orang kerana kenaifan mereka berdua. Ketaksuban setia Tuah pada Sultan dan kelurusan setia Jebat pada sahabat akhirnya, tanpa mereka rancang, telah mempertemukan mereka di balai rong Istana Melaka, bertikam sesama sendiri...

Dalam pada bertikam itupun, mereka berdua masih sempat mengambil sedikit masa untuk berehat dan berbual bersama, tanda mereka pernah bersahabat. Lalu saya belum lagi berjumpa di mana salahnya bila Anwar bertamu di rumah Pak Lah lewat Lebaran yang lalu.

Wednesday, November 03, 2004

Kisah sebuah parti yatim-piatu

Parti Keadilan Rakyat lahir dari "pernikahan" Parti Keadilan Nasional (keADILan) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Ia ibarat orang tua menikah dengan gadis muda, maka jadi perhatian dan percakapanlah ke seluruh pelusuk tanahair ini. Kadang-kadang si suami cemburu juga, kerana isteri mudanya yang manis jelita ini sentiasa mendapat perhatian, tetapi dia juga harus tahu yang ramai orang memujinya dalam diam kerana kehebatan "tua"nya sehingga berjaya memikat isterinya yang muda itu.

Pertengahan bulan Disember nanti Parti Keadilan Rakyat akan mengadakan Kongres Nasionalnya yang pertama. Kongres ini tentulah amat besar ertinya, terutamanya bagi pendokong-pendokong asal keADILan dan PRM. Ini adalah Kongres Nasional pertama atas nama Parti Keadilan Rakyat, Kongres Nasional pertama selepas Pilihanraya Umum Ke-11, dan yang paling penting adalah Kongres Nasional pertama selepas bebasnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Maka, menjelang berlangsungnya Kongres Nasional penuh sejarah ini, apalagi di ketika ini, di sekitar September dan Oktober, masa-masa berjalannya mesyuarat agung Parti Keadilan Rakyat di peringkat bahagian-bahagian di seluruh negara, tidak dapat tidak di sesetengah keadaan kita akan melihat insiden berlaku. Sewajarnya begitu [maksudnya insiden memang perlu kerana kita dalam proses pembelajaran], Parti Keadilan Rakyat adalah anak kecil yang sedang belajar bertatih, kadang-kadang tersadung, kadang-kadang jatuh, kadang-kadang terpaksa berpaut pada sesuatu yang lain...

Ada aktivis PRM menyifatkan Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat yang akan berlangsung pada pertengahan Disember nanti itu adalah kongres pengkebumian Parti Rakyat Malaysia. Jika ia satu usul, saya menerimanya, tetapi dengan pindaan, bahawa Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat itu nanti adalah kongres pengkebumian Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia. Hari ini yang sedang bergerak dan bermain adalah Parti Keadilan Rakyat, sedangkan keADILan dan PRM sudah kaku, terlantar membilang hari kematian mereka, pertengahan bulan Disember nanti.

Bermula pada Kongres Nasional pertama nanti, Parti Keadilan Rakyat akan hidup sebagai anak yatim piatu. Tentulah selepas itu akan lebih ramai orang bersama dengan anak yatim piatu ini, ada yang sudah tentu suka bercerita tentang kenangan-kenangan silam, kalau saudara belah ayahnya, tentulah lebih banyak memuji ayah, kalau saudara belah ibunya, tentulah lebih banyak memuji ibu. Tiada siapa yang perlu kecil hati tentang kecenderungan orang-orang ini, ia biasa, lebih dari itu, iakan resam dunia.

Akan ada pula orang menegur Parti Keadilan Rakyat, si anak yatim ini, punya iras ibunya, yang lain akan mengata keningnya seperti bapanya, macam-macam lagilah, memang ramai manusia dilahirkan bermulut becok! Apapun komen mereka, saya tentulah tidak menafikannya malah membenarkannya, sudah jelas Parti Keadilan Rakyat ini adalah anak kepada keADILan dan PRM, sudah tentulah pembentukannya menggabungkan kedua-dua genetik parti terdahulu ini, sedikit-sebanyak persamaan mesti ada, tidak akan dapat lari dari itu.

Malah, akan ada juga yang melahirkan kerisauan dan kebimbangan tentang sifat dan sikap anak yatim piatu ini, yang risau kononnya anak yatim ini mewarisi pemikiran radikal ayahnya dan sikap agresif ibunya, dia akan punya sifat melawan! Habis apa salahnya dengan ini semua? Sekurang-kurangnya anak yatim piatu ini tidak lembik dan pengalah. Apalagi sebagai anak yatim piatu, yang bakal mendepani perjuangan hidup penuh ranjau, pasti kualiti-kualiti seperti radikal, agresif dan melawan adalah perlu.

Apa-apapun, keputusan terakhir tetap terletak di tangan Parti Keadilan Rakyat, si anak yatim-piatu ini, pandangan orang lain hanyalah pandangan. Sebagai anak yatim-piatu, tiada lagi ibubapa yang akan mengajar dan mengawal, pandai-pandailah membawa diri, tetapi, jangan sekali-kali lupa akan leluhurmu, prinsip mereka, perjuangan mereka!