Friday, October 29, 2004

Pulangnya Anwar...

Sireh pinang di dalam puan
Untuk hidangan putera perkasa

31hb Oktober 2004, pada jam 10.00 pagi, Anwar akan kembali ke pangkuan rakyat Malaysia. Begitulah, jika peristiwa ini berlaku ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka dulu, maka saya tentu akan mencadangkan supaya beliau disambut dengan tepak sirih yang diarak di dalam puan, lambang pulangnya seorang perwira perkasa.

Tentulah saya merasa hairan bila wujud pula cadangan yang saling bertentangan dalam hal menerima kepulangan Anwar ini. Apa salahnya menyeru rakyat untuk berhimpun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)? Dari segi status, ia tidak berbeza dengan sebuah keluarga yang menyambut ketibaan ketua keluarganya di sebuah lapangan terbang, cuma kali ini mungkin saiz keluarga itu yang berbeza, ia agak besar! Jadi apa masalahnya? Bimbang kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku? Apakah kesesakan akan menyesakkan? Anwarlah dulu yang membangkitkan hampir 200,000 rakyat untuk berhimpun di Masjid Negara, Masjid Negara terus berdiri kukuh sampai hari ini, tiada satu tiang pun yang patah, tiada walau sehelai sejadah pun yang hilang dicuri! Kita pernah menghimpunkan 100,000 rakyat di Lebuhraya Kesas, tidak pernah pula ada laporan kemalangan kenderaan berlaku pada hari itu, memang ada motosikal-motosikal yang terbalik, itupun setelah diterajang oleh anggota-anggota FRU; kecederaan? memang ada berlaku! Seorang pernah masuk ICU kerana tembakan peluru gas pemedih mata, yang lain sakit dipukul belantan, juga oleh anggota-anggota FRU itu. Apakah insiden-insiden ini yang kita risaukan? Jika ya, saya merasa amat malang kerana kita sudah mula terperangkap dengan rasa ketakutan yang sengaja dimomok dan dipropagandakan oleh UMNO dan Barisan Nasional. Padahal Anwarlah dulu yang berkata, kalau kita takut dengan risiko, usah bicara soal perjuangan. Lagipun, sejak bila orang yang bernama Anwar ini takut untuk berhadapan dengan himpunan lautan manusia?

Sembang-sembang di kedai kopi, juga di pejabat-pejabat Parti Keadilan Rakyat, mungkin juga di perkarangan rumah di Jalan Setiamurni sana, turut membincangkan bagaimana Anwar akan berperanan selepas ini? Hujah paling popular yang sedang diwar-warkan adalah Anwar akan bergerak melangkaui politik. Bagaimana itu? Ya, mungkin Anwar seorang manusia yang punya karisma, wibawa dan gagasan yang sangat hebat, diakui dan diterima oleh ramai pemimpin dalam dan luar negara. Tetapi sehebat Nelson Mandela pun, selepas 27 tahun dalam penjara, beliau tetap kembali kepada ANC (African National Congress), sebuah parti politik yang tidak jemu-jemu menyokong dan mendokongnya.

Asasnya, Anwar adalah ahli politik. Sosoknya masih terus dominan dan mempengaruhi senario politik tanahair. Siapa kata Anwar tidak boleh berpolitik sehingga 2008? Anwar hanya tidak boleh memegang jawatan politik dalam tempoh ini. Bukankah daya fikir politik Anwar masih boleh terus berbicara melalui lidah Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail? Maka landasan politik terbaik buat Anwar adalah Parti Keadilan Rakyat, parti yang berevolusi selama lima tahun ini dan tidak pernah surut pula momentumnya dalam memperjuangkan nasib dan idea beliau. Atau, adakah dari kalangan kita yang memandang rendah parti sendiri? Bimbang tidak akan mampu menyerlahkan karisma, wibawa dan gagasan Anwar Ibrahim? Bukankah bijak-pandai kita dahulu pernah berkata, ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya!

Politik adalah perjuangan prinsip, mesti ada wadahnya, mesti ada tanah yang perlu kita pijak, kerana kita tidak boleh menjadi pejuang atas angin, nanti kita juga yang akan dituduh tiada pendirian. Hati yang luhur berjuang tidak boleh ada rasa tamak, mahu menggapai semuanya, natijahnya nanti jadilah kita seperti Mirza Ghulam Ahmad, sekejap mengaku Nabi, sekejap mengaku Dewa Hindu, kerana apa? Kerana keinginan beliau sangat besar untuk melangkau batas yang sudah jelas dan tetap. Bila beliau mengangkat kedua-dua kakinya, jatuhlah beliau di tengah-tengah garis sempadan, ke kanan tidak, ke kiri pun tidak, jadilah beliau sesesat-sesat manusia. Jauhilah hati dari rasa ujub yang membinasakan.

Ini semua, walau bagaimanapun tidaklah membuat saya menolak bahawa perlunya kita bersama dengan institusi-institusi politik dan bukan politik lain dalam memperjuangkan nilai-nilai kebersamaan yang kita pegang, tetapi mestilah dalam keadaan kita masih berpijak di tanah kita, berwadah dan tanpa meninggalkan ruang yang menjunjung seluruh prinsip yang kita perjuangkan. Ruang yang betul dalam berpolitik adalah penting, kerana rupa-rupanya politik ini seperti seni juga, sekali memasuki, selamanya akan terus bergelumang, sukar untuk berpatah balik, dan menghampiri istilah jalan sehala. Sangat bahaya jika kita silap memilih ruang atau cuba berpolitik tanpa mahu disandarkan pada mana-mana ruang khusus. Silap-silap cara kita mungkin akan gila meroyan, seperti Datuk Paduka Ibrahim Ali atau Datuk Suhaimi Ibrahim, paling tidak pun seperti Roslan Kassim.

Saya menunggu kepulangan Anwar, menunggu dengan harapan Anwar akan berada dalam dakapan Parti Keadilan Rakyat. Saya sangat menghormati Nelson Mandela, saya juga mahu menghormati Anwar pada darjat yang sama...

Majulah kekanda
Dinda mohon doa restu
Rela sehidup-semati
Perwiraku...

Friday, October 22, 2004

Menjadi pemimpin bukanlah soal keupayaan, ia soal kebertanggungjawaban

"Being a leader is not about ability, its about responsibility." Ini adalah kata-kata yang baru saya peroleh dan saya terjemahkan seperti tajuk di atas. Mengulang sebutnya buat saya tertawa kecil, kerana bila melihat di sekitar kepimpinan politik negara kita, itulah sebenarnya yang sedang berlaku, maksudnya hari ini pemimpin politik kebanyakannya lebih cenderung menunjuk-menunjuk dan memperlihatkan keupayaan mereka, bukan secara jujur melaksanakan tanggungjawab yang merupakan satu amanah.

Kadang-kadang sepertinya rakyat kabur atau sengaja dikaburkan tentang merit apakah yang perlu digunakan untuk mengagungkan seorang pemimpin. Maka kelihatannya ramai rakyat yang teruja dengan keupayaan sesetengah pemimpin melahir dan mengupas gagasan-gagasan yang nampak hebat. Keupayaan menterjemah falsafah-falsafah Socrates, Aristotle, Plato, Ibn Khaldun, Confucius, Sun Tzu dan pelbagai lagi, bahkan ke nama dan sistem seperti Machivelly dan Prussian, lebih mengarut lagi bila menggunakan dongeng Rama dan Sita, semuanya, kononnya sebagai cubaan asimilasi ke dalam landskap politik negara.

Akhirnya apa yang sampai kepada rakyat? Sebaris pun belum tentu mereka faham, habis-habis mulut ternganga, mata tak berkelip dan kepala terhangguk. Habis ucapan, tepukan bergemuruh, si pemimpin politik kembang tak sudah-sudah, bangga dan mendada. Gamaknya ada hati rakyat yang berbisik, "Hebat sungguh bahasa pemimpin ini memperkatakan tentang gagasan mereka, sampai susah aku nak faham."

Tetapi bila pulang masih ada kalangan rakyat yang melihat pokok hari dan mendengar ramalan cuaca, kalaupun ada ribut-ribut sedikit, terpaksa juga turun kelaut, takut esok nasi tak berlauk, anak pun asyik merengek minta ganti kasut sekolah yang sudah semakin buruk, sedangkan si pemimpin politik tadi pulang bersandar puas di kerusi empuk bersalut kulit dalam kereta Mercedes S320! Mana tanggungjawab mereka yang selalu berbicara tentang pengagihan kekayaan?

Ada pemimpin politik yang hadir dengan gagasan Hadharinya, Madaninya, Islam Tulennya, yang mahu kelihatan lebih antarabangsa pula mengusulkan konsep-konsep seperti Dasar Pandang Ke Timur, "Just World," Kebangkitan Asia dan pelbagai lagi.

Setebal manapun gagasan-gagasan ini kalau dibukukan, ia tetap menjadi helaian-helaian kertas yang tiada maknanya, jika seorang anak gadis semuda 17 tahun sudah terpaksa menjadi ibu kepada "anak haram"nya kerana nasib malangnya dirogol oleh empat lelaki sekaligus, malapetaka ini berlaku nun di negeri yang dikatakan kubu kuat dan tempat asal Umno, negeri Johor Darul Ta'zim.

Berbicara dengan anak gadis ini kadang-kadang hampir membuatkan saya menitis air mata, walaupun dia sebaliknya, sentiasa cuba kelihatan gembira, tetapi saya kenal, itu gembira yang tiada rasa.

Kes Noritta Samsuddin pula selama-lamanya akan dikenang sebagai penampar maruah dan kehormatan orang Melayu Malaysia secara keseluruhannya, sehingga kini sakitnya tidak kebah-kebah lagi.

Atau apakah pemimpin-pemimpin politik adalah orang yang tidak merasa sakit, tercalar atau sedih, yang memungkinkan mereka mencari walaupun sedikit ruang untuk menyalurkan rasa kebertanggungjawaban mereka?

Mahathir Mohamed akan dikenang sebagai pemimpin politik yang takjub dengan monumen, gagasannya adalah monumen, dan beliau mahu diingat kerana monumen-monumen ini, lihatlah Menara Berkembar Petronas yang tertinggi di dunia, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Kompleks Kerajaan Persekutuan Putrajaya dan pelbagai lagi deretan projek mega dan semi mega yang terdiri di zamannya, malas sudah mahu mengomel tentang apa yang negara terpaksa korbankan untuk memenuhi ketakjuban seorang Perdana Menteri ini.

Cuma bila beliau bersara, sedikit demi sedikit masalah mula muncul, heboh diperkatakan tentang projek MRR2 yang retak, Lebuhraya Utara Selatan yang tidak selamat dek tanah runtuh dan hospital (tempat merawat orang sakit tu) dihinggapi penyakit kulat di Johor.

Semua ini adalah antara projek mega dan mewah zaman Mahathir, hari ini Samy Vellu (anggota kabinet zaman Mahathir juga) telah dituntut kebertanggungjawaban beliau terhadap masalah-masalah yang timbul itu.

Kemudian timbul pula isu deretan projek sekolah (sudah tentulah melibatkan kontraktor kelas A), dari utara sampai ke selatan semenanjung, ada yang sudah berbulan siap tetapi tidak boleh digunakan kerana tiada CF, projek-projek ini juga sudah tentulah bermula pada zaman Mahathir dulu, hari ini Hishamuddin Tun Hussein telah dituntut kebertanggungjawaban beliau.

Agaknya bila kita boleh melihat Mahathir sendiri dituntut kebertanggungjawabannya, bila timbul apa-apa masalah yang bersusur-galur ketika zaman beliau menjadi Perdana Menteri, Eric Chia mungkin orang terbaik yang boleh mengulas tentang isu ini!

Keupayaan adalah berteori dan berkonsep, sedangkan tanggungjawab adalah tindakan dan perlaksanaan.

Teringat ketika kecil saya suka mendengar rancangan radio "Nida ul Islam", ia selalu bermula dengan terjemahan ini, "Siapakah yang lebih baik perkataannya, dari orang yang menyeru ke jalan agama Allah, dan yang berkata sesungguhnya aku beriman kepada Allah" (maaf, saya lupa apakah ia terjemahan al-Quran ataupun hadith).

Maka tidak berguna untuk kita hanya berdiri dan memukau rakyat dengan kelunakan serta keindahan kata-kata kita, lebih penting pergilah kepada rakyat, bersamalah mereka, mereka sedang mendambakan kebertanggungjawaban kita!

Thursday, October 14, 2004

Selamat datang Ramadhan

Saya boleh hidup tanpa makan, saya boleh hidup tanpa wang, saya boleh hidup tanpa harta kekayaan, saya boleh hidup tanpa rumah kediaman. Tetapi saya akan mati tanpa maruah dan kehormatan diri; maruah yang saya tetap pertahankan selama enam tahun ini adalah perjuangan saya, perjuangan menegakkan keadilan dan menentang kezaliman di bumi bertuah yang sangat saya cintai ini.

Maka Ramadhan pun datang, sebulan pada setiap tahun umat Islam diwajibkan berpuasa, siang akan dilalui tanpa makan, sedangkan ia sudah senantiasa menjadi senaman saya dalam keadaan-keadaan tertentu di sepanjang enam tahun perjuangan ini. Sekurang-kurangnya, selama sebulan ini, rakyat di luar sana (sudah tentulah yang beragama Islam) dapat juga memahami dan menempuhi satu dari apa yang disebut sebagai dugaan perjuangan, sesungguhnya Ramadhan adalah bulan perjuangan.

Saya teringat satu hari saya ke Bukit Damansara bertemu dengan Kak Wan (baca: Datin Seri Dr. Wan Azizah), tujuannya kerana ada satu perkara yang saya ingin bincang dengan beliau. Saya diminta ke dapur oleh orang di luar kerana Kak Wan ada di dalam sana, di dapur saya bertemu dengan Kak Wan dan pembantunya Cik Wati. Soalan pertama Kak Wan ialah apakah saya sudah makan atau belum, kerana di luar memang ada jamuan makan disediakan, seperti hari-hari Khamis sebelum ini juga. Saya menjawab kepada Kak Wan, saya belajar untuk tidak makan, sekurang-kurangnya kalau saya ditangkap dan dimasukkan ke penjara, saya sudah sedia untuk berlapar jika keadaan memerlukan. Kak Wan marahkan saya, tidak baik katanya, ia seperti meminta, apalagi malam itu malam Jumaat. Kerana menghormati Kak Wan dan saya bertamu pula di rumah beliau, saya makan juga, tambah lagi Kak Wan sendiri yang hidangkannya.

Pertengahan Ramadhan ini, iaitu pada akhir Oktober, Saudara Anwar dijangka akan pulang ke Malaysia. Satu sambutan besar-besaran sedang dirancang. Tujuan di sebalik sambutan ini saya serahkan kepada orang yang menganjurkannya. Apakah ia sambutan kemenangan? Sedang saya masih tercari-cari kemenangan apakah yang sudah kita genggam? Saya cuma berharap kepulangan Saudara Anwar di ketika umat Islam sedang sibuk menjalani ibadah puasa boleh menjadi pemangkin kepada kebangkitan kedua semarak perjuangan rakyat, mengambil sempena semangat bulan Ramadhan sebagai bulan perjuangan. Saya pernah berkata bahawa reformasi tidak mati di jujuran anak tangga Mahkamah Persekutuan Putrajaya (Bangunan Palace of Justice) pada 2 September 2004 yang lalu.

Selamat datang Ramadhan! Saya pasti bahawa perjuangan ini akan menjadi lebih kuat, jika setiap daripada kita yang sayangkan keadilan, yang bencikan kezaliman, yang mengaku pejuang, boleh menyambut kedatangan Ramadhan ini dengan senyum dan dada yang lapang. Berlapar atau tidak makan ini (yang saya tempuhi bukan hanya di bulan Ramadhan sahaja, juga hari-hari biasa bila keadaan memaksa), rupa-rupanya adalah bengkel rohani, di sini jiwa digilap dan dimantapkan. Dalam keadaan berlapar ini, kita akan nampak setiap kesalahan yang perlu diperbetulkan. Dalam keadaan berlapar ini juga, kita akan melihat butiran-butiran kekuatan diri yang kita ada dan patut disemat kemas-kemas di dada. Ketahuilah, terkaman harimau yang paling ditakuti adalah terkamannya ketika lapar!

Apakah Saudara Anwar ingat kelaparan yang membangkitkan rakyat di Baling?

Tuesday, October 05, 2004

Jeff Ooi jadi penutup tempayan UMNO yang pecah

Kadir Sheikh Fadzir, Muhammad Muhd Taib dan Adnan Yaakob mungkin antara pemuka-pemuka UMNO yang mula mencipta musuh baru di dalam lingkungan mereka sendiri, UMNO, selepas tamatnya perhimpunan agong mereka baru-baru ini. Mereka ini bukan macai dan balaci politik dalam UMNO, seorang Menteri Penerangan, seorang bekas Naib Presiden dan bekas Menteri Besar Selangor serta seorang lagi Menteri Besar Pahang. Jelas, untuk bercakap bagi pihak UMNO, mereka punya wibawa yang cukup kuat! Apa yang UMNO rasa, di mana UMNO mahu meletakkan muka bila secara terang-terangan mereka mengakui bahawa UMNO sedang dihinggapi penyakit politik wang yang sangat kronik, rasuah sedang berleluasa dan tidak terkawal. Kredibiliti Pak Lah sudah tentu tercalar, yang naik ke kerusi Perdana Menteri dengan iltizam (kononnya) untuk memerangi rasuah habis-habisan. Sepertinya seorang ketua kampung berpesan kepada orang kampung jangan membiarkan lembu-lembu peliharaan berak di merata-rata tempat, tetapi lembu peliharaan beliau sendiri berak di depan rumahnya.

UMNO mula menjadi kelam-kabut, mula tergagau-gagau mencari daun kering yang boleh diguna untuk menutup malu. Orang-orang seperti Kadir Sheikh Fadzir, Muhammad Muhd Taib dan Adnan Yaakob telah membawa angin ribut yang begitu kuat, sehingga tersingkaplah segala kain baju ke atas, UMNO yang telanjang bogel dan kotor mula terpampang di mata rakyat.

UMNO tahu perkara ini tidak boleh dibiarkan berpanjangan. Satu tindakan "damage control" mesti dilakukan, tetapi bagaimana? Sedangkan semuanya telah terpampang di dada-dada akhbar arus perdana, apalagi akhbar-akhbar yang menentang arus. Maka jalan terbaik, seperti biasa ialah menyepikan isu ini, caranya? Mudah sahaja, cipta satu isu baru yang menyentuh sentimen orang Melayu, war-warkan di dada akhbar, terbeliaklah pembaca-pembaca Utusan dan Berita Harian, redalah ghairah dan ingatan marah mereka pada perilaku rasuah pemimpin UMNO yang semakin parah. Sang Sapurba UMNO (Mahathir Mohammed) kan ada mengajar, Melayu ini mudah lupa...

Isu bagaimana pula yang ingin disuapkan kepada rakyat menjadi satu lagi masalah kepada UMNO. Dari mana sumber isu yang terbaik? Sumber yang kebanyakan pembaca Utusan dan Berita Harian tidak pernah kenal dan ambil tahu! Jawapannya tentulah internet, apalagi bila namanya "Screenshots" dan "Jeff Ooi." Tanyalah abang-abang, kakak-kakak, pakcik-pakcik dan makcik-makcik yang lepak di warung atau di kedai mamak, yang di rumah menjaga anak atau mendengar radio era, yang bermain dam di tepi pasar atau di tepi sungai di kampung-kampung, SAMBIL membaca Utusan atau Berita Harian, tahukah mereka apa itu "Screenshots" dan siapakah itu "Jeff Ooi"? Jauh panggang dari api bukan! Strateginya, amat mudah untuk memanipulasi sesuatu isu yang sumbernya rakyat tidak tahu, sekurang-sekurangnya sebelum ini.

Jadilah "Screenshots" mangsa, dan Jeff Ooi sebagai kambing hitamnya. Isunya? Tentulah yang paling menyentuh sentimen orang Melayu, iaitu agama Islam, tambah lagi ia antara Islam dan orang bukan Islam. Apakah kesan yang diharap? Orang Melayu akan marah, dan mula melupakan UMNO yang sedang punah-ranah dengan politik wang dan rasuah, lebih dari itu kembali mempertahankan UMNO, (kononnya) sebagai wadah memperjuangkan kesucian Islam.

Dilaporkan bahawa web blog Jeff Ooi telah menyiarkan satu komen pengunjung yang menggunakan nama samaran "Anwar," yang didakwa telah menghina agama Islam, melalui forum di bawah tajuk "Islam Hadhari and Money Politics." Pengunjung itu antara lain menulis
"Tidak boleh membandingkan Islam Hadhari dan politik wang seperti minyak dan air kerana air dan minyak kedua-duanya suci. Islam Hadhari dan politik wang ibarat najis dan air kencing - itulah caranya membuat perbandingan."

Saya boleh mengakui bahawa wujud nada keterlaluan dalam analogi tersebut, apalagi bila ia menyentuh soal Islam, tetapi secara sinisnya, ia semacam sindiran bagaimana sebuah organisasi yang baru ditelanjangi keburukan amalan politik wang dan rasuahnya, oleh kalangan pemimpinnya sendiri, mahu menawarkan satu pakej berlabelkan Islam (walau apapun konsepnya) kepada rakyat? Ia seperti kita memakai kopiah, mengadap kiblat untuk solat tetapi dalam keadaan telanjang bulat! Jadi, walaupun agak keterlaluan, saya melihat pengunjung itu ada alasan untuk "menajiskan" Islam Hadhari, pakej politik ciptaan UMNO! Zaman ini, walaupun ada tanda halal Jakim di luar bungkusan, belum tentu produk itu halal... :-)

Apa yang diberitakan oleh akhbar-akhbar arus perdana? Berita Harian 2 Oktober 2004 memberi tajuk "Laman Web Siar Pandangan Hina Islam Hadhari." Noh Omar pula dalam kenyataannya memberitahu bahawa isu agama ini lebih bahaya daripada isu perkauman, boleh membawa kepada berbunuh-bunuhan, ketara, beliau sedang menjentik sentimen "amarah" orang Islam di Malaysia. Untuk menunjukkan bahawa besarnya isu ini, maka Utusan hari ini (5 Oktober 2004) menyiarkan pula reaksi Pak Lah. Yang ingin dihebohkan oleh pemimpin UMNO adalah "ada orang Malaysia telah menghina agama Islam, menyamakannya dengan najis dan air kencing." Berbahayakan ayat itu? Maka marahlah orang Melayu, lupalah mereka yang pemimpin UMNO yang sedang berlagak mempertahankan agama Islam itu sebenarnya datang dari kandang politik wang dan rasuah.

Sekarang pemimpin UMNO sudah mampu menarik nafas lega. "Screenshots" dan "Jeff Ooi" meledak di dada-dada akhbar arus perdana, menjadi penutup yang ampuh kepada tempayan rasuah UMNO yang sepatutnya sudah pecah terbelah.

Belum sedar lagi? Inilah dasar pecah dan perintah.